Jotoyo Games, sebuah studio indie yang berpangkalan di Chengdu, telah mengumumkan Monster Fantasy: sebuah game hibrid RPG aksi dan life-simulation yang bakal menemui pemain di PC melalui Steam. Mengambil inspirasi daripada francais popular seperti Monster Hunter, Animal Crossing, Stardew Valley, dan Pokémon, game ini menawarkan pengalaman unik yang menggabungkan elemen combat dengan aktiviti santai bersama komuniti.
Dua Playstyle Berbeza
Dalam Monster Fantasy, pemain akan mengawal seorang wira yang hilang ingatan semasa menerokai Eldoras. Inilah adalah kerajaan luas dengan pelbagai persekitaran unik seperti hutan hujan yang subur, dataran berais, dan kawasan gunung berapi aktif.

Reka bentuk utama game ini terletak pada sistem ‘split progression’. Elemen combat dan life-simulation berfungsi sebagai dua modul bebas dengan laluan kemajuan tersendiri. Pemain tidak akan dipaksa melakukan aktiviti yang mereka tidak gemari; peminat aksi boleh menamatkan jalan cerita hanya dengan memburu raksasa, manakala pemain yang mahukan pengalaman santai boleh menyelesaikan kempen dengan fokus sepenuhnya pada pertanian, memancing, dan menguruskan kampung.
Memburu dan Menjinakkan Raksasa Gergasi
Bagi mereka yang gemarkan aksi, Eldoras mempunyai lebih daripada 50 jenis raksasa gergasi. Setiap makhluk mempunyai tingkah laku unik tersendiri, lantas mencabar pemain untuk mengkaji ciri-ciri mereka dan menyesuaikan strategi demi mencapai kemenangan.

Raksasa yang ditewaskan bukan sahaja memberikan bahan mentah, malah boleh dijinakkan sebagai haiwan peliharaan. Pemain boleh memelihara dan mengevolusikan makhluk-makhluk ini untuk dijadikan ‘mount’ semasa meneroka kawasan mencabar, atau memanggil mereka untuk bertarung bersama-sama dalam combat.

Sistem combat menawarkan empat kelas utama: Warrior, Mage, Archer, dan Martial Artist. Mekanik kelas dan skil tidak dikunci pada watak, sebaliknya terikat secara langsung kepada senjata yang digunakan. Ini membolehkan pemain menukar kelas pada bila-bila masa dan membina watak serba boleh yang mampu menguasai kesemua playstyle tersebut.
Kehidupan Santai dan Penduduk Kampung yang Dinamik
Apabila ingin berehat daripada memburu, pemain boleh beralih ke mod life-sim. Di sini, anda boleh meluangkan masa dengan memotong kayu, melombong, memancing, memasak, serta menghasilkan barang sendiri.

Kampung utama didiami oleh kira-kira 100 NPC unik dengan jadual harian, latar belakang, dan personaliti masing-masing. Pemain boleh membina hubungan dengan penduduk kampung ini, yang kemudian boleh membantu melakukan tugasan harian serta mengumpul bahan di sekitar kawasan penempatan.

Bagi menjadikan interaksi terasa lebih hidup, pihak pembangun menggunakan ‘Large Language Model’ dan teknologi text-to-speech. Menurut laman Steam, teknologi berkuasa AI tersebut akan menjana perbualan dalam game secara dinamik dan masa nyata. Ini membolehkan penduduk kampung memberikan respons unik yang berubah mengikut pilihan serta gaya permainan pemain.
Apa Seterusnya untuk Monster Fantasy?
Dari segi visual, game ini membawakan kontras unik dengan menggabungkan watak anime comel dan persekitaran 3D yang realistik. Game ini turut menyokong mod online multiplayer untuk memudahkan anda bekerjasama dengan rakan bagi memburu raksasa, bertukar-tukar sumber, dan membina kampung bersama-sama.

Sesi playtest awam dan demo dijangka akan tiba dalam masa beberapa minggu lagi, sebelum pelancaran penuh game ini pada lewat tahun 2027.








Discussion about this post