Tahun lepas, studio terkenal FromSoftware menang anugerah Game of the Year untuk “Elden Ring” dan kini untuk 2023, semua orang menanti karya terbaru mereka iaitu Armored Core VI Fires of Rubicon. Merupakan sekuel kepada game aksi mecha klasik, jangkaan untuk game terbaru Armored Core memang sangat tinggi. Masa hanya tinggal satu bulan lagi sebelum ia dikeluarkan secara rasmi, jadi pasti ramai yang tidak sabar.
Saya cukup bernasib baik kerana dapat mengambil bahagian dalam preview hands-on untuk Armored Core VI; jadi sebelum ia dilancarkan pada bulan depan, izinkan saya menceritakan pengalaman awal saya bermain game ini.
Sesi Memulakan Game
Kami berpeluang bermain game Armored Core VI Fires of Rubicon selama 4 jam dengan build yang hampir siap dengan versi perlancaran. Seperti biasa, kami tidak dapat bermain versi penuh di mana Bandai Namco mengehadkan misi yang boleh kami akses semasa sesi hands-on ini. Malangnya, jika Bandai Namco beri akses penuh pun, saya tetap akan gagal kerana ternyata, Armored Core VI Fires of Rubicon jauh lebih sukar daripada apa yang dijangkakan.
Kami pernah mencuba game lamanya pada masa lalu, tetapi tahap kesukaran dalam entri ke-6 terasa lebih mencabar. Pada masa yang sama, ia masih terasa cukup adil. Walaupun menambah ciri-ciri gameplay moden daripada game terkini mereka, terutamanya daripada siri Soulsborne, From Software tidak melupakan intipati original siri Armored Core. Konsep mereka masih rapat dengan identiti Armored Core dan saya anggap ciri-ciri baharu yang ditambah pun terasa sangat natural.
Kami bermain preview awal ini di PC dan daripada segi tetapan grafik, Armored Core VI dilengkapi dengan banyak pilihan untuk gameplay yang fleksibel. Saya tidak dapat mengesahkan betapa stabilnya prestasi dan FPS semasa sesi hands-on kami, tetapi jelas bahawa game ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang lag, FPS drop, isu pepijat dan sebagainya walaupun sesi pertempuran sangat sengit dengan banyak kesan animasi cantik.
Struktur Misi
Armored Core VI adalah game semi-open-world, di mana kemajuan dan struktur misi masih sama seperti dalam game sebelum. Ini pun adalah pilihan reka bentuk yang penting, terutamanya untuk game mecha keran akita perlu kerap mengetepikan masa untuk melakukan modifikasi dan persiapan lain.
Dari permulaan, kita dicampak terus ke medan perang sebagai tentera upahan bernama “Raven” yang bekerja di bawah bimbingan individu misteri bernama bernama “Walter”. Pada mulanya, anda dilihat sebagai seorang amatur yang mesti membuktikan kemahiran dan kesetiaannya semasa melakukan pelbagai tugas berbahaya.
Segala usaha anda adalah untuk menyokong syarikat mega dalam mendapatkan “Coral”, tenaga berharga yang menjadi punca konflik dan pencetus di sebalik bencana “The Fires of Ibis”.
Mengikuti trend FromSoftware yang suka mencipta game berlatarkan dunia penuh bencana dan kesengsaraan, adegan serupa menyambut kita dalam Armored Core VI. Sebaik sahaja memahami peranan dan situasi dunia, kita akan terlibat lebih aktif dalam misi penting yang turut memerlukan kerjasama daripada askar upahan lain.
Penceritaan game hanya disokong oleh lakonan suara dan beberapa cutscene pendek yang menunjukkan pemandangan di luar mecha, tetapi limitasi ini tidak menjadikan game terasa kosong atau bosan.
Berkenaan struktur misi, kita akan diberi pilihan untuk memilih pelbagai misi sepanjang jalan cerita. Selepas menyiapkan satu misi, kita boleh kembali dan memainkannya semula misi lain bagi tujuan grinding jika perlu. Apa yang mengagumkan saya ialah variasi misi yang banyak – semuanya dipenuhi dengan adegan-adegan epik sendiri.
Satu contoh ialah misi yang memerlukan bertarung dengan Strider besar; sepanjang misi itu, kita perlu mencapai kakinya untuk melumpuhkan mecha gergasi tersebut sebelum ia sempat menyerang.
Untuk mencapai kaki mecha itu bukanlah mudah kerana anda perlu melalui banyak musuh sambil mengelak tembakan laser jarak jauh yang boleh membawa maut. Pada masa yang sama. penglihatan kita pun dikaburkan oleh ribut pasir, jadi bayangkan lah betapa susahnya misi itu.
Sesetengah misi dipenuhi dengan objektif mudah yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, manakala yang lain dibahagikan kepada beberapa fasa dengan checkpoint untuk kita menambah sumber.
Ada juga misi yang memberi kita pilihan untuk menghadapi bos mini yang sukar. Variasi inilah yang membuatkan Armored Core VI begitu seronok untuk dimainkan, kerana game ini sentiasa cuba untuk membuatkan pemain beraksi, sambil memastikan bahawa aksi yang kita alami adalah berbeza berbanding misi seterusnya.
