Tarikh keluaran World of Warcraft: Shadowlands semakin dekat, dan saya rasa ramai peminat ingin tahu maklumat baru tentang ekspansi baru ini. Satu demi satu zon baru diperkenalkan semasa ujian alpha, dan kami pun sudah membincangkan tentang hal-hal seperti Convenant, Bastion, Kyrian, dan lain-lain dalam ulasan sebelum ini. Untuk genapkan Shadowlands, saya ingin menjelaskan tentang zon terakhir, Revendreth.
Latar belakang Revendreth
Seperti yang dijelaskan oleh Steve Danuser (pereka naratif utama), Revendreth adalah salah satu zon di Shadowlands yang diasaskan oleh Sire Denathrius dan dihuni oleh Venthyr Covenant. Ia adalah tanah gothic penuh dengan rahsia gelap, dan tidak ada satu roh yang ingin berhuni di sini. Roh yang dihantar ke sini oleh Arbiter selalunya mempunyai kesalahan yang menghalang mereka daripada menduduki zon lain, dan datang ke Revendreth untuk menebus dosa.
Ia merupakan kewajiban Venthyr untuk menjaga roh tersebut – melalui seksaan yang tidak dapat dibayangkan ngerinya. Walaupun sebahagian besar Revendreth diselimuti kegelapan, ada beberapa bahagian di mana cahaya menembus awan dan terpancar di bumi. Banyak roh di Revendreth lemah terhadap cahaya dan telah dirantai di bahagian-bahagian ini.
Pemandangan utama Revendreth adalah istana besarnya, yang duduk di dalam sebuah hutan berkabus. Sin stone, sebuah batu nisan memenuhi jalan istana. Di atas batu nisan ini, tertera jenayah-jenayah si mati yag boleh dihapuskan ketika roh mempersiapkan diri untuk berjumpa Venthyr. Hutan kabus adalah di mana Venthyr memburu roh yang diseksa, mengisi mereka dengan harapan salah, kemudian menjejaki dan menyeksa mereka lagi. Satu lagi kawasan terkenaialah Ember Ward, yang terdapat di bahagian barat Revendreth dan merupakan salah satu kawasan di mana cahaya telah tembus masuk.
Konsep seni untuk dunia Revendreth
Pada awal fasa idea Revendreth, pasukan seni ingin menangkap tema vampir untuk persekitaran sekeliling. Sebuah sub-zon parit bernama Revmoat menunjukkan tanah di sini bukan lah seperti yang anda biasa jumpa di zon Azeroth lain. Di sini, akar-akar di bawah tanah terdedah dan mengisi udara dengan kabus misteri berwarna biru, bergabung dengan bahan pencemar yang mengalir daripada istana. Istana Transilvania pula membentuk sebahagian besar persekitaran bandar.
“Diilhamkan oleh tempat-tempat seperti Père Lachaise, Perancis, perhatian diberi pada susunan pasu-pasu kecil dan batu nisan yang saling berdiri antara satu sama lain, tetapi masih mengekalkan unsur-unsur organik yang biasa anda temui di taman.” -Gabe Gonzalez, Environment Artist.
Di Castle Nathria, ada sebuah bilik penjara yang menghuni roh-roh ganas di mana seorang Venthyr meletakkan sihir pada cerminnya untuk mempenjarakan roh di dalam dunia lain. Di tengah-tengah bilik ini ialah Kael’thas Sunstrider yang terpaksa menyerahkan diri di hadapan patung-patung Denathrius.
Konsep seni untuk Watak
Bentuk Venthyr yang besar dan unik adalah sebahagian daripada apa yang menjadikannya menarik. Satu cabaran yang pasukan WoW hadapi adalah untuk membuatkan reka bentuk lebih realistik, sambil mengekalkan daya tarikan ciri-ciri. Venthyr mempunyai lengan yang panjang dan tangan yang besar. Sekiranya membuat tangan yang lebih kecil, mereka akan kelihatan seperti manusia – tetapi jika mengikuti ukuran saiz dalam permainan, ia akan terasa seperti terlalu melampau. Hasilnya adalah kombinasi antara kedua-duanya.
Imej di atas merupakan sebahagian daripada lakaran awal makhluk Gargoyle. Konsep-konsep ini bereksperimen dengan banyak jenis idea termasuk jenis sayap, bentuk badan, wajah, rambut, dan lain-lain. Di sebelah kiri adalah contoh Gargoyle yang memakai perisai yang dilengkapi, dengan kedua-dua lengan dan sayap. Di sebelah kanan adalah lakaran untuk wajah dengan rambut panjang.
DeathWarg adalah makhluk yang setia, dan dibuat dahulu daripada batu lalu dianimasikan oleh Venthyr menggunakan anima. Mereka digunakan sebagai penjaga, teman memburu, binatang peliharaan, dan penyeksa roh. Semasa peperangan, DeathWarg berada di barisan depan untuk melawan askar-askar darat milik musuh.
