Penyanyi dan penulis lagu asal Jepun, milet, secara rasmi mengumumkan konsert solo pertamanya di Singapura yang akan berlangsung pada 27 Februari 2027 di The Star Theatre.
Memandangkan tiada tarikh di Malaysia disenaraikan dalam jelajah milet ASIA TOUR 2027, konsert di Singapura ini menjadi destinasi terdekat dan satu-satunya lokasi di Asia Tenggara setakat ini.
Dianjurkan oleh penganjur hiburan serantau SOZO, konsert ini akan bermula pada jam 8:00 malam. Jualan tiket umum akan dibuka bermula 18 September 2026, pada jam 12:00 tengah hari menerusi laman web.
Kategori tempat duduk merangkumi pilihan mampu milik sehinggalah ke pakej VIP eksklusif (harga dalam SGD, tidak termasuk yuran tempahan):
- CAT 1: S$248
- Termasuk lanyard jelajah eksklusif, VIP badge, dan poster berserta tandatangan digital oleh milet.
- CAT 2: S$208
- CAT 3: S$168
- CAT 4: S$138
- CAT 5 (Restricted View): S$128
- CAT 6: S$108
- CAT 7: S$98
Dibesarkan di Tokyo dan menghabiskan zaman remajanya di Kanada, milet mula melonjak ke arus perdana pada tahun 2019 menerusi lagu hit sulungnya, “inside you,” yang diterbitkan oleh Toru, pemain gitar daripada kumpulan rock terkenal ONE OK ROCK. Namanya semakin mekar di industri muzik Jepun, sehingga diberi penghormatan untuk mempersembahkan lagu “Hymne à l’amour” di pentas dunia sewaktu upacara penutup Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bagi peminat anime, suara milet sudah tentu amat dikenali. Beliau pernah berkolaborasi bersama kumpulan rock MAN WITH A MISSION menerusi lagu tema pembukaan bertenaga “Kizuna no Kiseki” serta lagu penutup “Koi Kogare” untuk anime popular Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – Swordsmith Village Arc. Baru-baru ini, beliau turut menyumbangkan lagu “Anytime Anywhere” dan “The Story of Us,” yang menjadi lagu penutup bagi siri anime hit Frieren: Beyond Journey’s End.









Discussion about this post