Setiap tahun, pengeluar laptop akan mengeluarkan generasi baharu dengan menggunakan teknologi yang terkini. Yang berada di tangan saya hari ini adalah ROG Zephyrus M16 (2023), terima kasih kepada ASUS ROG kerana memberikan kami peluang untuk mencuba laptop hebat ini.
Hebat bukan kerana CPU dan GPU yang paling berkuasa tetapi terdapat sistem penyejukan yang menyokong kedua-dua komponen dan dapat membendung haba serta mengekalkan suhu di bawah paras ketidakselesaan.
Kalau anda nak tahu lebih banyak perkara yang hebat di dalam laptop ini, jom kita lihat satu per satu dalam review ROG Zephyrus M16 (2023).
Reka Bentuk & Port I/O

Buka sahaja kotak, anda akan diberikan sebuah laptop ROG Zephyrus M16, 2 pengecas (1x ø6.0 280W; 1x USB Type-C 100W), beg ROG dan ROG Gladius III mouse P514.
Seperti yang kita tahu, reka bentuk ROG memang sangat mengagumkan dengan menampilkan ciri-ciri seorang gamer. Sejak dua atau tiga tahun lepas, mereka telah memperkenalkan LED AniMe Matrix di bahagian belakang laptop di mana pelbagai animasi ringkas boleh dimainkan.

Dan dalam ROG Zephyrus M16, mereka masih mengekalkan LED AniMe Matrix di bahagian belakang. Cuma apa yang dilakukan adalah menambah baik ciri-ciri tersebut. Perkara ini sangat cantik dan terdapat pelbagai animasi yang boleh dipakai. Anda boleh menukar animasi atau menambah animasi baharu dengan menggunakan Armory Crate.
Namun, saya agak risau tentang panjang hayat bateri laptop ini kerana LED AniMe Matrix sudah pasti akan memakan jumlah bateri yang sangat banyak. Bukan setakat itu sahaja, lubang yang mengeluarkan cahaya LED itu sendiri cukup besar untuk dimasuki habuk-habuk kecil. Mungkin pada bahagian ini, anda perlu kerap membersihkan laptop selepas ini.

Lid ROG Zephyrus M16 menggunakan bahan aluminium dan chasis-nya pula diperbuat daripada “magnesium-alloy metal”. Memandangkan keliling laptop ini diperbuat daripada logam, ROG Zephyrus M16 ini sangat kukuh semasa saya membuat beberapa ujian ketahanan. Saya langsung tidak nampak sebarang lengkungan atau kelenturan semasa menguji laptop ini.
Tambah pula dengan ErgoLift Hinge yang didatangkan pada laptop ini sangat kuat, saya langsung tidak nampak skrin bergoyang semasa saya membuat kerja atau menaip dengan sangat kuat. Ia juga boleh dibuka sehingga 180o.

Ketebalan Zephyrus M16 hanya 22.9mm dan beratnya pula adalah sekitar 2.3kg. Bagi saya, laptop ini sangat nipis dan ringan untuk kategori gaming laptop. Apa yang lebih mengagumkan adalah mereka dapat memasukkan dua komponen yang sangat hebat iaitu i9-13900H dan NVIDIA RTX 4090 ke dalam laptop nipis dan ringan ini.
Jika anda rasa RAM atau SSD yang disediakan tidak cukup untuk memenuhi kehendak, anda boleh menambah kedua-duanya di bawah laptop ini.
Untuk bahagian port I/O, laptop ini didatangkan dengan 1x 3.5mm Combo Audio Jack, 1x HDMI 2.1 FRL, 2x USB 3.2 Gen 2 Type-A, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C support, DisplayPort™ / power delivery dan 1x Thunderbolt™ 4 support DisplayPort™ / power delivery.
Keyboard & Touchpad

Secara jujurnya, saya sangat suka keyboard yang didatangkan pada Zephyrus M16 (2023) ini selepas lama mencubanya. Dengan “Travel distance” laptop ini sangat pendek, iaitu hanya 1.7mm sahaja, sudah pasti ia sangat laju mendaftarkan setiap “key” yang saya tekan.
Tambah pula dengan layout keyboard yang sudah biasa ditampilkan pada laptop ROG lain, saya berasa sangat selesa menggunakannya dan tidak menghadapi sebarang masalah. Jika anda sebagai pengguna baru ROG, sudah pasti anda akan menghadapi masalah typo dan macam-macam lagi kerana masih tidak biasa menggunakannya.
Sejak ROG Zephyrus M16 dilancarkan pada tahun 2021, mereka telah mengekalkan dengan menggunakan 1 zone RGB pada keyboard laptop ini. Disebabkan hanya 1 zone RGB, ia memberikan pengguna had yang sangat banyak untuk mengubah suai warna keyboard mereka. Ia hanya hadir dengan 4 corak efek sahaja.

