Sudah 32 tahun sejak tayangan terakhir siri anime original Ranma 1/2, tetapi semua itu akan berubah tidak lama lagi – kerana siri popular oleh Rumiko Takahashi ini sedang bersiap sedia untuk adaptasi anime baharu!
Seperti yang anda lihat di atas, sebuah teaser untuk anime baharu Ranma 1/2 telah dikeluarkan semalam. Setakat ini, tidak banyak yang didedahkan tentang projek baharu itu, sama ada ini adalah sekuel atau reboot serba baharu seperti Urusei Yatsura serta tarikh keluaran. Semua itu belum disahkan lagi, tetapi maklumat lanjut akan diberitahu pada 17 Julai nanti.
Sinopsis

“Cerita ini berkisar tentang seorang remaja bernama Ranma Saotome yang telah berlatih dalam seni mempertahankan diri sejak awal zaman kanak-kanak. Akibat kemalangan semasa dalam perjalanan latihan, dia disumpah menjadi seorang gadis apabila terkena air sejuk, manakala air panas akan mengubahnya semula kepada lelaki.”
“Sepanjang siri ini, Ranma mencari cara untuk melepaskan dirinya daripada sumpahan itu, manakala kawan, musuh dan tunangnya yang ramai sentiasa menghalang dan mengganggu usahanya.”
Tentang Siri Ini

Ranma 1/2 adalah siri manga Jepun yang ditulis dan diilustrasikan oleh Rumiko Takahashi, yang terkenal dengan Urusei Yatsura dan Inuyasha. Ia telah disirikan dalam Weekly Shonen Sunday dari Ogos 1987 hingga Mac 1996, di mana keseluruhan bab dikumpulkan dalam 38 jilid tankobon oleh Shogakukan. Menurut laporan, manga Ranma ½ mempunyai lebih 55 juta salinan dalam edaran, menjadikannya salah satu siri manga terlaris sepanjang zaman.

Disebabkan sukses tersebut, manga ini telah diadaptasi menjadi dua siri anime yang dihasilkan oleh Studio Deen iaitu: Ranma ½ dan Ranma ½ Nettohen, yang disiarkan di dari 1989 hingga 1992. Walaupun sudah lama tamat, pihak produksi mengeluarkan 12 OVA dan 12 filem kerana permintaan peminat. Malah, pada tahun 2011, sebuah siri televisyen live-action telah dihasilkan dan disiarkan di Nippon Television.

Selain di Jepun, anime original Ranma 1/2 turut disiarkan di seluruh dunia termasuk Malaysia menerusi Animax, dan 8TV. Saya sendiri mempunyai banyak memori menonton anime ini di Animax, dan tidak sabar untuk melihat adaptasi anime baharu!
@gamersantaimy
Discussion about this post