Anda pasti pernah bermain Space Invader kan? Apa jadi kalau gameplay yang sama bertemu visual moden? Itulah premis CYGNI: All Guns Blazing yang bakal dikeluarkan pada 6 Ogos nanti.
Merupakan ‘space shooter’ yang dibangunkan oleh KeelWorks dan diterbitkan oleh KONAMI, game ini menggabungkan elemen ‘twin-stick vertical scrolling sci-fi shoot ’em up’ klasik dengan teknologi grafik moden, untuk memberikan pengalaman visual dan audio yang serba baharu kepada pemain.
“Dikurang di sisa-sisa tamadun yang telah lama hilang di planet CYGNI, umat Bumi musnah akibat serangan mengejut daripada bangsa asing biomekanikal yang kuat. Sebagai salah seorang juruterbang terakhir pada kapal terakhir dalam armada, anda adalah satu-satunya barisan pertahanan terhadap serangan makhluk asing yang gergasi.”
Tanpa melengahkan masa lagi, inilah previu kami selepas bermain demo CYGNI: All Guns Blazing!
Gameplay

Gameplay cukup mudah: iaitu kalahkan musuh yang tidak terkira banyaknya pada setiap peringkat, lawan hingga sampai ke bos, bertahan hidup hingga akhir, dan ulangi perkara sama di peringkat seterusnya.
Berbeza daripada game space shooter klasik lain, CYGNI menggunakan sistem dual-mode. Jet pejuang bukan sahaja dilengkapi dengan pelbagai senjata tetapi juga perisai yang menyediakan keupayaan defensif.

Bar merah di bawah jet pejuang menunjukkan tenaga senjata, manakala bar biru mewakili perisai. Tembakan mesingan biasa tidak memakan tenaga bar merah, sebaliknya hanya peluru berpandu sahaja yang akan menelan bar merah.
Selain kedua senjata tadi, jet pejuang juga dilengkapi dengan senjata ‘serangan darat’ untuk memusnahkan musuh di tanah dan bangunan mereka. Selain itu, beberapa bos besar yang hanya duduk di darat juga hanya boleh dicederakan oleh senjata darat ini.

Seperti saya kata tadi, bar biru mewakili tahap perisai, yang boleh dipecahkan apabila diserang musuh. Perisai tidak menjana semula secara natural, tetapi perlu diisi oleh bebola tenaga yang dijatuhkan oleh musuh yang dikalahkan.
Satu lagi keunikan pada gameplay adalah pemain boleh menukar tenaga perisai kepada tenaga senjata, lalu mengumpul bebola tenaga lain untuk mengisi semula perisai. Secara tidak langsung, ini menghalang aspek pembaziran serta membolehkan kita mengecas semula senjata dan perisai secara serentak.
Sistem Dual-mode ini menambahkan lebih banyak pemikiran taktikal berbanding game klasik, kerana pemain mesti mengimbangkan antara ofensif dan defensif. Jika kehabisan perisai, ini mengakibatkan game over (di easy mode, pemain mempunyai tiga nyawa).

Selepas menyelesaikan peringkat, pemain akan memperoleh skill point berdasarkan jumlah musuh yang dikalahkan dan total masa untuk menamatkan peringkat tersebut.
Skill point boleh digunakan untuk meningkatkan jumlah dan kuasa senjata jet pejuang, yang membantu untuk peringkat yang semakin sukar. Pemain juga boleh memainkan semula peringkat sebelum untuk mendapatkan lebih banyak skill point bagi upgrade.
Visual dan Efek Bunyi Dinamik

Kesan visual cukup mengagumkan, dan boleh dikatakan antara space shooter paling impresif pernah saya bermain dengan alam sekitar dan reka bentuk musuh yang dibuat dengan teliti dan terperinci.
Bukan itu sahaja, latar belakang juga menimbulkan ruang angkasa yang dinamik, ditemani oleh kesan letupan dan pencahayaan realistik yang hanya boleh ditemui di game moden.
Daripada apa yang saya dengar, efek bunyi pun dilakukan dengan baik, digabungkan dengan muzik orkestra yang megah, ia seolah-olah kita menonton filem sci-fi yang dramatik.
Pendapat

Secara keseluruhan, saya faham matlamat studio untuk CYGNI: All Guns Blazing di mana mereka tidak ingin mencipta semula genre space shooter, tetapi ingin meningkatkan genre ke tahap seterusnya untuk menyampaikan sensasi yang lebih tinggi bagi generasi baharu.
Dengan menggabungkan teknologi grafik moden dengan elemen shooter klasik, ia memberi pengalaman gaming yang terasa baharu tetapi pada masa yang sama, masih bernostalgia.
Sebagai tambahan, sistem dual-mode menambah lapisan taktikal, memerlukan pemain untuk mengimbangkanantara ofensif dan defensif, daripada sekadar menembak dan mengelak.

Seterusnya, kesan visual dan bunyi yang direka dengan teliti menjadikan setiap pertempuran terasa mengasyikkan, dan bagi saya, cukup menarik untuk gamer zaman sekarang.
Akhir sekali yang saya ingin puji (walaupun tidak sempat mencuba) adalah game ini menyokong local co-op sehingga 2 pemain, jadi anda boleh bekerjasama dengan rakan untuk mengalahkan musuh bersama-sama.
Walaupun versi demo tidak menawarkan banyak kandungan, saya percaya game ini cukup menarik untuk genre-nya, dan saya tidak sabar apabila ia dikeluarkan secara rasmi nanti.
CYGNI: All Guns Blazing‘ akan tiba pada 6 Ogos 2024, untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, Steam, dan Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut tentang game ini, sila tekan SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post