Bergerak kepada bahagian bawah keyboard iaitu touchpad. Saiznya juga cukup besar untuk anda gunakan. Bagi saya, semuanya berjalan dengan sangat lancar dan tindak balas yang diberikan juga sangat pantas. Butang yang disediakan pada touchpad juga sangat bagus semasa menekannya.
Tetapi, apa yang merisaukan saya adalah kedudukan touchpad ini di tengah-tengah bawah keyboard. Kedudukan touchpad ini sangat berpotensi untuk mengganggu semasa menaip menggunakan keyboard. Mungkin menggerakkan sedikit ke sebelah kiri, ia mungkin telah menjadi sempurna.
Paparan dan Audio

ROG Zephyrus M16 menggunakan teknologi ROG Nebula HDR pada paparan mini LED mereka. Dengan nisbah 16:10, mereka menggunakan resolusi 2560 x 1600 bersama 240Hz refresh rate dan 3ms response time. Skrin laptop ini dilengkapi dengan 100% DCI-P3, Pantone Validated, VESA DisplayHDR, Dolby Vision dan mendapat sokongan G-Sync.
Untuk nisbah kontras pula adalah 10,000:1 dan ROG sendiri mengesahkan bahawa kecerahan paparan pada tahap maksimum adalah 1,000 nits. Saya rasa ia cukup terang untuk digunakan sebagai laptop seharian atau bermain game. Dengan menggabungkan jenis paparan dan kecerahan yang disediakan, ia menjadikan sesuatu perkara itu sangat mudah untuk dilihat.
Semasa bermain Battlefield 2042, saya dapat melihat perkara yang berlaku dari jarak jauh dan ini mungkin berkait rapat dengan kontras skrin. Warna yang ditampilkan juga sangat meriah.
Apabila saya bermain Returnal pula, warna yang ditampilkan sangat menyerlah sehingga musuh yang berada dalam keadaan gelap juga boleh dilihat dengan jelas. Dengan adanya teknologi seperti ini, ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi dapat meningkatkan pengalaman bermain dengan sangat baik.

Tambah pula dengan refresh rate yang didatangkan adalah 240Hz, semuanya terasa lebih lancar lagi-lagi semasa bermain game FPS seperti Apex Legends dan Valorant. Memandangkan nisbah paparan yang digunakan pada Zephyrus M16 adalah 16:10, anda mungkin rasa kekok untuk menggunakannya kerana ia menawarkan lebih banyak ruang menegak.
Bagi audio ROG Zephyrus M16 pula adalah sangat baik. Ia dapat mengeluarkan audio yang sangat kuat dan tidak banyak “distort” audio yang saya dengar. Bagi saya, kualiti bunyi yang dikeluarkan adalah sangat bagus dan jelas, tetapi bass dan treble agak lemah sedikit.
Hayat Bateri

ROG Zephyrus M16 didatangkan dengan bateri 90Whr di dalamnya dan boleh menggunakan kedua-dua pengecas yang diberikan di dalam kotak. Cuma kelajuan pengecasan sahaja yang membezakan. Berikut adalah konfigurasi yang saya gunakan semasa menguji hayat bateri:
- Silent Mode
- Volume speaker 50%
- 50% kecerahan
- Tiada AniMe Matrix
- Keyboard RGB Terang Penuh
- GPU diskret
- GPU Move in Ultimate
Dalam masa kira-kira 1 jam dan 46 minit, bateri yang tinggal adalah 8% daripada 100% dan laptop telah memasuki mode penjimatan bateri apabila masuk 20%. Dan apabila saya cuba mengecas menggunakan pengecas 280W, ia mengambil masa lebih kurang satu jam untuk naik sehingga 80% daripada 8%. Bagi saya, ianya sangat pantas dan sangat serba guna.
Armoury Crate

Setiap laptop ROG telah dilengkapi dengan software Armoury Crate di mana semua tetapan untuk laptop berada di sana. Untuk mengubah lampu RGB keyboard, macro key, operating mode dan banyak lagi.
Tetapi saya menghadapi satu masalah di mana mereka tidak meletakkan MUX Switch di dalam Armoury Crate. Sebaliknya mereka meletakkan tetapan MUX Switch di BIOS dan bagi saya ia adalah tindakan yang kurang bijak daripada mereka.
AniME Matrix

Feature ini merupakan perkara yang paling penting di dalam laptop ini. Untuk menukarnya adalah sangat mudah dengan menggunakan efek yang disediakan. Mereka juga membenarkan anda membuat animasi sendiri atau memasukkan animasi yang diambil dari mana-mana kerana ia menyokong format gif.

