Kami kembali dengan satu lagi review baru untuk sebuah game oleh Bandai Namco Entertainment yang sudah dikeluarkan sejak 25 Ogos lalu. Berjudul PAC-MAN World Re-PAC, ia merupakan remake kepada game aksi-pengembaraan 3D, Pac-Man World, yang dikeluarkan oleh Namco pada tahun 1999. Bersama remake ini, beberapa perubahan telah dibuat termasuk visual HD, penambahbaikan gameplay, grafik HD, aksi tambahan, pertempuran bos yang dikemas kini dan banyak lagi.
Tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk PAC-MAN World Re-PAC!
Mode yang ditawarkan
Pac-Man World Re-PAC menawarkan tiga mode untuk dimainkan – Quest Mode, di mana Pac-Man memulakan pengembaraan untuk menyelamatkan keluarganya; Maze Mode di mana Pac-Man mendapati dirinya tersesat dalam maze 3D misteri; dan Original, yang menawarkan pengalaman Pac-Man original.
Quest Mode
Quest Mode ialah mode utama/mode kempen dalam game ini.

“Kisahnya bermula di parti hari jadi PAC-MAN. Semasa ia baru hendak bermula, mesin robot jahat TOC-MAN menyerbu masuk dan menculik keluarganya bersama bantuan konco-konco Ghost. Untuk menyelamatkan keluarganya, PAC-MAN mesti melalui enam dunia misteri di Ghost Island dan menewaskan pelbagai musuh.”

Di sini, pemain akan mengharungi pelbagai level linear melalui kamera yang perspektif tetap, sambil mengutip collectible, mengalahkan musuh (lemah dan bos) dan cuba menyelamatkan keluarga PAC.
Level akan diagihkan kepada beberapa kawasan dan akan berakhir dengan pertarungan bos. Matlamat setiap level adalah untuk memecahkan patung TOC-MAN. Masalahnya adalah laluan dipenuhi dengan halangan, musuh dan barang unik yang tersembunyi di tempat yang sukar dilihat.

Sebagai contoh, kita sering terjumpa “Pintu Buah-Buahan” yang memerlukan buah tertentu untuk dibuka. Ini biasanya memerlukan kita meneroka laluan baru atau mematah balik mengikut laluan lama. Pada masa yang sama, terdapat juga suis yang kita boleh tekan untuk mengubah persekitaran level sekeliling bagi mengeluarkan platform tersembunyi.
Sejumlah token juga bertaburan di seluruh level yang memberi kita peluang untuk mencuba mesin slot selepas menamatkan setiap peringkat. Jika berjaya dapatkan tiga buah yang sama, game akan memberi anda lebih banyak nyawa. Bagi pendapat saya, bahagian ini sama sekali tidak diperlukan dan sebenarnya sangat susah untuk dapatkan tiga buah yang sama secara berturut-turut (ataupun saya noob sangat).

Secara keseluruhan, gameplay sangat-sangat straightforward dengan fokus yang kuat pada aspek penerokaan dan mengumpul barang.
Maze Mode
Maze Mode membawa game klasik PAC-MAN kepada reka bentuk 3D maze. Reka bentuk setiap maze mengambil ilham daripada zaman arked Pac-Man, dan bertemakan dunia permainan seperti tema angkasa lepas, hutan dan sebagainya. Soal gameplay, kita akan melakukan perkara sama dalam mana-mana game PAC-MAN iaitu memakan “dots” dan mengelak daripada Ghost – hanya dengan rupa moden.
Original Mode
Selepas melengkapkan game utama, korang akan membuka Original Mode yang merupakan versi lengkap untuk game original.
Gameplay

Dibina semula khas untuk zaman moden, segala aksi sepatutnya rasa lebih intuitif berbanding sebelum ini. Bagi pengalaman saya, ia sepatutnya rasa mudah tetapi saya rasa mekanik permainan agak rumit untuk difahami oleh kanak-kanak kecil memandangkan mereka adalah komuniti yang disasarkan oleh pihak penerbit.

Tidak mengapa, berikut adalah senarai aksi yang boleh dilakukan PAC-MAN:
- Serangan PAC-Dot: Anda boleh menyerang musuh dengan melontar “dot” yang diperoleh daripada level!
- Butt Bounce: Lompat dan hempaskan punggung! Di samping menyerang musuh, anda juga boleh membuka peti harta karun dan menekan suis.
- Rev Roll: Digunakan untuk memanjat bahagian yang cerun dan menyerang musuh.
- Bomb Attack: Anda boleh menyerang kawasan yang luas dengan menggunakan 5 PAC-Dot yang boleh menewaskan semua musuh sekitar.
- Berenang: Anda boleh menyelam dan berenang di dalam air.
Eksklusif untuk remake ini, terdapat sejenis aksi dipanggil Hang in Mid-Air: di mana PAC boleh memanjangkan tempoh masa dia terapung di udara semasa melompat.

