Berikutan open beta yang panjang dengan respon yang mengecewakan, MultiVersus bersedia untuk membuat comeback dengan “relaunch” pada hujung bulan ini. Mungkin ramai yang tidak tahu tentang MultiVersus, jadi izinkan saya menjelaskan dalam previu ini.

Secara ringkas, ini adalah platform fighting game free-to-play yang mengumpul watak-watak daripada francais besar Warner Bros. Entertainment, lalu setiap watak harus bertarung antara satu sama lain ala Super Smash Bros. Daripada hero terhebat DC seperti Batman dan Superman hingga ke Rick dan Morty, malah ada LeBron James daripada Space Jam: A New Legacy – semua watak ini akan bertemu.

Dalam MultiVersus “serba baharu” ini, maklum balas daripada open beta diterima oleh pemaju yang kemudian menambah baik pelbagai aspek.
Dibina semula dalam Unreal Engine 5, saya sendiri dapat melihat kesan pencahayaan lebih bagus dan tekstur lebih jelas. Selain watak dan peringkat baharu, “relaunch” ini juga akan menyertakan mode PvE baharu untuk pemain solo, serta sokongan cross-play dan cross-progression.
Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah preview saya untuk MultiVersus versi baharu!
Mode PVE Rift

Kita mulakan dengan penambahan terbesar dalam MultiVersus – iaitu “Rift”. Ini ialah mod PvE baharu, di mana anda berjuang melalui pelbagai peringkat dan berhadapan dengan musuh sambil memenuhi misi-misi khas untuk mendapatkan ganjaran.
Setiap Rift mempunyai tema khas, seperti “Multiversal Mayhem!” di mana Joker (musuh ketat Batman) bertindak sebagai penjahat utama, bersama jalan cerita pendek. Bukan Joker sahaja, setiap Rift adalah berdasarkan watak Warner Bros tertentu dan latar belakang yang mereka wakili. Setakat itu sahaja yang saya boleh beri spoiler.

Semasa bertarung melalui peringkat dalam Rift, anda juga dapat menemui mini-game – mode yang tidak berkaitan dengan pertempuran.
Setiap mini-game amat simple, straightforward, dan menyeronokkan. Tambahan ini membenarkan kita berehat daripada aktiviti berlawan tanpa henti; sebaliknya mengisi masa dengan aktiviti menyeronokkan, yang terdiri daripada menembak belon terapung dengan meriam atau melompat tali hingga ke permainan teka kad dan banyak lagi.
Sistem Pertempuran & Watak

Seperti yang disebut di atas, MultiVersus ialah game platform fighter yang menyerupai Super Smash Bros. Kita akan menyerang pihak lawan sehingga jumlah nombor mereka mencapai jumlah tertentu, lalu cuba “knockout” mereka untuk menang.
Secara keseluruhan, pertempuran terasa seronok dalam MultiVersus, lagi-lagi apabila saya melihat setiap watak diberi banyak perhatian untuk membawa keperibadian dan sifat mereka ke dalam game.

Dengan visual kartun, animasi sengaja bersifat bombastik, dengan serangan yang tidak mengikut undang-undang realisme. Setiap watak mempunyai set gerakan yang direka berdasarkan personaliti masing-masing, bukan setakat tumbukan dan tendangan – malah, serangan khas mereka pun sesuai dengan personaliti watak itu.
Contohnya, Banana Guard akan mengeluarkan dumbbell dan akan mula mengangkat pemberat itu di tengah-tengah pertempuran, manakala Gizmo akan mengayunkan beg popcorn karamel manis ke arah anda.

Setiap watak berfungsi secara berbeza mengikut ciri-ciri unik mereka. Hasilnya adalah game yang mempunyai mekanik pertempuran mendalam di mana pemain perlu belajar setiap watak untuk mengenali cara gameplay masing-masing.
Sebagai tambahan; walaupun kami sudah mengenali kebanyakan watak semasa fasa open beta, kali ini pemaju membawa lebih ramai tetamu yang tidak dijangka seperti… Jason Voorhees daripada Friday the 13th.
Pendapat

Secara am, MultiVersus adalah game menyeronokkan dengan watak-watak lucu dan pertempuran penuh huru-hara. Sepanjang previu MultiVersus ini, saya hanya mampu ketawa apabila melihat kesan kartun dan animasi berwarna-warni berlaku dalam skrin.
Malangnya, saya tidak dapat mencuba fungsi online kerana setiap kali menyambung dengan pemain lain, saya terputus sambungan serta-merta.

Walaupun begitu, saya melihat masa depan cerah untuk game ini, yang penuh dengan watak-watak kesayangan daripada Warner Bros. Bersifat kasual, visual kartun yang ceria, percuma untuk dimainkan, dan mode PvE, semua ciri-ciri ini memenuhi keinginan gamer untuk sesi bermain bersama rakan-rakan atau keluarga.
Pada masa yang sama, ia juga agak sukar dari segi pembelajaran dan pemahaman mekanik kerana watak-watak yang unik. Dalam erti kata lain, MultiVersus boleh memuaskan selera semua gamer, tidak kira kasual atau pemain serius.
Terima kasih kepada Epicsoft Asia kerana memberi kami peluang untuk previu game ini, dan bagi sesiapa yang berminat, MultiVersus akan dilancarkan pada 28 Mei 2024, untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One dan PC melalui Steam dan Epic Games Store.
@gamersantaimy
Discussion about this post