Anda juga akan mempunyai “virtual pet” di mana anda boleh memainkannya dan terdapat tiga mini-game yang disediakan. Semasa anda bermain mini-game, animasi ringkas akan dimainkan melalui AniMe Matrix dan bagi saya ia sangat tertarik.
Benchmark
ROG Zephyrus M16 2023 dilengkapi dengan Intel Core i9-13900H (40W TDP default) dan NVIDIA GeForce RTX 4090 (120W+25W) bersama 32GB DDR5 RAM. Berikut adalah markah benchmark yang diperolehi melalui pelbagai ujian.
3DMark – 18,378

PCMark 10 – 8,837

Cinebench R23 Multi Core – 19,321

Cinebench R23 Single Core – 2,046

Ujian Gaming
Semua game yang saya mainkan adalah di bawah resolusi 2560×1600 bersama tetapan grafik paling tinggi. Berikut adalah keputusan ujian gaming yang saya dapat.
Battlefield 2042
Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Tiada Ray Trace: Purata 90FPS
Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Ray Trace Ambient Occlusion: Purata 60FPS
Tetapan Grafik Maksimum – DLSS Ultra Performance- Ray Trace Ambient Occlusion: Purata 100FPS
Returnal (2560×1440)
Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Tiada Ray Trace: Purata 90FPS
Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Ray Trace Maksimum: Purata 65FPS-75FPS
Tetapan Grafik Maksimum – DLSS Ultra Performance – Ray Trace Maksimum: Purata 85FPS
Apex Legends
Tetapan Grafik Maksimum: Purata 140
Forza Horizon 5

Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Tiada Ray Trace: Purata 85FPS
Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Ray Trace Maksimum: Purata 74FPS
Tetapan Grafik Maksimum – DLSS – Ray Trace Maksimum: Purata 110FPS
Spider-Man Miles Morales

Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Tiada Ray Trace: Purata 95FPS
Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS – Ray Trace Maksimum: Purata 60FPS
Tetapan Grafik Maksimum – DLSS Ultra Performance – Ray Trace Maksimum: Purata 120FPS
Atomic Heart

Tetapan Grafik Maksimum – Tiada DLSS: Purata 120FPS
Tetapan Grafik Maks – DLSS Performance: Purata 210FPS
Sistem Cooling

Sepanjang saya menggunakan laptop ini, saya tidak pernah merasa tahap kepanasan yang melampau sehingga mengakibatkan ketidakselesaan. Suhu CPU yang paling tinggi pernah cecah adalah 97oC dan bagi saya itu adalah normal. Jika dalam kegunaan harian, suhu laptop tidak akan mencecah lebih daripada 90oC. Untuk suhu GPU pula, suhu tertinggi yang pernah dicecah adalah hanya 83oC.
Walaupun Zephyrus M16 ini menggunakan Intel i9-13900H dan NVIDA GeForce RTX 4090, ASUS dapat membuat kerja dengan sangat baik untuk membendung haba yang dikeluarkan oleh komponen yang hebat ini.
Semasa saya bermain game, saya langsung tidak merasa sebarang panas pada bahagian keyboard. Sebaliknya bunyi kipas yang dihasilkan adalah sangat kuat daripada apa yang saya sangka. Tetapi selagi anda memakai headphone atau earphone, bunyi kipas tidak akan kedengaran dengan sangat kuat.
Kesimpulan

ROG Zephyrus M16 2023 adalah salah satu laptop pertama yang dapat memuatkan Intel Core i9-13900H dan NVIDIA GeForce RTX 4090 didalamnya. Jika nak bercakap tentang prestasi, ia dapat menjalankan semua game dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah. Tambah pula dengan suhu yang dihasilkan adalah boleh diterima, saya rasa kagum sepanjang menggunakan laptop ini.
Skrin yang ada pada laptop ini sangat cantik kerana ia dapat menghasilkan warna paparan yang sangat hebat dan sangat sesuai untuk digunakan bukan sahaja untuk gamer tetapi pereka kandungan ataupun pereka grafik. Sementara prestasi laptop ini mampu menjalankan semua game, ia tetap ringan, nipis dan boleh dibawa ke mana sahaja.

Memandangkan saya telah membuat ujian dan menggunakannya dalam masa yang lama, saya yakin ROG Zephyrus M16 2023 ini adalah yang paling terbaik untuk didapatkan buat masa sekarang. Anda boleh bermain game di mana-mana sahaja asalkan anda gunakan pengecas sepanjang anda bermain.
Anda boleh lihat spesifikasi penuh di sini. Untuk mendapatkan lebih banyak review, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post