Gameplay
Sudah tentu, gameplay menjadi salah satu keutamaan apabila menilai keseronokan game, lagi-lagi game mecha kerana kebanyakan game dalam genre itu berasa sangat kaku atau kekok. Di sini, anda tidak perlu risau kerana Armored Core VI amat memuaskan hati daripada segi kawalan, ketepatan dan respons yang benar-benar memenuhi jangkaan kami.
Tempo gameplay tidak sepantas Armored Core IV, tetapi ia juga tidak selambat Verdict Day, jadi terdapat keseimbangan yang bergantung pada senario pertempuran dan build AC anda sendiri.
Armored Core (AC) kita dilengkapi dengan empat slot senjata di mana dua digunakan di kedua-dua tangan dan dua di bahu. Anda boleh bebas memilih mana-mana kombinasi senjata untuk mencipta pelbagai serangan berterusan selagi ia masih boleh ditampung oleh AC, kerana setiap senjata mempunyai berat berbeza yang mesti dijaga supaya tidak melebihi kapasiti.
Dengan menggunakan campuran senjata, ia memberi lebih banyak tekanan kepada musuh, terutamanya jika anda melaksanakan kombo dengan ciri Assault Boost.
FromSoftware telah menekankan betapa pentingnya Assault Boost dalam gameplay, dan saya dapat memahami maksud mereka. Secara ringkas, ini adalah kemahiran yang membolehkan anda bergerak sepantas mungkin dengan memakan EN (energy boost).
Kemahiran ini berguna untuk melakukan pelbagai gerakan seperti meneroka peta besar dengan cepat, mengekalkan jarak semasa menghampiri musuh, menyerang mereka, dan mengelakkan serangan berturut-turut dari pelbagai arah. Lebih daripada sekadar memaksimumkan mobiliti, satu lagi ciri penting Assault Boost ialah supaya anda boleh bertarung dengan lebih agresif.
Siapa sangka bahawa penambahan Assault Boost boleh membuat perbezaan yang begitu drastik. Jangan anggap anda tidak perlu berhati-hati kerana gaya permainan yang agresif mesti ditemani oleh sifat waspada.
Musuh Armored Core VI sama menggerunkan seperti mana-mana game Dark Souls terutamanya apabila bertarung secara jarak jauh. Beberapa tembakan dari artileri kuat boleh mengurangkan banyak AP dan meletakkan AC dalam keadaan “staggered” yang memberikan peluang besar kepada musuh untuk membunuh kita.
Memandangkan kebanyakan misi dalam Armored Core VI perlu diselesaikan sekaligus, anda perlu menjaga sumber seperti peluru dan Repair Kit untuk memulihkan AP. Sesetengah pertarungan bos amat panjang, jadi itulah sebabnya saya sentiasa membawa Pulse Blade sebagai senjata utama kerana ia mengurangkaan penggunaan peluru, mempunyai cooldown yang rendah, dan attack damage yang tinggi.
Pertarungan bos yang brutal
Bagi pertarungan bos, ternyata ini adalah cabaran/kesukaran sebenar dalam Armored Core VI. Selepas melakukan beberapa misi yang agak mudah, saya terkejut apabila berhadapan dengan bos pertama, sebuah helikopter HC gergasi yang sangat sukar. Selain daripada HP yang tebal, bos ini dilengkapi dengan mesingan dan serangan peluru berpandu dengan pengesanan yang sangat tepat jadi anda mesti sentiasa berhati-hati apabila bergerak.
Assault Boost membantu dalam pertarungan ini, tetapi tidak semua serangan boleh dielakkan dengan mudah kerana kesan letupan serangan musuh masih mendatangkan banyak damage kepada AC kita.
Sekitar selepas sejam, barulah saya akhirnya mengalahkan bos ini dan kuncinya adalah untuk bermain secara agresif. Pada mulanya saya melawannya dengan strategi jarak jauh dan menggunakan bangunan di sekitar arena untuk melindungi diri sendiri. Tetapi jika tidak hati-hati, kita boleh terkena pada serangan berturut-turut yang sukar dielakkan, terutamanya apabila melawannya di udara.
Saya akhirnya mengambil kesempatan untuk duduk di bahagian atas bos supaya dia tidak dapat menembak peluru berpandunya dan menggunakan Assault Boost dan Pulse Blade untuk melakukan damage besar.
Kemenangan ini hanya membawa kami kepada bos yang lebih susah iaitu Juggernaut, sejenis robot artileri besar dengan pertahanan yang tidak dapat ditembusi. Apa yang menarik tentang misi ini ialah saya mendapat bantuan daripada tentera upahan lain yang juga menggunakan AC dan berfungsi sebagai gangguan, supaya saya boleh menyerang Juggernaut dari belakang dengan mudah. Permulaan pertarungan ini nampak sangat berat sebelah, tetapi saya tersilap.
Pertarungan akan terhenti sebentar apabila HP Juggernaut berada pada 50%. Saya ditinggal oleh rakan-rakan yang perlu menyelesaikan misi kecemasan, lantas kita seorang diri perlu menewaskan Juggernaut.
