Sony Interactive Entertainment secara rasmi melancarkan Quick Spectral Super Resolution (QSSR); sebuah ciri upscaling baharu yang dibuat khusus untuk konsol PS5 standard.
Mulai hari ini, pemilik game Marvel’s Wolverine dan Ghost of Yōtei boleh memuat turun patch terbaharu yang menambah pilihan grafik QSSR ini. Pada masa yang sama, Sony turut membuka teknologi ini kepada semua pembangun PlayStation untuk game akan datang.
Bagi pemain yang masih setia dengan konsol PS5 asal dan tidak membeli PS5 Pro yang mahal, kemas kini ini memberi peningkatan grafik yang jelas pada konsol sedia ada secara percuma.
Sebelum ini, Sony memperkenalkan teknologi PlayStation Spectral Super Resolution (PSSR) pada PS5 Pro. Teknologi itu menggunakan AI untuk periksa gambar game piksel demi piksel. Cara ini membolehkan konsol membina semula gambar tajam beresolusi tinggi daripada render resolusi rendah, jadi visual nampak jelas seperti 4K tanpa jatuhkan frame rate.
Masalahnya, PS5 model asal tiada cip perkakasan AI untuk jalankan proses yang berat itu.
Untuk atasi masalah tersebut, pasukan grafik Sony bekerjasama dengan AMD melalui Project Amethyst. Tanpa perlu cip AI khas, Sony bina semula model machine learning ini dari awal. QSSR menggunakan sistem neural network yang lebih ringkas dan dioptimumkan untuk kiraan grafik half-precision floating-point (FP16) biasa… iaitu bahagian yang memang sudah ada kuasa pemprosesan tinggi pada cip grafik (GPU) AMD PS5 asal.
Secara mudahnya, QSSR membantu kurangkan masalah gambar berkelip-kelip dan garisan kasar, terutamanya pada bahagian kecil seperti wayar tiang elektrik, rambut watak, dan daun pokok di kejauhan. Hasilnya, game nampak lebih tajam pada TV 4K sambil mengekalkan frame rate yang lancar.
QSSR memang tidak akan buat PS5 biasa jadi sama taraf dengan PS5 Pro, kerana PS5 Pro masih ada kelebihan dari segi kuasa perkakasan dan kesan ray tracing yang lebih mantap. Tetapi, teknologi ini berjaya merapatkan jurang grafik antara kedua-dua konsol tersebut. Dengan binaan imej yang lebih kemas dalam mod resolusi dinamik, game kegemaran anda tidak lagi nampak kabur dan kurang gangguan visual ketika babak aksi pantas.
Di Malaysia, kos untuk naik taraf ke konsol premium seperti PS5 Pro agak tinggi. Jadi, apabila konsol sedia ada boleh dapat peningkatan visual ekstra secara percuma macam ini, ia memang satu kelebihan yang sangat berbaloi.









Discussion about this post