Asalnya diumumkan pada 1 April 2023, ramai orang menganggap peranti handheld gaming pertama ROG sebagai jenaka April Fool. Beberapa bulan kemudian, ia dikeluarkan pada 1 Julai 2023 di Malaysia. Sejak itu, muncul lebih banyak persaingan dalam pasaran handheld gaming, sama ada MSI Claw atau Steam Deck OLED. Apakah jawapan ROG kepada persaingan itu? Memperkenalkan ROG Ally X.
Diumumkan lebih sebulan lalu pada 2 Jun 2023, ROG telah menambah baik Ally dengan kapasiti bateri dua kali ganda, aliran udara yang semakin cekap, joystick yang dipertingkatkan, cengkaman lebih selesa, di samping penambahbaikan lain. Namun, ROG Ally X masih mengekalkan AMD Ryzen Z1 Extreme APU dan panel 1080P 120 Hz FreeSync Premium.
Di sini, kami diberi peluang untuk mencuba ROG Ally X, berkat bantuan rakan-rakan kami di ROG. Walau bagaimanapun, sejauh manakah Ally X telah bertambah baik berbanding Ally original? Adakah ia berbaloi untuk menaik taraf Ally kepada Ally X?
Teruskan membaca.
Casis Berbentuk Ergonomik
Sebelum kita bercakap tentang casisnya yang sangat ergonomik, Ally X kini mempunyai badan baharu dalam bentuk warna hitam. Walaupun penampilan sekarang cukup mengancam, salah satu daya tarikan Ally original ialah casis berwarna putih, yang kelihatan lebih menyerlah daripada pesaing lain.
Walaupun boleh menambah casing ataupun skin, kami berharap peranti handheld gaming ini dapat menawarkan lebih banyak pilihan warna seperti PS5, dan bukannya hanya satu, pada masa hadapan.
Beralih kepada pengalaman sebenar, ROG telah reka Ally X supaya lebih selesa untuk dipegang dan digenggam. Rasanya seperti kami masih memegang ROG Ally tetapi kini kurang licin kerana cengkaman yang lebih tebal dan besar serta tekstur pada genggaman tangan, menjadikan sesi permainan lebih bertahan lama walaupun tangah berpeluh.
Sebagai manusia yang mempunyai tangan besar, memegang Ally original sebenarnya kurang selesa dan agak memenatkan kerana plat belakang agak rata, berbanding Ally X.
Apabila melihat lebih dekat pada tekstur unik di bahagian genggaman tangan, saya mendapati bahawa ada corak huruf “ROG” di sepanjang kawasan tertentu – ia tidak begitu ketara tetapi adalah sentuhan yang bagus berbanding reka bentuk versi original.
Satu-satunya aduan kami tentang bahagian genggaman tangan ialah habuk boleh tersekat dengan mudah di antara corak dan anda memerlukan berus untuk mengeluarkan habuk.
Cukup Lengkap Dengan Pelbagai Perisian
Sama seperti original, Ally X dilengkapi dengan perisian ASUS ROG termasuk Armory Crate SE, Command Center dan Xbox GamePass. Mereka yang memiliki ROG Ally original akan faham semua ini.
Armory Crate SE menjadi hab utama untuk memulakan pengalaman gaming anda. Ally X didatangkan dengan Armory Crate SE v1.5, yang merupakan rombakan besar daripada versi sebelum, bukan sahaja dari segi visual, tetapi juga menambah beberapa peningkatan quality-of-life dan ciri baharu.
Anda boleh menavigasi melalui menu menggunakan kedua-dua skrin sentuh dan butang, dan menambah game secara manual atau secara automatik melalui Steam, Origin, dan sebagainya.
Bukan itu sahaja yang ditawarkan oleh Armory Crate, anda boleh melaraskan tetapan dengan lebih terperinci seperti mengubah ke mode Gamepad dan Desktop berdasarkan keutamaan dan menetapkan setiap butang pada Ally X kepada tindakan yang anda mahu ia lakukan.
Selain daripada itu, anda juga akan menemui tetapan personalization, ruang mengurus screenshot, mengubah prestasi secara manual, mengemas kini perisian ASUS ROG, menyambung ke WiFi dan Bluetooth, mengubah tetapan skrin dan pencahayaan pada kayu joystick, mengedit shortcut untuk Command Center, dan banyak lagi.
