Sesiapa yang membesar bersama game lumba arked klasik pasti tahu Crazy Taxi keluaran SEGA. Diperkenalkan pada tahun 1999, siri ini kekal dengan gameplay huru-hara yang meminta pemain mengambil penumpang, ketepikan undang-undang jalan raya, dan pecut melawan masa untuk menurunkan mereka sebelum kiraan masa berakhir.

Sekarang, SEGA bersedia melancarkan semula teksi ikonik tersebut ke zaman moden. Crazy Taxi: World Tour mengekalkan gameplay asas iaitu mengangkut penumpang dari titik A ke B, tetapi pada skala jauh lebih megah melalui kawasan yang luas, misi sampingan unik, perlumbaan jalanan, dan destinasi antarabangsa.

Tahun ini, kami berpeluang melihat game ini di dua acara berbeza. Pengalaman pertama adalah menerusi demo hands-on bagi lokasi Jerman di gamescom 2026, diikuti oleh Tokyo sewaktu Tokyo Game Show 2026.
Sungguhpun format tidak serupa, kedua-dua sesi tersebut memberi gambaran besar bahawa SEGA komited membawakan game ini ke pentas global.
gamescom 2026: Aksi Liar di Jerman

Sesi ujian di gamescom membawa kami meredah zon Jerman; sebuah persekitaran yang merangkumi lorong bandar sempit, seni bina bersejarah, serta laluan lapang, lengkap dengan mercu tanda ikonik Cologne Cathedral.
Apabila kenderaan mula bergerak, dinamik gameplay terus terasa akrab.

Sebaik penumpang melangkah masuk, masa mula berdetik pantas. Sepanjang laluan, kita boleh menumpangkan orang lain bagi menambah saat-saat berharga pada timer. Pada masa yang sama, aksi ekstrem seperti drift dan pecutan boost menjadi kunci untuk memendekkan tempoh perjalanan.
Selain penghantaran biasa, demo tersebut menyelitkan beberapa misi unik:
- The Launch: Tugasan khusus yang menghendaki kami mengangkut seorang penumpang lalu menekan Crazy Stop secara drastik sehingga melayangkan mereka ke udara.
- The Getaway: Aksi kejar-mengejar bersama pihak polis, di mana kereta peronda perlu ditewaskan terlebih dahulu sebelum sempat menurunkan penumpang di lapangan terbang.
- Street Racing: Acara lumba satu lawan satu yang membolehkan pemain melupakan tugas teksi seketika demi “bertarung” di jalan raya.

Skema kawalan masih setia dengan versi arked. Manuver terkenal seperti Crazy Drift dan Crazy Dash membolehkan kereta merembat selekoh tajam serta meluru laju di laluan lurus dengan mudah.
Aksi menyelinap antara kenderaan awam, meluncur di selekoh, dan memburu laluan tikus terpantas masih menimbulkan adrenalin yang sinonim dengan siri ini.
TGS 2026: Tokyo Sertai Jelajah

Beralih ke Tokyo Game Show, peluang memegang controller untuk bermain tidak tersedia. Namun, SEGA menjelaskan peta Tokyo melalui video yang menonjolkan susun atur serta keunikan suasananya.
Berbeza dengan Jerman, Tokyo memancarkan identiti metropolis yang lebih padat. Klip tersebut mendedahkan sejumlah mercu tanda dunia sebenar seperti Tokyo Gate Bridge, Tokyo Tower, kawasan pesisir Tokyo Bay, Asakusa, Tokyo Skytree, dan kesibukan persimpangan Shibuya.
Kehadiran kereta api yang bersimpang-siur di atas jejambat bandar turut menghidupkan suasana ibu kota Jepun.

NPC penumpang yang menunggu teksi turut disesuaikan dengan budaya setempat. Tayangan itu menunjukkan ahli gusti sumo yang menabur garam ritual sebelum melangkah masuk ke tempat duduk belakang, di samping penari tradisional anggun yang menggenggam kipas lipat.

Walaupun belum berpeluang memegang stereng di Tokyo, video tersebut mengesahkan bahawa SEGA memperkaya setiap destinasi dengan mercu tanda tersendiri, ragam penumpang yang unik, serta unsur lokal yang terserlah.
Pendapat

Berbekalkan pengalaman memandu di zon Jerman dan rakaman Tokyo, jelas sekali Crazy Taxi: World Tour tidak mengorbankan resipi asal yang terbukti berkesan. Pemain masih mengejar tambang, menekan pedal minyak sedalam-dalamnya, mengasah drift, melepaskan boost, dan merebut setiap baki saat.
Kelainan paling ketara kali ini adalah kebebasan menjelajah di mana kita tidak lagi terkurung di satu bandar semata-mata.

Bermula dari celah lorong di Jerman hingga ke kota Tokyo yang padat, francais kegemaran ramai ini sedang berevolusi menjadi sebuah ekspedisi benua.
Walaupun masih banyak rahsia yang belum didedahkan (khususnya rasa memandu kereta di Tokyo), satu hakikat sudah terang lagi bersuluh… Crazy Taxi bersiap sedia melancarkan aksi liarnya ke seluruh dunia.
Game ini akan keluar pada tahun 2027 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC, dan Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.




![[TGS2026] Game Indie ‘Face UFO’ Menang Besar Di Anugerah Sense of Wonder Night](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/SOWN-2026_PEMENANG_FI-1-75x75.jpg)




Discussion about this post