Sejak dilancarkan, Horizon Forbidden West telah diakui di seluruh dunia sebagai salah satu game open-world paling bagus di seluruh dunia. Daripada gameplay dan visual hingga ke jalan cerita dan muzik, ramai yang memuji game ini. Walaupun sekuel baharu sudah disahkan secara rasmi, ia masih akan mengambil masa yang lama untuk dihasilkan – jadi untuk memuaskan hati peminat buat sementara waktu, PlayStation dan Guerrilla Games telah mengeluarkan expansion DLC besar untuk Horizon Forbidden West bertajuk Burning Shores sejak bulan lepas.
Berikutan kesimpulan game original, kali ini pemain akan dibawa dalam pengembaraan besar ke wilayah baharu yang dahulu dikenali sebagai “Los Angeles”. Disebabkan ini adalah expansion, isi kandungan yang ditawarkan sememangnya lebih terhad daripada game penuh, tetapi sekurang-kurangnya ia masih ada banyak kandungan menarik untuk dinikmati, terutamanya untuk gamer perfectionist.
Adakah DLC Burning Shores seperti yang kita bayangkan? Jom lihat review ini!
Jalan Cerita
Saya tidak akan pergi ke bahagian ini terlalu mendalam kerana takut memberi spoiler tanpa sengaja, terutamanya bagi mereka yang belum bermain atau menamatkan game original Horizon Forbidden West. Tetapi Burning Shores ialah sekuel langsung yang meletakkan Aloy dalam sebuah pengembaraan ke wilayah baru di Los Angeles untuk menyelesaikan konflik dengan kumpulan Far Zenith.
Jalan cerita baharu ini juga memperkenalkan watak baharu bernama Seyka, yang diperkenalkan sebagai ahli suku Quen. Sebagai “watak penting” untuk DLC, Seyka memainkan peranan yang besar dan akan banyak membantu Aloy dalam pengembaraannya. Jadi bagaimana dengan jalan cerita secara keseluruhan?
Bagi saya, sejujurnya tiada apa yang istimewa dari segi plot utama. Kita tidak akan diberikan plot twist besar atau apa-apa berita mengejutkan. Walaupun plotnya boleh dianggap agak tipikal, kekuatan utama jalan cerita sebenarnya terletak pada sifat dan personaliti watak terutama Aloy sendiri.
Untuk DLC, dia lebih bersifat “terbuka dan mesra” berbanding dirinya yang begitu taksub dengan misi di Horizon Forbidden West. Aloy kini lebih matang dan tidak lagi menunjukkan kelemahan – sungguh berbeza dengan dirinya dalam Horizon Zero Dawn. Saya pasti ramai juga akan suka dengan perubahan ini (siapa sahaja yang suka heronya lemah dan suka merungut).
Sebagai info tambahan, kempen Burning Shores hanya boleh diakses oleh pemain yang telah menyelesaikan game original. Dikira sebagai DLC “end-game”, lebih baik anda bermain game ini selepas menamatkan jalan cerita utama – supaya diri lebih kuat dan anda lebih memahami jalan cerita.
Apa yang baru?
Selain jalan cerita, apa lagi kandungan yang baharu? Seperti biasa, sejumlah machine, senjata, dan gear baharu diperkenalkan.
Mungkin ramai daripada anda semua tidak sabar untuk melihat machine baharu, memandangkan keseronokan utama datang semasa kita berhadapan dengan mereka dalam pertempuran. Malangnya, DLC ini mungkin agak mengecewakan dalam hal ini kerana Burning Shores hanya membawakan 3 machine baharu sahaja iaitu Bilegut, Stingspawn dan Waterwing.
Bilegut berbentuk seperti katak gergasi, dan bukanlah machine yang susah untuk dikalahkan. Tetapi Stingspawn lebih menjengkelkan kerana boleh melanjutkan tempoh pertarungan kita menggunakan kebolehannya. Daripada segi reka bentuk, saya tidak menghadapi banyak masalah, dan agak menikmati playstyle musuh yang menguji kemahiran kita (bagus untuk pemain mengasah semula kemahiran jika lama tidak bermain).
Waterwing pula ialah machine istimewa yang diperkenalkan di Burning Shores. Ia bukan sahaja boleh digunakan sebagai tunggang boleh terbang, malah ia juga mampu menyelam di bawah air. Disebabkan kita berenang di bawah air dalam Forbidden West, sekarang kita boleh bergerak dengan lebih laju di dalam air.
Untuk senjata, ada satu tambahan menarik iaitu Spectre Gauntlet. Ini adalah senjata jarak jauh ala mesingan futuristik yang pernah digunakan oleh puak Far Zenith. Walaupun ia boleh menampung banyak peluru, damage yang dihasilkan agak lemah, dan bentuk mesingan membuatkan senjata ini susah untuk dikawal. Pada masa yang sama, Spectre Gauntlet tidak boleh dilengkapi dengan Coil.
Di samping itu, Aloy akan membuka akses kepada banyak kawasan baharu secara automatik yang menghuni pelbagai merchant. Merchant baharu bermaksud gear baharu, jadi ada banyak peralatan dan Coil (sejenis modifikasi yang memberi stats tambahan) unik untuk dicuba. Bagi mereka yang gemar menggayakan Aloy, ada banyak outfit legendary yang pasti akan menjadi dilema.
Seperti mana-mana game Horizon, seeloknya anda bereksperimen dan melihat mana satu yang sesuai dengan playstyle sendiri. Satu lagi nasihat adalah semua kandungan baharu ini mahal untuk diperoleh, jadi pastikan anda mempunyai Brimshine yang mencukupi untuk belanja.
Akhir sekali, kita disajikan dengan kawasan metropolitan Amerika yang bercampur dengan alam liar. Tidak boleh dinafikan, visual dan grafik dalam mana-mana game Horizon memang “top-class” di mana kawasan baharu itu mempunyai banyak pulau dan kawasan berhampiran gunung berapi. Berkat kualiti grafik oleh Decima Engine, dunia secara keseluruhan sememangnya dibuat dengan banyak butiran kecil. Di mana-mana saya menjelajah, saya seolah-olah rasa diri terpukau melihat keindahan game ini.
Pendapat
Semua yang Horizon Forbidden West: Burning Shores tawarkan dari segi kandungan DLC cukup memuaskan. Bagi saya, ini adalah expansion DLC yang memenuhi matlamatnya bagi “menambah pengembaraan terakhir kepada Aloy” sebelum sekuel ketiga pada masa hadapan.
Walaupun begitu, apa yang ditawarkan di dalam tidaklah begitu istimewa. Saya menjangkakan kuantiti kandungan lebih banyak berbanding The Frozen Wilds, terutamanya pada machine atau misi, tetapi ternyata ia cukup-cukup memadai sahaja. Selagi jangkaan anda tidak tinggi, selagi itu DLC ini cukup menyeronokkan. Janganlah korang harap aksi yang sama padu seperti di dalam main game.
DLC Horizon Forbidden West: Burning Shores kini tersedia di PS5. Malangnya, Burning Shores tidak tersedia di PS4. Jika anda ingin membaca review kami untuk game original, tekan di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post