Hideaki Anno (lebih dikenali sebagai pencipta Neon Genesis Evangelion dan pengarah filem Shin Godzilla) akan mengarah bersama sebuah filem anime cereka baharu berjudul Cosmoship Yamato √2199.
Tajuk filem ini memakai simbol matematik punca kuasa dua “√”, yang disebut sebagai “Root”. Dalam bahasa Jepun, ia mengekalkan perkataan asal francais ini iaitu Uchū Senkan; yang sebelum ini pernah diterjemahkan sebagai Space Battleship atau Space Cruiser.
Filem ini diterbitkan bersama oleh Production I.G (studio di sebalik Ghost in the Shell dan Psycho-Pass) serta studio milik Anno sendiri, Studio Khara. Turut mengarah bersama Anno ialah pengarah veteran Yutaka Izubuchi, yang sebelum ini menjadi ketua pengarah untuk siri remake popular, Space Battleship Yamato 2199.
Projek ini menggabungkan beberapa nama besar dalam industri animasi Jepun. Selain menjadi pengarah bersama, Anno turut merancang projek ini bersama pengasas Production I.G, Mitsuhisa Ishikawa. Anno juga bertindak sebagai penerbit eksekutif produksi dan bekerjasama dengan Izubuchi untuk bahagian rekaan.
Mula ditayangkan di Jepun pada 6 Oktober 1974, Space Battleship Yamato menceritakan tentang perjuangan manusia untuk terus hidup. Mengambil latar masa depan ketika Bumi musnah teruk diserang makhluk asing, kapal perang era Perang Dunia Kedua Yamato yang telah karam dibina semula menjadi kapal perang angkasa lepas, lalu dihantar ke angkasa untuk misi menyelamatkan Bumi.
Siri ini mencetuskan fenomena budaya pop yang sangat besar pada zamannya.
Walaupun tarikh tayangan pawagam untuk Cosmoship Yamato √2199 masih belum diumumkan, peminat sci-fi dan filem-filem era “Shin” arahan Anno wajib masukkan filem ini ke dalam watchlist masing-masing.









Discussion about this post