PAC-MAN juga boleh berubah kepada bentuk berbeza, yang membantu dalam pengembaraannya.
- Metal Pac-Man: Anda imun kepada serangan musuh untuk tempoh tertentu dan boleh berjalan di dasar air (untuk memecahkan harta karun)
- MEGA Pac-Man: Jika memakan Power Pellet, anda boleh menjadi gergasi dan memakan Ghost.
Pertarungan Boss merupakan highlight

Yang paling seronok sekali adalah Pertarungan Boss. Setiap boss mempunyai gimik berlainan yang membuatkan setiap pertarungan terasa berbeza. Ini membantu memastikan gameplay sentiasa berasa “fresh”.
Sebagai contoh, di level pertama kita harus berlawan dengan sampan gergasi bernama Windbag. Pertarungan ini terdiri daripada dua bahagian: bahagian pertama, kita perlu mengelak tembakan meriamnya yang sentiasa mengejar kita, dan di bahagian kedua, kita perlu melantun bola meriam pada saat yang tepat untuk menyerang!

Satu lagi contoh adalah pertarungan bos dengan Anubis. Di atas lantai terdapat empat “dash table” di mana PAC perlu rev-roll setiap satu sehingga perisai bos itu “rosak”. Semasa melakukan itu, anda perlu mengelak macam-macam jenis perkara seperti minion, bom berapi, taufan dan juga laser. Apabila lengan Anubis terbuka, inilah masanya untuk kita menyerang.

Secara keseluruhan, pertarungan saya dengan Anubis adalah antara paling sukar (saya mati sebanyak 8-9 kali). Jika mati, kita perlu ulang semula pertarungan daripada awal (tiada checkpoint) jadi bayangkan anda hampir membunuh bos (nyawa tinggal 1% HP gitu, tetapi kita mati).
Ini juga membuktikan bahawa remake ini bukan sekadar platformer generik dan menunjukkan pemaju benar-benar cuba untuk menghasilkan sesuatu yang unik dan menyeronokkan.

Jika Pertarungan Boss terlalu sukar, terdapat “easy mode” yang membantu menyelesaikan isu itu. Dalam easy mode, ‘Easy Blocks’ diletakkan pada bahagian-bahagian yang kita boleh jatuh di dalam level manakala lompatan “Hanging in Mid-Air” boleh digunakan untuk tempoh yang lebih lama. Ini membolehkan pemain baru atau mereka yang tidak yakin dengan kemahiran masing-masing, untuk bermain dengan mudah.
Visual

Untuk bahagian visual, remake ini bukanlah “overhaul” yang besar seperti judul-judul lain, tetapi masih berjaya mencantikkan visual PS1 dan mengemas kininya ke generasi baharu. Beberapa cutscene baru telah dibuat agar sesuai dengan estetika moden manakala keseluruhan dunia permainan mempunyai rupa yang lebih cerah, tajam dan konsisten berbanding versi original.
PAC-Man juga bergerak dengan lebih banyak personaliti tetapi mungkin lebih bagus jika saya dapat melihat lebih banyak variasi animasi.
Pendapat

Bagi saya, PAC-MAN World Re-PAC tidak rasa seperti remake yang tulen sedangkan game sudah berusia 2 dekad, tetapi masih mempunyai kualiti yang lebih bagus daripada sekadar remaster simple. Bandai Namco melakukan kerja yang baik dalam mengekalkan intipati original sambil melaksanakan dan bereksperimen dengan pelbagai ciri dan gaya baharu.
Namun, ia masih mempunyai beberapa masalah. Kawalan mungkin kelihatan rumit tetapi aksi platforming sebenarnya sangat-sangat basic. Sesetengah level agak menyeronokkan, tetapi ada yang membosankan. Apa yang benar-benar menjadikan level terasa repetitif adalah musuh yang tidak tujuan dan “collectible” tanpa fungsi.

Beberapa musuh diletakkan di suatu lokasi tetapi tidak memberikan apa-apa keseronokan sewajarnya (tidak termasuk musuh di “Space Level”, itu susah nak mampus!). Untuk collectible, terdapat begitu banyak yang tidak diperlukan seperti maze token dan token untuk mesin slot. Saya terpaksa melalui laluan yang sukar semata-mata untuk maze token.

Secara keseluruhan, PAC-MAN World Re-PAC ditujukan khas untuk kanak-kanak dan dalam erti kata itu, ia berfungsi dengan baik sebagai pengenalan kepada francais Pac-Man dan genre platforming secara umum. Ini adalah remake yang baik, kerana mencipta semula dan menambah baik formula versi original, tetapi bukan game terbaik dalam genre.
Jika korang suka game platformer 3D gaya klasik, PAC-MAN World Re-PAC sepatutnya masuk dalam wishlist anda.
Bagi sesiapa yang berminat, game ini sudah pun keluar di Nintendo Switch, PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S dan Xbox One serta PC Steam sejak 25 Ogos 2022.
@gamersantaimy
The Review
PAC-MAN World Re-PAC
PROS
- Visual HD yang dikemas kini dengan baik
- Pertarungan Boss yang imaginatif
- Banyak tambahan ciri QoL yang wajar
CONS
- Platforming cenderung berulang pada tahap tertentu Musuh yang membosankan (bukan pergaduhan bos)
- Collectible yang tidak menarik dan sia-sia
Discussion about this post