Untuk para pemakai phone gaming, korang pasti kenal dengan syarikat ZTE yang menghasilkan jenama RedMagic Nubia. Terkenal dengan smartphone gaming kelas elit, perantinya datang dengan pelbagai ciri penting termasuk perkakasan canggih, paparan yang cantik, storan yang besar, dan macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, Nubia kini memasuki pasaran phone gaming “lebih “mampu milik” dengan model baru bernama Nubia Neo 5G, yang kini dilancarkan di Malaysia.

Bernilai bawah RM1000 (khususnya RM899), smartphone ini direka untuk memuaskan hati para gamer di Malaysia yang ingin peranti gaming handal tetapi boleh didapati pada harga. Di sini, ZTE memberi peluang kepada kami untuk mencuba smartphone ini – tetapi adakah ia layak dipanggil “smartphone gaming”? Adakah ia mampu bersaing bersama peranti lain dalam kelasnya? Untuk tahu jawapannya, jom teruskan baca review ini.
Sebelum itu, mari lihat ringkasan spesifikasi di bawah untuk mendapat gambaran umum tentang kuasa Nubia Neo 5G.
- Skrin: 6.6 inci, FHD 1080×2408, 120Hz
- Cipset: Unisoc T820 6nm
- RAM: 8GB + 10GB RAM maya
- Storan: 256GB, Slot MicroSD
- Bateri: 4,500mAh, pengecasan 22.5W
- Kamera: Main 50MP, Depth 2MP, Front: 8MP
- OS: MyOS13 berdasarkan Android 13
Reka bentuk macam Transformers

Seperti mana-mana review, kita pasti akan bermula di bahagian luar, di mana ternyata, reka bentuk badan mempunyai penampilan mekanikal dan futuristik moden ala phone gaming sekarang.
Sekilas pandang, reka bentuk Nubia Neo 5G diinspirasikan oleh elemen mekanikal bionik, di mana Neo 5G cuba untuk menggabungkan ciri-ciri biologi seperti mata di tengah panel bersama gaya mesin futuristik bagi mencipta penampilan yang dinamik. Apabila terdedah kepada cahaya pada sudut tertentu, “mata” di bahagian tengah akan memberikan kesan 3D, seolah-olah memberikan renungan yang tajam dan mendalam.


Nubia Neo 5G boleh didapati dalam dua warna, dan sekarang di tangan saya adalah Phantom Black. Selain warna hitam, anda juga boleh mendapatkan War Damaged Yellow.
Secara keseluruhan, ukuran badan adalah setebal 7.49mm, yang menjadikan ini antara peranti dengan profil paling nipis pernah saya pegang. Daripada segi bahan, ia diperbuat daripada plastik tetapi panel belakang boleh disalah anggap sebagai kaca jika dilihat daripada jauh. Disebabkan rangka besi yang ringan dan mudah alih, ia memberikan rasa “pegang dan cengkaman” yang selesa untuk sesi gaming berpanjangan.


Di sisi kanan Nubia Neo adalah butang kuasa, yang juga berfungsi sebagai sensor cap jari dan di bahagian bawah peranti adalah port USB-C untuk mengecas serta bicu audio 3.5mm. Di sisi kiri adalah slot simkad.

Di dalam, Nubia Neo 5G menggunakan MyOS 13, sistem operasi berdasarkan Android 13. Tetapi apa yang membezakannya daripada smartphone Nubia lain ialah tema interface yang digelar Damaged Mecha. Umpama filem Transformers yang kita tonton di wayang, tema ini cuba untuk memberikan gambaran bahawa Nubia Neo 5G adalah peranti yang hidup dan sedang bersembunyi. Tema Damaged (cedera) boleh dilihat dalam ikon aplikasi bersama-sama dengan wallpaper, nada dering, animasi semasa mengecas peranti dan lain-lain.
Paparan 120Hz menjaminkan gaming pantas

Untuk smartphone gaming, skrin pantas adalah salah satu aset paling penting. Nasib baiklah, Nubia Neo 5G dilengkapi dengan skrin LCD 6.6″ FHD+ 2408×1080, 120Hz, panel IPS. Secara am, skrin ini sudah cukup untuk membuatkan visual setiap game sangat cantik dan berwarna-warni manakala menggunakan media sosial akan kelihatan/terasa lebih lancar.
Seperti saya kata tadi, kita boleh mengalami visual yang lebih lancar kerana paparan IPS (yang menjanjikan pandangan cantik di mana-mana sudut) dan ciri penukaran refresh rate secara automatik amtara 60Hz dan 120Hz bergantung pada kandungan yang dipaparkan. Sebagai contoh, paparan akan bertukar ke 120Hz semasa sesi gaming dan apabila keluar daripada game, paparan akan bertukar kepada 60Hz. Ini logik kerana berfungsi untuk menjimatkan bateri.

