Para pakar strategi di Relic bakal membawa kita kembali ke Perang Dunia 2. Bakal dilancarkan pada 23 Februari, Company of Heroes 3 memperkenalkan pelbagai ciri baharu kepada francais. Diakui di seluruh dunia sebagai salah satu game ‘real-time strategy‘ (RTS) terbaik dalam sejarah, adakah ansuran ketiga dapat mengekalkan reputasi ini?
Kami sempat mencuba game ini selama beberapa hari, jadi berikut adalah review saya untuk Company of Heroes 3.
Peperangan antara pelbagai pihak
Company of Heroes 3 ialah kisah perang antara tentera British dan Jerman semasa Perang Dunia Kedua di mana pemain boleh belajar secara beransur-ansur tentang sejarah dan latar belakang tentang kisah perang ini dengan menyelesaikan pelbagai misi dan kempen cerita.
Terdapat dua kempen berbeza dalam game, satu untuk British dan satu untuk Jerman. Setiap kempen mempunyai jalan cerita dan watak sendiri, untuk pemain mengalami perspektif dan strategi berbeza dari kedua-dua negara tersebut.
Kempen askar British mengisahkan bagaimana tentera British berperang menentang tentera Jerman di Afrika Utara dan Itali, manakala kempen Jerman menceritakan kisah bagaimana tentera Jerman berperang menentang British dan pasukan bersekutu lain di bahagian Timur dan Barat.
Seperti saya kata tadi, setiap kempen mempunyai matlamat dan cabaran berbeza, dan pemain perlu menggunakan taktik dan strategi tertentu untuk menyelesaikan setiap tugasan. Selain misi yang dibuat khas untuk game, pemain boleh mengalami peristiwa bersejarah terkenal, termasuk Pendaratan Normandy dan Pertempuran Stalingrad, yang menambahkan lebih banyak unsur realisme.
Tidak seperti game RTS lain, siri “Company of Heroes” menekankan gabungan taktik dan strategi masa nyata. Pemain perlu mengetuai dan membuat keputusan serta merta di atas medan perang, untuk mendapatkan kelebihan dengan mengawal sumber, membina pangkalan dan melatih askar.
Pemain bukan sahaja boleh memerintah infantri dan kereta kebal, malah juga boleh menggunakan pelbagai kaedah seperti serangan udara dan laut untuk mengawal medan pertempuran. Setiap negara mempunyai ciri dan taktik masing-masing, jadi pemain perlu memilih pasukan dan taktik yang paling sesuai berdasarkan situasi dan objektif untuk memenangi perang.
Game mode yang ditawarkan
Dalam mode kempen single-player, pemain mengambil peranan sebagai Allied Supreme Commander di Itali, dengan mengetuai tiga cabang berlainan. Selain gameplay RTS, game ini juga menampilkan peta besar jenis turn-based.
Kebanyakan pertempuran yang berlaku pada peta besar boleh dimainkan secara automatik, manakala pertempuran utama dipersembahkan dalam format strategi real-time dan berlaku apabila pemain memilih untuk terlibat secara manual dalam perang atau apabila menyerang kawasan penting tertentu.
Disebabkan setiap keputusan kita boleh memberi impak negatif atau postitif pada peperangan di kawasan tertentu, pemain perlu merancang terlebih dahulu perancangan untuk memastikan objektif dicapai dengan korban minimum dan dalam jumlah masa yang singkat. Itulah misi umum.
Pada masa ini, pemain juga perlu menjaga hubungan antara tiga pemimpin Rakan Bersekutu. Pemimpin-pemimpin ini terdiri daripada tentera British dan Amerika, masing-masing dengan idea sendiri. Jeneral Amerika bersikap melulu manakala jeneral British yang konservatif sentiasa mempunyai konflik.
Walau bagaimanapun, dengan melengkapkan sub-tugas yang diberi oleh ketiga-tiga pihak ini, pemain boleh meningkatkan kesetiaan mereka dan menggunakan sepenuhnya kebolehan bonus masing-masing. Sebagai contoh. tentera AS kuat dalam kuasa udara, tentera British kuat dalam tentera laut, manakala askar gerila tempatan boleh memberikan sokongan dalam hal-hal berkaitan perisikan.