Di Command Center, di sinilah anda akan menghabiskan sebahagian besar masa bermain-main dengan Ally X untuk memanfaatkan bateri atau prestasi sepenuhnya.
Berdasarkan shortcut yang ditetapkan dalam Armory Crate, anda boleh bertukar antara Operating Mode (seperti 13W Silent, 17W Performance dan 25W Turbo) dengan pantas, bertukar antara Control Mode (antara Gamepad dan Desktop), melaraskan Profile individu, mengeluarkan papan kekunci pada skrin, mengehadkan FPS, dan juga dayakan Real-time Monitor (untuk memantau penggunaan CPU/GPU, suhu, bateri, FPS).
Prestasi Keseluruhan dan Jangka Hayat Bateri
Ini tidak akan menjadi reviu sebenar jika kami tidak mencuba menguji keupayaan gaming milik Ally X. Kami mencuba beberapa game, iaitu Elden Ring, Persona 3 Reload, Tekken 8 dan Zenless Zone Zero. Semua game telah diuji pada 50% Brightness dan Operating Mode 25W Turbo.
Elden Ring
Kami menjalankan Elden Ring pada resolusi 1080p dengan tetapan High. Purata FPS mencecah sekitar 34-35 FPS semasa merayau sekitar Limgrave, serendah 29 FPS dan setinggi 41 FPS. Bersiar-siar di sekitar Siofra River, kami memperoleh sekitar 35-36 FPS secara purata, mencapai setinggi 43 FPS dan menurun serendah 32 FPS.
Bateri berkurangan kira-kira 28% selepas menguji game ini selama setengah jam, yang bermakna anda boleh bermain Elden Ring kira-kira satu jam setengah sebelum perlu mengecasnya. Kebanyakan boss fight mencecah sekitar 35 FPS dan secara keseluruhan game berjalan dengan baik tetapi kami mengesyorkan agar menurunkan resolusi dan grafik untuk pengalaman lebih lancar.
Persona 3 Reload
Persona 3 Reload dimainkan 1080p pada High dengan 100% rendering scale. Merayau di sekitar Iwatodai Strip Mall secara purata mencecah sekitar 39 FPS manakala di kawasan yang lebih padat seperti Paulownia Mall, Ally X bergelut untuk mengekalkan 30 FPS, di mana jumlah terendah adalah 22 FPS dengan purata 26 FPS.
Menuju ke Tartarus, merayau di sana mencecah purata 60 FPS tetapi jumlah akan jatuh kadangkala apabila ada lebih banyak efek yang berlaku pada skrin. Semasa pertempuran, Ally X dapat mengekalkan 60 FPS yang stabil tetapi akan turun serendah 51 FPS semasa animasi dengan banyak kesan visual seperti Cut-in atau All-out Attack.
Selepas setengah jam, bateri menurun sebanyak 25% bermakna anda boleh bertahan dalam Dark Hour atau memajukan Social Link selama lebih daripada 2 jam jika menurunkan grafik.
Tekken 8
Menuju ke Tekken 8, kami menjalankan game pada 1080p menggunakan tetapan default berdasarkan skor in-game benchmark (258) – tetapan medium dengan kaedah upscaling Catmull-Rom Bicubic. Ally X berjaya mengekalkan 60 FPS yang stabil sepanjang berlawan dan bateri menurun sebanyak 24% selepas setengah jam bermain.
Zenless Zone Zero
Akhir sekali, kencuba game terbaru Hoyoverse, Zenless Zone Zero, pada 1080p pada High. FPS cecah setinggi 60, semasa kami merayau di Sixth Street, dan mendapat purata 52 FPS tetapi ia akan turun kepada 46 FPS apabila memuatkan tekstur dan model.
Merayau-rayau di Lumina Square memberikan purata 44 FPS dan akan turun serendah 41 FPS, ini tidak menghairankan memandangkan ia lebih padat daripada Sixth Street. Untuk segmen bertarung, FPS akan turun naik antara 42-51 FPS bergantung pada jumlah musuh dan kesan visual yang berlaku pada skrin dan akan turun serendah 39 FPS.
Secara peribadi, kami mengesyorkan untuk bermain game ini pada Medium atau Low untuk mengekalkan FPS yang lebih lancar.
Apakah Isu Yang Dibetulkan Oleh ROG Ally X?
Selepas bercakap tentang penambahbaikan yang dilakukan oleh Ally X dari segi keselesaan dan prestasi gaming, mari kita bincang tentang isu yang diperbaiki daripada Ally original.