Berkat teknologi True Bright Display, skrin Nubia Neo 5G adalah 35% lebih cerah daripada standard industri. Apabila menggunakan peranti ini di bawah cahaya matahari, saya tidak pernah menghadapi apa-apa masalah dan kandungan masih terang. Buat sesiapa yang kerap memakai smartphone di luar rumah, ini berita baik kerana membuatkan tontonan luar lebih jelas tanpa gangguan silau matahari
Malangnya, sistem audio Neo 5G tidak berjaya menambat hati saya. Walaupun memiliki ciri DTS:X Ultra, sistem audio Neo 5G sekadar mono sahaja dan bukan stereo, yang merupakan kebiasaan pada smartphone masa kini. Walaupun kualitinya cukup bagus untuk tontonan video di media sosial, ia kurang baik apabila digunakan untuk gaming.

Mungkin ada yang akan panik tetapi alhamdulillah, Nubia Neo mempunyai port bicu audio 3.5mm, yang seeloknya dimanfaatkan untuk sambungan audio luaran seperti earphone atau headset.
Prestasi & pengalaman gaming

Biasanya, cipset daripada siri MediaTek atau Snapdragon akan digunakan untuk menguasakan smartphone di pasaran moden. Sebaliknya, Nubia Neo menggunakan jalan berbeza dengan memakai cipset Unisoc T820.
Cipset ini merupakan perkakasan baru yang selalunya digunakan untuk peranti kelas pertengahan dan berjalan pada proses 6nm dengan konfigurasi octa-core yang dibahagikan kepada tiga blok. Kluster pertama ARM Cortex-A76 adalah yang paling kuat di mana satu core berfungsi pada 2.7 GHz; ARM Cortex-A76 kedua mempunyai tiga core yang berfungsi pada 2.3 GHz; blok ketiga ARM Cortex-A55 mempunyai empat core yang berfungsi pada 2.1 GHz.

Dengan storan sebanyak 256GB dan memori sehingga 8GB RAM (yang boleh ditingkatkan kepada 18GB dengan RAM maya), peranti ini menawarkan banyak ruang simpanan dan prestasi pantas, untuk membolehkan urusan multitasking yang lancar dan loading yang cepat.
Selepas seminggu lebih mencuba, ulasan jujur saya adalah Nubia Neo mungkin adalah antara peranti yang paling handal dalam kelas pertengahan. Saya tidak pernah menghadapi masalah semasa menggunakan sosial media dan semua aplikasi berjalan lancar. Tujuan utama adalah gaming, jadi adakah ia dapat menepati piawaian tersebut?
Mengikut perkakasan, ia mampu menjalankan pelbagai game pada tetapan grafik tinggi atau sederhana. Di sini, saya mencuba 3 game mainstream yang majoriti orang Malaysia akan bermain:
Mobile Legends: Bang Bang
Antara ketiga-tiga game, pengalaman saya bermain Mobile Legends adalah yang paling lancar walaupun tetapan Ultra. Bayangkan semua hero keluar skill serentak semasa team fight – bersama model watak dan grafik skill yang HD – semuanya ditunjukkan dengan cantik dan jelas dalam game. Walaupun kualiti grafik ditetapkan kepada Ultra, tiada satu pun lag dalam mana-mana perlawanan saya. Jadi, tidak sukar untuk bermain Mobile Legends di Nubia Neo. Jadi, jika anda ingin bermain apa-apa game jenis MOBA, muat turun sahaja.
PUBG Mobile
Untuk PUBG, kualiti grafik terus ditetapkan kepada kualiti HDR semasa mula membuka game. Pandangan pertama, grafik masih nampak bagus dan dapat bermain dengan agak lancar. Walau bagaimanapun, ia menjadi masalah apabila menghidupkan anti aliasing. Game akan terasa sedikit lag (sebab ingin memuatkan peta PUBG yang besar).
Jadi, saya mengesyorkan semua orang untuk mematikan anti-aliasing atau merendahkan kualiti grafik untuk meringankan beban game itu. Lagipun, lebih mudah untuk mengesan musuh jika anda menurunkan grafik dan dapat memberi kita satu kelebihan. Yang penting hanyalah refresh rate, yang anda boleh terus kekalkan pada 120Hz.
Genshin Impact
Untuk ujian terakhir, saya mencuba Genshin Impact di Nubia Neo 5G. Boleh dianggap sebagai salah satu game paling mencabar daripada aspek grafik, saya agak terkejut dengan hasilnya kerana tidak sangka Nubia Neo dapat bermain Genshin Impact dengan lancar, sedangkan grafik ditetapkan kepada Highest (lazimnya peranti pada segmen ini tidak mampu untuk menguruskan Genshin Impact, jadi saya menjangkakan hasil yang sama).
Walaupun sedikit lag, tetapi ia bukanlah di tahap yang mustahil untuk dimainkan. Memandangkan Genshin mempunyai banyak tetapan grafik untuk ditukar, anda boleh mencuba bermula tetapan High dan mematikan atau menghidupkan beberapa ciri lain untuk pengalaman lebih lancar. Jangan salah faham, tetapan High masih cantik di mana grafik cukup tajam dan “vibrant”. Tetapi saya faham bahawa untuk benar-benar menikmati dunia Genshin, ramai pemain mahu bermain pada tetapan maksimum.
Jika anda tidak kisah, korbanlah sedikit untuk gameplay yang selesa.
Bateri dan soal kepanasan?