“Diilhamkan oleh beberapa animasi lama kegemaran saya, saya mahukan makhluk ini mempunyai wajah kelawar dan badan beruang.” -Jay Nam, character artist.
Akhir sekali ialah Dredger Brute yang dicipta untuk membawa lebih banyak variasi kepada zon. Idea untuk sebuah makhluk yang digunakan untuk mengangkut batu-batu besar muncul dalam sebuah mesyuarat.
Konsep seni senjata dan prop
Venthyr terkenal di seluruh Shadowlands kerana kebolehan mereka untuk mengasingkan anima yang paling tulen dan pekat daripada roh menggunakan Ritual Anima Device. Namun, proses ini membawa kepada banyak bahan pencemar. Sketsa di atas menunjukkan beberapa lakaran awal untuk menunjukkan saki baki yang dibuang dari istana Nathria ke Endmire.
Memburu raksasa adalah sesuatu yang berbahaya. Di sini, Tom Yip selaku Senior Character Artist ditugaskan untuk membekalkan beberapa reka bentuk peralatan dan senjata yang menampilkan ciri-ciri unik unik Revendreth. Di atas adalah konsep untuk pedang biasa, pedang dua tangan, dan perisai bagi serangan hendap di Castle Nathria. Dengan pengaruh abad pertengahan yang kuat, mereka memutuskan untuk menggunakan pedang zweihänder klasik sebagai asas inspirasi dan menambah ciri-ciri Venthyr kecil.
Konsep reka bentuk audio dan muzik
Untuk pendekkan cerita, anima Revendreth adalah ekstrak yang bahaya dan berisiko membawa pengaruh yang jahat. Untuk menggambarkan perkara ini, bunyi anima perlu berubah untuk mencerminkan konteks dan maksud pengguna. Sekiranya anda menemui Venthyr yang terlibat dalam aktiviti ritual, anda akan merasakan kuasanya dalam bentuk yang terkawal seolah-olah seperti menggoda atau memikat. Jika anda terjumpa Venthyr yang ingin mencederakan anda, bunyinya akan berubah untuk melepaskan kuasa di dalamnya ketika marah atau rasa diri terancam.
“Saya dan rakan pereka suara Andrew Holscher bekerjasama untuk menunjukkan dua versi ini di mana saya fokus pada bunyi anima yang terkawal, dan Andrew menumpu pada kemarahan.” -Aaron Craft, pereka bunyi.
Untuk bunyi terkawal, mereka mengenal pasti tiga konsep: hasutan, kecantikan, dan keangkuhan. Semasa mengkaji tema fantasi, mereka diinspirasikan oleh Succubus, lagu Siren yang memikat, dan kuartet tali. Succubus memberi suara wanita, Siren memberi nada nyanyian opera gaya legato dan kuartet tali memberi bunyi cello buatan sendiri.
Untuk bunyi kemarahan, mereka memfokuskan konsep raksasa yang melepaskan kemarahannya. Untuk membezakan bunyi dengan versi yang terkawal, mereka membuat bunyi yang bersifat keputusasaan, keganasan, dan kekuatan. Rakaman bunyi kucing bergaduh dan ular menggambarkan rasa keputusasaan, sambil menambah bunyi harimau, babi hutan, dan singa yang menonjolkan lagi sifat liar. Untuk menambah kualiti dan mengikat kedua-dua bahagian ini bersama, mereka menggunakan Venthello untuk menimbulkan distorsi bagi menghasilkan “bunyi kasar dan jahat”.
Muzik di Revendreth menawarkan latar belakang untuk dua keadaan berbeza. Satu ialah untuk mereka yang merasakan seksa akhirat dan golongan elit yang menikmati kekayaan. Untuk kawasan yang gelap dan menimbulkan rasa takut, mereka memilih orkestrasi sederhana untuk bantu menyampaikan keadaan suram dengan tema melodi yang kuat. Nada rendah menunjukkan sesuatu yang menyeramkan, manakala bunyi biola menguatkan ketegangan suasana apabila seseorang mengambil tindakan agresif dan liar. Ini menunjukkan muzik akan berubah mengikut situasi dan tindakan pemain bagi menggambarkan keadaan semasa.
World of Warcraft: Shadowlands masih belum menerima tarikh pelepasan rasmi tetapi dijangka akan keluar pada akhir tahun ini. Beta sudahpun bermula pada 16 Julai lalu, dan tersedia bagi mereka yang dijemput setelah pemilihan. Sudah tidak lama sebelum World of Warcraft Shadowlands keluar, dan saya harap ramai masih boleh bersabar sehingga Blizzard memberi info baru.
Untuk membaca segala liputan kami tentang World of Warcraft: Shadowlands termasuk berita dan temuramah eksklusif, sila klik di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post