Jangka Hayat Bateri Lebih Lama
Pertama sekali, bateri – yang sentiasa menjadi kebimbangan untuk mana-mana peranti handheld gaming, dan Ally original pun tidak terkecuali. Dahulu, kami hanya dapat bermain game AAA selama satu hingga dua jam, yang agak menyedihkan bagi mereka yang ingin berehat dan baring di sofa untuk sesi gaming yang lama.
Respon ROG terhadap isu ini adalah dengan menambah kapasiti bateri sebanyak dua kali ganda, daripada 40WHrs kepada 80WHrs. Walaupun kapasiti bateri kini lebih besar, ROG Ally X hanya 11% lebih berat dan sejujurnya kami tidak merasakan perbezaan berat yang besar, yang bagus bagi saya. Tetapi adakah solusi ini sebenarnya membantu?
Bagi game yang intensif, kami masih mengesyorkan mode Performance untuk tetapan yang ideal – ia seimbang antara bunyi bising, bateri dan FPS manakala dalam Ally original, anda perlu membuat keputusan antara mode Performance supaya bateri tahan lebih lama tetapi mengorbankan FPS atau mode Turbo untuk mendapatkan FPS baik tetapi mengorbankan bateri.
Sekarang, mana-mana mode yang dipilih, anda tidak perlu risau lagi.
Aspek Connectivity
Satu lagi isu yang kami hadapi dengan Ally original ialah, tidak seperti Lenovo Legion Go atau Ayaneo Air yang menyokong dua port USB-C, Ally hanya mempunyai satu port USB-C – yang bermakna aksesori berwayar seperti fight stick tidak boleh digunakan semasa peranti dicas. Di sini, anda perlu mendapatkan charging dock atau charging hub jika anda ingin menggunakan fight stick semasa mengecas Ally.
Kebanyakan peranti handheld gaming dalam pasaran hanya menyokong satu port USB-C jadi tambahan dua port USB-C pada Ally X amat dialu-alukan kerana kami merasakan ia lebih memudahkan pengalaman pengguna dan memberi lebih banyak kesenangan daripada aspek sambungan.
Harga
Isu terbesar untuk semua gamer adalah harga. Di Malaysia, harga ROG Ally Z1 Extreme ialah RM3,399, menurut laman rasmi ROG Malaysia. Ini dianggap sebagai harga premium jika dibandingkan dengan PS5 (kira-kira RM2,499) tetapi masih adalah harga yang kompetitif jika dibandingkan dengan MSI Claw dan Steam Deck. Bagaimana pula dengan ROG Ally X?
ROG Ally X secara rasmi berharga RM4,299 di Malaysia. Bagi kebanyakan orang, lonjakan harga tersebut agak ketara. Ya, ia menawarkan lebih banyak RAM, dan bateri lebih besar tetapi bagi sesetengah orang yang mempunyai bajet yang lebih ketat, Ally original mungkin lebih sesuai.
Pesaing lain mungkin melancarkan produk di sekitar nilai harga yang sama seperti Ally X tetapi saya berharap itu tidak akan berlaku kerana ia menjadikan industi handheld gaming jauh lebih susah untuk diakses.
Pendapat
Sama ada berulang-alik dengan bas, menunggang kuda atau bersantai di tepi pantai, ROG Ally X ialah handheld gaming PC menarik yang boleh dibawa ke mana-mana untuk sesi gaming dengan prestasi cemerlang, keadaan ergonomik yang dipertingkatkan, jangka hayat bateri yang lebih lama, dan menyelesaikan banyak kebimbangan yang kami ada dengan Ally original.
Walau bagaimanapun, pada RM4,299, nilai harga yang tinggi ini mungkin menjadi isu bagi sesetengah pihak, memandangkan penambahbaikan dan perubahan bukanlah 100% upgrade besar. Sudah tentu, ia memberi peningkatan prestasi sebanyak 10%-15% berbanding Ally original tetapi harganya juga meningkat 30%.
Ia merupakan pilihan yang bagus untuk mereka yang ingin peranti handheld gaming yang berkuasa dan sanggup membayar harga premium, tetapi pemain yang mempunyai bajet mungkin ingin mempertimbangkan Ally original atau menunggu diskaun.
Jika berminat, anda boleh melayari laman web rasmi untuk beli!
@gamersantaimy
Discussion about this post