Nubia Neo mempunyai bateri 4500mAh yang tidak terlalu besar. Ini pun masuk akal, memandangkan smartphone ini nipis dan sangat ringan. Namun, saya tetap salut kepada ZTE kerana masih mengekalkan kapasiti bateri yang agak besar. Peranti ini juga dilengkapi dengan keupayaan pengecasan pantas 22.5W, dan boleh dicaskan hingga penuh dalam masa lebih kurang 40 minit ke bawah.
Daripada segi daya ketahanan, Nubia Neo mampu menguruskan sesi gaming berterusan hingga 2 – 3 jam sebelum mati (ujian ini dibuat berdasarkan tetapan maksimum dalam Mobile Legends: Bang Bang). Daripada segi penggunaan, saya yakin ia dapat bertahan daripada pagi sampai malam sehingga bateri habis, lalu menjadikannya sebagai peneman yang bagus sepanjang hari.

Apabila bermain game atau menjalankan tugas mencabar, panel belakang Neo 5G akan menjadi sedikit hangat, tetapi tidak sampai ke tahap yang tidak selesa untuk dipegang atau memberi kesan kepada prestasi. Selepas membuat kajian, ZTE mengatakan bahawa Nubia Neo memanfaatkan sistem pelesapan haba berbilang lapisan, yang tugas adalah untuk memastikan peranti kekal sejuk walaupun semasa sesi gaming intensif sambil mengoptimumkan prestasi.
Faedah gaming tambahan

Aplikasi Gamespace ialah salah satu ciri pada Neo 5G yang diambil daripada siri RedMagic dan membolehkan pengalaman gaming yang khusus untuk memenuhi keperluan individu dengan membenarkan para gamer memantau prestasi peranti dan memilih antara tiga tetapan —eco, balanced, dan high.
Selain yang saya sebutkan tadi, ia mempunyai macam-macam ciri menarik lain termasuk Game Performance enhancement, Audio Enhancement, Game Reminder, Bypass Charging dan lain-lain. Pengguna boleh mengubah suai tetapan mereka untuk meningkatkan prestasi gaming dalam Gamespace.

Sebagai rumusan:
- Game Reminder: Tetapkan peringatan supaya pemain tidak terlupa acara penting dalam game.
- Charge Bypass: Apabila bermain game, telefon akan dicas melalui penjaaan kuasa terus daripada sumber elektrik utama, dan bukannya bateri. Ini secara berkesan menghalang penjanaan haba keterlaluan. Jika anda selalu bermain semasa mengecas, ciri ini dapat memastikan bateri dalam keadaan baik.
- Screen Hang: Skrin dimatikan serta-merta. Ketik skrin untuk menghidupkan peranti. Apabila skrin dimatikan, game akan terus berjalan tetapi dalam cara lebih menjimatkan kuasa bateri.
- Anda juga boleh mengurangkan sentuhan yang tidak disengajakan atau salah sentuh di sudut bawah skrin, lazimnya kawasan di mana anda meletakkan tangan semasa gaming. Terdapat tiga pilihan, termasuk wide, medium, dan small.