Sepanjang sesi, inilah pertarungan paling kejam yang mengambil kira-kira 50% daripada tempoh hands-on kami, dan akhirnya saya tidak dapat mengalahkan Juggernaut. Apa yang membuatkan bos ini begitu kuat ialah pertahanannya.
Selain daripada perisai hadapan yang tidak dapat ditembusi, bergerak di belakang Juggernaut juga amat sukar kerana bos ini sentiasa bergerak dan tidak meninggalkan ruang untuk kita menyerang balas. Walaupun ada peluang, bos ini akan segera melemparkan sejumlah periuk api dari belakang berkat sistem pertahanan sendiri.
Perlu ditekankan bahawa ini adalah pengalaman kami untuk dua bos pertama dalam game dan kedua-duanya adalah ujian yang sangat sukar. Terbukti, kunci untuk mengalahkan bos ini terletak pada gameplay Armored Core, iaitu untuk sentiasa bereksperimen.
Ini terdiri daripada menukar gaya permainan yang lebih agresif seperti cara saya mengalahkan bos helikopter HC, atau menggunakan bahagian baharu yang boleh mengubah prestasi dan keupayaan mobiliti AC. Namun, saya tidak dapat menggunakan strategi terakhir ini sepenuhnya kerana kekurangan masa.
Apa yang saya ingin sampaikan adalah jangan fikir anda boleh mengalahkan bos hanya dengan menghafal corak serangan mereka. Semua elemen lain juga perlu difikirkan sekali.
Sistem Customization
Game Armored Core tidak lengkap tanpa ciri customization AC. Kisah sebenar, saya tidak begitu mengambil berat tentang bahagian ini apabila memainkan game lama dan sebaliknya menganggapnya sebagai sesuatu yang leceh. Memang satu kesilapan besar, kerana inilah tujuan utama bermain game itu; iaitu untuk membina AC terbaik dan bereksperimen dengan build yang lebih cekap bagi menyelesaikan misi.
Setiap bahagian dalam game telah disesuaikan dengan spesifikasi uniknya sendiri, jadi anda tidak boleh menaik taraf semuanya untuk mendapatkan statistik maksimum. Pemain akan sentiasa berhadapan dengan pilihan untuk mengorbankan statistik khusus dalam AC anda bagi mendapatkan peningkatan di bahagian lain.
Situasi khas juga memerlukan pelarasan baharu. Jika anda rasa kehabisan EN terlalu cepat, maka anda perlu menukar Generator untuk mempercepatkan pemulihan EN yang sangat berguna selepas melakukan pergerakan seperti Quick Boost atau Assault Boost. Mereka yang ingin bergerak lebih pantas boleh menggantikan Booster, yang turut menyumbang kepada prestasi penerbangan keseluruhan.
Masalah yang paling biasa adalah beban berlebihan apabila memuatkan kombinasi senjata tertentu, maka anda boleh cuba mengubahsuai kaki AC yang menentukan keupayaannya untuk menyokong berat peralatan. Atas sebab ini, nasihat kami adalah untuk tidak menumpukan pada peningkatan dan penurunan statistik keseluruhan, tetapi memberi tumpuan kepada perkara yang anda rasa lebih penting.
Customization selebihnya menawarkan ciri-ciri penting lain termasuk pilihan reka bentuk AC. Anda boleh menukar warna dan tekstur setiap bahagian atau keseluruhan bentuk AC, termasuk melaraskan kombinasi warna, corak dan pelekat tambahan mengikut citarasa anda.
Bukan itu sahaja, game ini turut menyediakan ciri Image Editor yang membolehkan anda mencipta imej dengan menggabungkan preset sedia ada. Reka bentuk original dan gabungan bahagian AC anda kemudian boleh dikongsi dengan pemain lain melalui ciri AC Data dengan menukar Share ID.
Pendapat setakat ini
Dari perspektif seorang pemain yang tidak begitu minat game mecha, sejujurnya Armored Core VI Fires of Rubicon memberi pengalaman gaming yang lain daripada lain.
Terdapat penekanan kuat pada konsep gameplay dalam siri original, tetapi sebaliknya game ini juga membawa perubahan dan penambahan baharu yang jelas diinspirasikan oleh karya moden From Software. Ini terutamanya boleh dirasai dalam tahap kesukaran apabila melawan bos (umpama melawan bos Dark Souls), yang saya jamin akan membuatkan ramai pemain tertekan.
Pujian juga perlu diberi kepada variasi misi yang banyak dengan skala lebih besar. Setakat ini, saya sangat yakin bahawa Armored Core VI boleh menjadi entri yang baik dalam francais dan game yang wajib dicuba oleh peminat genre mecha.
Cuma, anda perlu faham bahawa ini game daripada FromSoftware – jadi anda digalakkan untuk bereksperimen dengan build baharu dan bertahan sabar semasa menghadapi musuh.
Maka, tamatlah preview kami untuk Armored Core VI Fires of Rubicon, yang bakal dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Steam pada 25 Ogos. Baca segala berita kami tentang game ini di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post