Kami baru-baru ini mendapat peluang untuk mencuba Little Nightmares III, ansuran terbaru dalam siri pengembaraan popular dari Bandai Namco Entertainment, tetapi kali ini dibuat oleh Supermassive Games, yang menggantikan Tarsier Studios.
Dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun 2025, Little Nightmares III memperkenalkan kisah baru dengan dua protagonis, Low dan Alone, ketika mereka mengharungi dunia seram The Nowhere.
Seperti pendahulunya, Little Nightmares III mengekalkan estetik 2.5D platformer teka-teki yang gelap dan suram. Kami berpeluang bermain selama kira-kira 50 minit, separuh masa secara solo di PS5 dan separuh lagi dalam sesi co-op di PC.
Sejak mula, suasana di The Nowhere terasa mengancam, dengan bayangan dan seni bina yang menimbulkan rasa bahaya serta misteri. Little Nightmares III bukan hanya membangkitkan kengerian lama tetapi menambahnya dengan memperkenalkan dua watak baru: Low, kanak-kanak bertopeng gagak dengan busur dan anak panah, dan Alone, gadis berambut tocang yang bersenjatakan sepana besar.
Setiap alat unik watak bukan sekadar hiasan; ia menambah lapisan teka-teki yang baru. Busur Low mampu mencapai objek jauh, sementara sepana Alone diperlukan untuk tugas fizikal, dengan setiap alat memerlukan strategi tertentu untuk menyelesaikan teka-teki. Interaksi alat-alat ini menuntut pemain mengatasi halangan persekitaran dengan cara baru, menjadikan teka-teki lebih mencabar dan memaksa pemain memikirkan pelbagai pendekatan.
Kemampuan untuk mengawal kamera juga penting, memberi pemain peluang untuk memerhati persekitaran dan menemui petunjuk. Ini berguna, kerana beberapa teka-teki sangat rumit dan memerlukan pemerhatian yang teliti.
Bermain Little Nightmares III secara solo dan dalam co-op memberikan pengalaman yang berbeza. Solo terasa lebih mirip dengan keadaan seram yang biasa kita alami, dengan rakan AI kawalan komputer yang (mengejutkan sekali) amat bijak. Rakan AI tahu bila untuk bertindak dan sering bergerak secara naluri, berlari menjauh apabila musuh menyerang.
Walaupun tindak balas ini menambah realisme, ia juga sedikit mengurangkan faktor ketakutan kerana anda boleh bergantung pada AI untuk membimbing anda, mengurangkan sedikit kengerian.
Dalam co-op, suasana seram mengambil bentuk yang berbeza. Ciri Friend Pass membolehkan pemain bekerjasama dengan rakan yang tidak perlu membeli game tersebut—penambahan hebat yang pastinya akan menggembirakan ramai orang.
Namun, mempunyai rakan di sisi mengurangkan unsur gelap dan menakutkan The Nowhere, kerana anda tidak menghadapi semuanya secara bersendirian. Malah, komunikasi antara pemain dalam co-op sedikit terbatas, terutamanya kerana tiada cukup isyarat komunikasi di dalam game.
Peminat Little Nightmares akan melihat reka bentuk yang sama pada seni dan persekitaran, masih menakutkan seperti biasa. Seorang antagonis utama, yang dikenali sebagai The Supervisor, berkeliaran di The Nowhere dan nekad untuk ‘melaksanakan tugasnya’. Dengan lengan yang banyak, kehadirannya meningkatkan ketegangan dan menambahkan rasa tergesa-gesa untuk menyelesaikan teka-teki dengan cepat atau bersembunyi.
Setakat apa yang kami cuba, Little Nightmares III nampaknya menjanjikan pengalaman seram yang semua orang tahu, tetapi dengan tamabah elemen co-op baru yang boleh diakses melalui ciri Friend Pass, membolehkan lebih ramai pemain merasai pengembaraan seram ini.
Aspek multiplayer mengurangkan sedikit rasa takut, tetapi menambah elemen teka-teki yang menarik, mengajak pemain meneroka The Nowhere bersama atau sendirian. Keunikan watak Low dan Alone, bersama visual yang diperbaharui dan antagonis yang menyeramkan, memastikan game mengekalkan gabungan unik seram dan aksi menyelesaikan teka-teki yang sinonim dengan siri ini.
Little Nightmares III akan keluar di PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC (Steam) pada 2025. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post