Ubisoft telah mengumumkan babak seterusnya dalam siri Assassin’s Creed iaitu Assassin’s Creed Valhalla. Dengan fokus yang lebih tinggi pada pertempuran, “menawan dan “menjajah” merupakan teras utama dalam permainan ini. Kami di GS berpeluang untuk mencuba game next-gen ini, dan sejujurnya.. ia memang jauh berbeza daripada permainan Assassin’s Creed sebelum ini kerana menunjukkan senario yang jauh lebih ganas.
Harap maklum bahawa versi yang saya mainkan hanyalah demo atau versi awal, dan tidak menunjukkan permainan lengkap Assassin’s Creed Valhalla. Sekurangnya, saya memahami permainan ini secara keseluruhan walaupun banyak fitur tidak ada di demo. Saya yakin banyak lagi yang akan didedahkan pada masa akan datang, tetapi inilah pandangan pertama GS untuk Assassin’s Creed Valhalla!
https://www.youtube.com/watch?v=TlOknmJKXr4&feature=youtu.be
Latar belakang dan jalan cerita
Assassin’s Creed Valhalla berlangsung abad ke-9 England, di mana pemain akan mengunjungi empat kerajaan Inggeris terbesar pada zaman itu iaitu Wessex, Northumbria, East Anglia, dan Mercia (ini hanya demo, jadi pemain hanya boleh menjelajah East Anglia). Sebagai pemimpin, protagonis Eivor (boleh dimainkan sebagai lelaki atau wanita) akan memimpin klan dari Norway yang dilanda peperangan ke England. Malangnya, kehadiran mereka ditentang oleh Raja Alfred dari Wessex dan Saxxon, yang sanggup untuk buat apa-saja demi mengusir Eivor daripada tanah England. Akhirnya Eivor bertemu jiwa “Assassin” dalam dirinya, dan bermulalah konflik Assassin vs. Templar yang kita kenal. Jantina yang dipilih juga boleh diubahsuai dengan mengubah gaya rambut, janggut, atau tatu pada badan dan cat warna yang berbeza tetapi fitur customization tidak diaktifkan di demo.
Ubisoft mengambil inspirasi daripada mitologi Norse – seperti yang dilakukan dengan mitologi Mesir dan Yunani di Origins and Odyssey dan mengikuti kisah Layla Hassan yang pertama kali muncul di Assassin’s Creed Origins dan kemudian lagi di Odyssey. Bagi mereka yang tidak tahu, Layla Hassan adalah individu pada zaman moden yang harus mengulangi kisah protagonis.
Daripada helang peliharaan ikonik yang sentiasa membimbing anda di siri Assassin’s Creed sebelum, seekor burung gagak yang dikenali sebagai Sýnin akan mengambil alih peranan itu dalam permainan. Lagipun, gagak kan banyak dikaitkan dengan dewa Norse Odin.
Sistem pilihan dialog interaktif juga kembali! Terdapat pelbagai respon termasuk kebolehan untuk berbohong. Keputusan dapat mempengaruhi dunia permainan itu sendiri, dalam jangka pendek atau jangka panjang, serta memberikan hasil dan misi baru.
Sistem pertempuran
Sistem pertempuran adalah lebih viseral, dengan fokus yang lebih berat pada impak. Penekanan yang besar diberi pada jenis musuh yang berbeza, berbanding dengan game sebelumnya untuk mewujudkan persekitaran yang bervariasi. Untuk menambah realistik, pemain boleh memotong atau menghancurkan anggota badan musuh. Agak mengerikan..
Game mempunyai sistem skill tree tetapi ia amat berbeza kali ini. Perkara pertama pemain akan lihat ialah skill tree ini sangat besar dan mempunyai pelbagai abiliti pasif atau aktif untuk kuatkan Eivor. Pemain boleh menggunakan 8 abiliti pada satu masa dan ia dibahagikan kepada abiliti jarak jauh dan jarak dekat. Untuk mempelajari apa-apa abiliti baru, pemain perlu bantuan buku ilmiah.
Sebagai sebuah game pertempuran, kita haruslah ada senjata. Antara senjata yang boleh digunakan ialah:
- Sword
- Dagger
- Flail
- Mace
- Throwing Axe
- Staff
- Spear
- Bow & Arrow
Perisai juga membuat kemunculan kembali, dan semua boleh dilengkapi secara “dual-wield”. Tidak kira, Sword/Shield, Sword/Sword, atau Shield/Shield. Selaku game Assassin’s Creed, ia tidak lengkap tanpa Hidden Blade, yang digunakan untuk membunuh musuh secara senyap serta boleh ditingkatkan untuk abiliti “insta-kill”.
Perubahan yang saya lihat dalam Assassin’s Creed Valhalla ialah HP anda tidak akan pulih semula. Kali ini, pemain memerluakan catuan untuk menyembuhkan HP yang terdiri daripada makanan yang siap dimasak, beri, cendawan, dan lain-lain. Semakin banyak makanan yang dikumpul, semakin banyak anda dapat menyembuhkan HP.
