Konami Digital Entertainment mengesahkan bahawa remake METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER berjaya mencatatkan jualan melebihi sejuta salinan di peringkat global bermula sejak hari pertama dilancarkan, iaitu 28 Ogos.
Angka jualan yang memberangsangkan ini mengambil kira jumlah keseluruhan edaran fizikal serta pembelian secara digital merentasi pelbagai platform termasuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam.
Selepas Metal Gear Survive dilancarkan pada tahun 2018, francais METAL GEAR boleh dikatakan agak berdiam diri. Oleh itu, kejayaan luar biasa ini menjadi bukti jelas kepada populariti siri tersebut yang tidak pernah pudar, sekali gus menandakan kebangkitan semula siri stealth-action yang amat ikonik ini.
Ia turut mengesahkan bahawa penceritaan, tema, serta mekanik gameplay yang inovatif daripada judul klasik tahun 2004, Metal Gear Solid 3: Snake Eater, masih relevan dan digemari bukan sahaja oleh peminat setia, tetapi juga oleh barisan pemain generasi baharu, walaupun setelah lebih 20 tahun berlalu.

METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER mengembalikan pemain ke latar masa Cold War pada tahun 1964.
Dalam game ini, pemain akan mengikuti perjalanan seorang operatif bernama Naked Snake yang menggalas misi genting untuk menyelamatkan seorang saintis dari Soviet, menghancurkan Shagohod iaitu sebuah senjata pemusnah besar-besaran berkuasa nuklear, serta berhadapan dengan mentor lamanya, seorang askar legenda yang dikenali sebagai The Boss.

Walaupun elemen-elemen yang menjadikan judul asal begitu berpengaruh dikekalkan, remake ini turut membawakan pelbagai ciri moden.
Pemain akan disajikan dengan kualiti visual yang dipertingkatkan secara drastik serta sokongan audio 3D yang memberikan pengalaman lebih mendalam, di samping mekanik gameplay yang telah diperhalusi.
Pemain diberi pilihan untuk menggunakan sekam kawalan third-person moden yang lebih intuitif, atau memilih gaya kawalan klasik yang sama seperti game asal tahun 2004.
Pengalaman gameplay juga menjadi lebih realistik dengan adanya sistem battle damage masa-nyata, di mana kecederaan dan keadaan pakaian Snake akan dipaparkan secara visual.
Di samping itu, sistem penyamaran yang dahulunya berasaskan menu kini telah diubah suai menjadi mekanik masa-nyata, membolehkan strategi gameplay yang lebih pantas dan licin.

Bukan itu sahaja, versi remake ini turut diperkaya dengan pelbagai kandungan bonus.
Antaranya termasuklah minigame Guy Savage Delta yang telah diolah semula, mod Secret Theater, serta mod-mod eksklusif mengikut platform seperti Snake vs. Monkey bagi pengguna PS5 dan PC, dan Snake vs. Bomberman untuk pemain di Xbox Series X|S.
Turut diumumkan adalah mod multiplayer serba baharu bernama Fox Hunt, yang dijangka akan dikeluarkan kemudian pada tahun ini.
Untuk berita dan maklumat terkini mengenai METAL GEAR SOLID Δ: SNAKE EATER, sila lawati SINI.









Discussion about this post