Selain itu, pemain boleh meningkatkan level dan memperoleh skill point untuk memperoleh skil baharu, menghasilkan jenis askar baharu dan banyak lagi, bergantung pada gaya permainan.
Kempen kedua pula dibuat khusus untuk pasukan Axis di perang Afrika Utara. Pasukan ini, terdiri daripada orang Jerman dan Itali, dipanggil “Africa Corps” (DAK) dalam game; ini adalah salah satu pihak tenter yang kita boleh pilih, di mana taktik utamanya adalah mobiliti dan serangan pantas. Dengan gabungan kereta kebal, infantri dan artileri yang pantas, ia boleh menguasai medan perang Afrika Utara dengan laju dan merupakan antara anggota askar paling kuat di dalam game.
Bagi mode multiplayer, pemain boleh bekerjasama atau bersaing dengan pemain lain. Mode multiplayer termasuk gameplay berbeza, seperti bersaing untuk sumber, konfrontasi antara askar dan pertempuran bebas.
Akhir sekali adalah Essence Editor yang membolehkan pemain membuat peta, kempen, pasukan dan prop sendiri. Selepas siap, pemain kemudian boleh berkongsi karya kreatif ini kepada pemain lain supaya mereka pun dapat mencuba ciptaan anda.
Apa yang baru?
Medan perang yang dinamik adalah salah satu perubahan terbesar dalam game ini. Ciri baharu ini menjadikan persekitaran medan perang lebih realistik dan autentik.
Sebagai contoh; jika pasukan pemain bergerak melalui hutan, pokok dan semak, semuanya akan meninggalkan kesan (seolah-olah seperti dihancurkan kerana beribu-ribu askar dan kenderaan melalui jalan itu). Di samping itu, bangunan juga boleh dimusnahkan yang menambah realisme untuk mengambarkan keadaan perang yang huru-hara dan membinasakan.
Bukan itu sahaja yang semakin realistik. Kini, setiap unit dalam pertempuran mempunyai HP bar dan status sendiri. Ini penting untuk pemain menyemak bagi menjaga kesihatan dan mental umum askar. Pertempuran juga boleh dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling seperti cuaca, rupa bumi, dan masa.
Seterusnya, game ini memperkenalkan sistem ketinggian tanah, yang menjadikan aspek rupa bumi dan kubu lebih penting. Kawasan tinggi dengan pandangan yang baik sebenarnya lebih bagus daripada kubu yang dibina dengan baik, kerana menembak daripada kedudukan lebih tinggi akan menembusi kubu musuh (di kawasan rendah) untuk memperoleh damage berkesan.
Satu lagi contoh menarik adalah apabila nyawa kenderaan mencapai 0, ia mungkin tidak musnah sepenuhnya dan masih dapat digunakan untuk melindungi infantri. Jika terdapat ‘repair truck’, pemain boleh menjimatkan sumber untuk membaiki kenderaan mereka yang rosak berbanding menghasilkan kenderaan baharu.
Cuma, saya ingin membuat aduan.
Bahan sumber amat sedikit pada permulaan permainan. Oleh itu, ia lebih baik untuk mengundurkan tentera yang cedera kembali ke markas. Jika anda cuba memaksa pasukan untuk bertarung hingga mati, ia tidak ekonomik kerana kita pelru membelanjakan lebih banyak sumber bagi merekrut askar baharu.
Disebabkan game menekankan unsur realisme, pacing keseluruhan game menjadi lebih perlahan untuk menyerupai proses penyembuhan askar. Jadi saya terpaksa menghabiskan sekurang-kurangnya setengah jam pada setiap misi. Jika anda suka pertempuran yang lebih fast-paced, game ini mungkin tidak sesuai untuk anda.
Secara ringkas, pemain perlu mengubah suai strategi berdasarkan faktor ini untuk mendapatkan kelebihan di atas medan perang.
Sangat ramah bagi beginner
Sesetengah game RTS mungkin terlalu sukar untuk pemain baru. Ramai pemain yang kurang pengalaman memerlukan masa untuk membiasakan diri dan memahami mekanik di dalam game tetapi Company of Heroes 3 cukup ‘beginner friendly’.
Sebagai contoh, fungsi pembinaan bangunan telah ditukar ke automatik, dan tidak lagi memerlukan jurutera untuk campur tangan. Proses merekrut semula tentera selepas pasukan barisan hadapan berundur juga mempunyai pilihan automatik, lalu menghapuskan langkah membosankan di mana pemain perlu menambah askar satu demi satu serta mengurangkan jumlah masa operasi.