Dunia luas Valhalla
Dunia Valhalla sentiasa berada dalam keadaan perang yang berterusan, kerana pelbagai pihak bertarung untuk tanah jajahan. Ini tidak bermaksud kita perlu berperang dengan mereka juga. Pemain boleh menjalin persekutuan dengan pemimpin lain, seperti mengatur perkahwinan.
Sebagai game open-world, sudah tentu ada banyak persekitaran untuk pemain teroka, seperti hutan, ladang, pantai, dan gunung-gunung bersalju. Untuk menambah aspek imersif, sistem cuaca dinamik juga diterapkan seperti hujan dan ribut salji.
Dunia yang luas tidak mungkin kosong! Selain daripada misi utama, pemain boleh mencuba pelbagai mini-game seperti memburu, memancing, bergaduh, dan pertandingan meminum atau acara dunia yang ada di Valhalla. Di demo, hanya ada tiga sahaja acara dunia. Berikut adalah yang saya cuba:
-
- Raider Cat: Membantu seorang kanak-kanak menangkap seekor kucing, lalu merekrut kucing yang duduk di kapal Eivor.
- “Hide and Seek”: Bermain sorok-sorok dengan sekumpulan kanak-kanak. Sembunyi sehingga mereka kata “OK, you win! Please come out” untuk selesaikan misi.
- “Wayward“: Menolong seorang gadis untuk membawa pulang kudanya. Terdapat tiga pilihan:
- Pulang kudanya
- Curi kudanya
- Bunuh kudanya
Jangan bazir masa untuk berjalan kerana permainan mempunyai dua cara untuk menjelajah dunia. Pemain boleh menunggang kuda atau menaiki kapal perang. Kedua-dua kuda dan kapal boleh dihubungi pada bila-bila masa, tetapi pemain hanya boleh menyeru kapal jika berdekatan dengan perairan. Kapal anda memainkan peranan penting untuk merentasi peta dan membawa askar pahlawan anda ke destinasi seterusnya.
Fitur baru: Raid dan Settlement
Antara fitur-fitur baru ialah Raid dan Settlement di mana pemain harus memperluaskan kekuatan dan pengaruh. Di Raid, anda dapat serbu kampung dan kubu musuh di seluruh England untuk mendapatkan sumber daya yang berharga. Raid diaktifkan apabila pemain merentasi dunia di atas kapal ke kawasan musuh. Sampai saja di darat, tugas utama adalah untuk membunuh semua musuh askar dan mencuri sumber mereka!
Jika ada rakan yang tercedera, pemain harus “revive” mereka ala-ala PUBG supaya mereka boleh terus berperang. Setiap sumber berharga tersorok di dalam rumah atau kubu paling dalam, dan memerlukan kuasa kerjasama oleh Eivor dan rakan-rakan AI untuk buka. Selepas semua selesai, rakan-rakan AI akan bersorak dan meminta pemain untuk pulang ke kapal. Jika ada musuh yang belum di-loot, rakan-rakan AI akan memberitahu pemain.
Selain daripada kehebatan pertempuran mereka, puak Viking juga merupakan penjelajah dan pedagang yang hebat. Valhalla meneroka aspek ini dengan menyuruh pemain untuk membina petempatan sebagai markas. Pemain harus membina dan menaik taraf struktur yang memberikan faedah berbeza seperti tangsi untuk memperkuatkan pahlawan. Sekali lagi, saya meminta maaf kerana fitur ini tidak ada di demo, tetapi saya tidak sabar untuk mencuba fitur ini apabila permainan dilancarkan.
Pendapat
Assassin’s Creed Valhalla adalah salah satu game yang dinanti-nantikan pada tahun ini. Selang beberapa tahun, Ubisoft akan mengeluarkan permainan video AC baru yang menampilkan jalan cerita baru, dan gameplay yang lebih baik secara umum. Saya kagum atas usaha mereka untuk sentiasa memberi sesuatu yang baru pada francais.
Walaupun perubahannya daripada action/adventure ke mekanik yang lebih fokus pada RPG, Valhalla boleh menjadi antara game terbaik dalam siri, dan saya rasa ramai akan bersetuju. Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud ia sempurna, dan ada banyak perkara yang perlu diperbaiki, atau ditambah untuk memastikan Valhalla mencapai tahap ingin diinginkan oleh pemaju.
Assassin’s Creed Valhalla akan keluar pada 17 November 2020 di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X, Xbox One, PC, dan Stadia. Versi PC akan tersedia di Uplay dan Epic Games Store di mana anda boleh membuat pra-pesanan sekarang! Itu sahaja untuk pandangan pertama ini! Nantikan ulasan penuh apabila game penuh keluar nanti.
@gamersantaimy
Discussion about this post