Di samping itu, rangkaian 5G disokong oleh cipset Unisoc T820. Sememangnya, menggunakan sambungan 5G apabila tiada WiFi adalah pilihan terbaik (dengan syarat anda memakai simkad yang menyokong 5G). Ia juga mempunyai dua slot kad sim dan keupayaan untuk bertukar secara automatik di antara kedua-dua slot sim tersebut jika salah satu mengalami ketidakstabilan.
Kamera

Kemungkinan besar, anda tidak akan menggunakan smartphone ini untuk menangkap gambar. Walau bagaimanapun, ia menghasilkan imej yang cukup memuaskan untuk anda yang gemar bermain sosial media atau kerap mengemas kini info tentang aktiviti harian. Spesifikasi kamera adalah seperti berikut:
- Primary Camera 50MP, 5P; F/1.8
- Bokeh Depth Camera 2MP; F/2.4
- Front Camera 8MP, 4P; F/2.0
Berikut adalah contoh gambar menunjukkan kekuatan kamera:
Jika dibandingkan dengan kamera phone lain, hasilnya memang jauh berbeza. Namun, niat saya adalah untuk menjelaskan bahawa gambarnya cukup bagus untuk dimuat naik ke Insta/Twitter/Facebook.
Pada waktu siang, kameranya memang cemerlang, dan dapat menangkap warna yang cukup terang seperti yang saya lihat dengan mata termasuk butiran-butiran kecil lain. Masalahnya adalah jarak dinamik gambar perlu diperbaiki. Kadangkala, warna akan kelihatan agak pudar (lagi-lagi pada waktu malam dan terlampau gelap dalam keadaan tertentu.)

Mode potret untuk kamera utama pun agak bagus. Efek kabur di latar belakang sangat meyakinkan, di mana ia memisahkan subjek dengan kualiti hampir sempurna. Malangnya, tidak semua subjek dapat dipisahkan dengan jelas seperti bulu haiwan seperti kucing atau rambut yang terlalu kusut masai.
Sekali lagi, saya agak terkejut kerana Nubia Neo dipasarkan sebagai smartphone gaming, tetapi sistem kameranya penuh dengan ciri-ciri berguna. Dengan banyak mode berbeza untuk mencuba, termasuk panorama, night mode, potret dan pro – yang tinggal hanya kreativiti anda sahaja untuk memaksimumkan potensi kamera.
Kesimpulan

Secara keseluruhan, Nubia Neo 5G berfungsi sebagai smartphone gaming, seperti yang ditujukan oleh ZTE. Bagi saya, ia antara smartphone kelas pertengahan paling handal yang anda boleh beli dengan harga kurang daripada RM1,000, kerana kemampuannya untuk menjalankan kebanyakan game dengan lancar.
Sudah tentu, untuk mencapai harga ini, beberapa pengorbanan perlu dilakukan. Dengan bateri 4,500mAh, ia mempunyai bateri yang lebih kecil daripada kebanyakan peranti, dan tiada memiliki sistem audio stereo. Apatah lagi, ia tidak begitu baik untuk pemain yang mengutamakan grafik 100% cantik seperti Genshin Impact. Itu ternyata di luar kemampuan Nubia Neo.

Walaupun ada beberapa kekurangan, Nubia Neo 5G terbukti terlebih berkemampuan dari segi prestasi gaming. Dipasarkan sebagai smartphone gaming kos rendah yang cemerlang dalam menjalankan pelbagai game, ternyata ia memenuhi misinya. Peranti mampu milik ini memenuhi keperluan pemain di Malaysia yang menginginkan smartphone canggih penuh dengan ciri-ciri moden dengan reka bentuk yang bergaya.
Jika anda mencari telefon di bawah RM1,000 yang berorientasikan gaming, Nubia Neo 5G adalah pilihan terbaik anda.
Bagi mereka yang berminat, anda boleh mendapatkan Nubia Neo 5G sekarang di halaman Shopee rasmi pada harga RM899 di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post