Sistem yang paling mesra sudah pasti adalah tactical pause. Semasa menghadapi musuh AI dalam kempen atau pertempuran, pemain boleh menghentikan game pada bila-bila masa untuk memikirkan arahan yang tepat dan sesuai bagi setiap unit. Dengan ini, ia mengurangkan kesalahan memudahkan pemain baharu.
Sudah tentu, game ini juga menyediakan mode beginner dan fungsi tutorial, yang membolehkan pemain baru mempelajari operasi dan strategi gameplay secara beransur-ansur. Bagi pemain yang tidak biasa dengan game RTS, amat disyorkan untuk bermula dengan mode beginner. Jangan pandang rendah pada mode beginner kerana saya sendiri banyak belajar pengajaran dan petua bagus untuk melaksanakan strategi dengan lebih berkesan.
Selain mode beginner, pemain juga boleh merujuk kepada panduan strategik untuk belajar lebih lanjut tentang strategi dan mekanik tertentu. Saya sudah jelaskan hal ini, tetapi ada pelbagai jenis tentera dan unit dalam game, masing-masing dengan kekuatan dan kelemahan sendiri. Jadi pemain perlu membangunkan strategi yang sepadan mengikut situasi musuh.
Grafik yang fokus pada realisme
Tidak perlu kata, grafik Company of Heroes 3 adalah antara yang bagus dalam pasaran RTS dan mempersembahkan suasana realistik era Perang Dunia II. Setiap pemandangan dan reka bentuk dalam game dibuat dengan terperinci, dan termasuk pelbagai kesan cuaca dan alam sekitar seperti hujan, kitaran malam dan pagi. Ini membuatkan menjadikan visual permainan lebih menarik dan menunjukkan peredaran masa yang membangkitkan realisme.
Bahagian animasi dan kesan khas juga sangat bagus. Apabila askar sedang menyerang atau bertahan, game ini memaparkan pelbagai animasi untuk taktik infantri dan menampilkan serangan api/peluru, bangunan yang dimusnahkan secara real-time, kesan habuk, dan kesan lusuh pada kenderaan. Kesan ini bukan sahaja meningkatkan aspek imersif pada medan perang malah membantu pemain menilai situasi medan perang dengan lebih baik.
Pendapat
Secara keseluruhan, Company of Heroes 3 adalah sekuel yang solid di dalam francais. Visual dan kesan bunyi sangat realistik lalu meningkatkan realisme dan suasana permainan, mekanik pertempuran dan gameplay mempunyai banyak penambahbaikan, dan pengenalan elemen baharu menambah keasyikan baharu kepada game.
Walaupun game ini memerlukan pemain mempunyai pengalaman asas dalam genre RTS dan pemikiran strategik, fungsi tutorial dan mode beginner boleh membantu para beginner mempelajari dan membiasakan diri secara beransur-ansur.
Jika bosan dengan mode single-player, jangan lupa untuk meluangkan masa dalam mode multiplayer yang membolehkan pemain terlibat dalam pertempuran online dengan pemain lain di medan perang yang disediakan atau melalui peta ciptaan sendiri.
Secara keseluruhan, Company of Heroes 3 ialah game RTS yang sangat bagus, dan bagi pemain yang menikmati genre ini, anda wajib cuba!
Company of Heroes 3 akan hadir di PC pada 23 Februari dan versi konsol masih dalam perancangan.
@gamersantaimy
The Review
Company of Heroes 3
Secara keseluruhan, Company of Heroes 3 adalah sekuel yang solid di dalam francais. Visual dan kesan bunyi sangat realistik lalu meningkatkan realisme dan suasana permainan, mekanik pertempuran dan gameplay mempunyai banyak penambahbaikan, dan pengenalan elemen baharu menambah keasyikan baharu kepada game.
PROS
- Grafik dan visual sangat realistik
- Mode single-player yang seronok dan interaktif
- Gameplay taktikal dan strategik yang menyeluruh
CONS
- Harus ada minat dalam game jenis perang strategi untuk menikmati game ini sepenuhnya
- Pertempuran terasa slow-paced
Discussion about this post