Dalam penerokaan ke dunia berapi Sanctuary, kami baru-baru ini berbincang dengan Ryan Quinn, Senior Narrative Designer untuk Diablo Immortal, bagi mengupas Patch 3.3 yang dinanti-nantikan serta hala tuju permainan untuk 2025. Ketika game memasuki babak Epoch of Madness, pemain bakal mengharungi perjalanan baharu selepas peristiwa Shattered Sanctuary.

Dengan Albrecht, manusia pertama yang menjadi hos kepada Lord of Terror, dalam peranan utama, Quinn berkongsi pandangan mengenai naratif, zon baharu seperti Sharval Wilds, serta pelbagai ciri baru—termasuk kelas, bos raid, dan sistem crafting.
Temu bual ini memberikan gambaran eksklusif tentang proses kreatif di sebalik bab seterusnya Diablo Immortal, serta bagaimana Blizzard merancang untuk memastikan pemain terus bertempur menentang kuasa jahat hingga 2025.
Bab Baru di Era Kegilaan
Peta jalan Epoch of Madness menjanjikan naratif yang mendalam sepanjang tahun dalam Diablo Immortal, memperkukuh kesinambungan antara Diablo II: Lord of Destruction dan Diablo III.
“Diablo Immortal, bagi kami, adalah seolah-olah sekuel kepada Diablo II: Lord of Destruction,” jelas Quinn.
Kisah ini meneroka kesan selepas kemusnahan World Stone, ketika pemain terus berjuang menentang korupsinya yang masih berlarutan. Makhluk-makhluk Shardborn, yang telah berubah akibat pengaruh batu tersebut, kini dipimpin oleh Albrecht—seorang watak ikonik yang telah melampaui sifat manusianya.

Selepas pertarungan dengan Diablo, pasukan pembangunan mahu menghadirkan kisah yang lebih peribadi, menggabungkan watak-watak penting dari Diablo I serta memperkenalkan pilihan yang lebih bermakna. Kempen ini bukan sahaja menjadi kesinambungan kepada Diablo Immortal, tetapi juga sebagai jambatan yang membuka laluan ke Diablo III.
Worldstone, artifak berkuasa yang mencipta Sanctuary, telah dimusnahkan, tetapi serpihannya terus memesongkan tanah seperti radiasi beracun. Pemain perlu memburu dan memusnahkan pecahannya, meskipun nyawa dan jiwa mereka menjadi taruhan.
Sepanjang perjalanan, mereka akan berdepan musuh yang dahsyat, termasuk Diablo sendiri.
“Ketulan besar terakhir Worldstone yang diketahui baru saja dimusnahkan, dan Diablo telah dihalau,” namun bahaya masih belum berakhir. Makhluk Shardborn yang dipengaruhi kuasa Worldstone masih berkeliaran, menandakan bahawa “mungkin masih ada tugas yang perlu diselesaikan oleh pemain.”
Albrecht memainkan peranan penting dalam Epoch of Madness, meneruskan kisah tragisnya dari Diablo I. Dahulu seorang putera, dia ditangkap dan dijadikan hos manusia pertama kepada Diablo, mengorbankan zaman kanak-kanaknya dalam proses itu.
“Kami telah membawa Albrecht kembali sebagai satu makhluk yang mengerikan dan kemudian membebaskannya dari kawalan Diablo,” tetapi persoalannya—sejauh mana kemanusiaannya masih wujud?
Pemain yang mengikuti jalan cerita World’s Crown pasti sedar bahawa “sesuatu dari budak itu masih ada di dalamnya,” walaupun tidak jelas sejauh mana dia mengawal tindakannya sendiri.
Sepanjang perjalanan cerita, Albrecht mula mengumpulkan sekumpulan individu yang sehaluan dengannya—campuran “tokoh penting era Diablo,” yang akan diperkenalkan pada peringkat awal dan diterokai lebih mendalam dalam kemas kini akan datang.

Pasukan Diablo Immortal dan Diablo 4 bekerjasama rapat untuk memastikan kesinambungan dalam naratif Sanctuary. “Kami bertemu setiap bulan,” terutamanya untuk keputusan naratif besar—seperti sama ada untuk “membakar sebuah kota di benua Barat,” yang boleh memberi kesan kepada garis masa Diablo 4.
Salah satu contoh utama ialah kelas Blood Knight.
Pasukan Immortal meneroka “bagaimana rupa vampire thralls, bagaimana sumpahan mengubah minda dan tubuh, serta kuasa yang diberikannya?” Sementara itu, pasukan Diablo 4 meneliti “bagaimana cara bertarung vampire, bagaimana rupa mereka, dan bagaimana mereka berubah dari semasa ke semasa?”
Mereka kemudian “membandingkan nota” untuk memastikan elemen-elemen ini kekal konsisten di kedua-dua game sambil tetap sesuai dengan gameplay masing-masing.
Misteri Liar di Charval
Sepanjang tahun ini, semua misi dalam Diablo Immortal akan berlangsung di Charval Wilds, sebuah kawasan hutan tebal di benua barat Sanctuary.
“Ia adalah tempat yang sering kami bincangkan sebelum ini, tetapi belum pernah diterokai secara langsung,” kata Quinn, menekankan penerokaan terhadap budaya unik di wilayah ini.
Charval dihuni oleh witch, druid, dan penduduk desa yang tinggal di perkampungan hutan, serta warga bandar di ibu kota Enstig. Sejarahnya yang unik menggabungkan kepercayaan Zakarum dengan unsur animisme, membentuk identiti budaya yang tersendiri.
Walaupun Blizzard masih berahsia mengenai plot utama, mereka mengusik pemain dengan kehadiran “beberapa watak klasik Diablo yang digunakan dalam cara di luar jangkaan,” menjanjikan kejutan menarik dalam The First & Last King dan seterusnya.

Questline baharu turut memperkenalkan Fae, sebuah keluarga raksasa baharu yang digambarkan sebagai “roh alam distorsi—roh pembusukan, tanah, dan pereputan.” Biasanya sukar dikesan, kali ini Fae muncul dalam jumlah luar biasa, menyerang perkampungan, menculik penduduk, dan menutupi kawasan dengan sulur menjalar.
“Penduduk Sharval cuba menenangkan mereka, mempercayai bahawa jika mereka tidak mengganggu Fae, Fae juga tidak akan mengganggu mereka,” tetapi keseimbangan rapuh ini kini terganggu. Pemain perlu menyiasat mengapa Fae tiba-tiba menyerang.
Fae terdiri daripada pahlawan jarak dekat yang ganas serta Pale Flock—makhluk terbang yang “menyerang dari semua arah,” untuk menambah cabaran unik dalam pertarungan. Pembangun turut mengusik tentang kewujudan raksasa Fae yang lebih besar pada masa akan datang, bergantung kepada maklum balas pemain.

Apa yang paling mengujakan saya tentang Charval ialah suasananya.
“Ia menyeramkan, menakutkan, sunyi, dan terasa sempit,” dengan sulur-sulur yang membentuk laluan, menghidupkan suasana terkurung yang menakutkan seperti dalam Diablo 1.
Selain itu, ia juga berbeza secara visual daripada Hell, memberikan palet warna yang lebih segar.
Fae, keluarga raksasa terbaru, terasa unik berbanding demon, Shardborn, dan beast. “Kami sedang mengusahakan raksasa-raksasa lain yang sangat menarik,” tetapi Quinn masih belum boleh mendedahkannya. Selain itu, pencahayaan dan kitaran siang-malam Charval akan menjadikannya lokasi yang memukau dan benar-benar mengasyikkan “untuk memburu raksasa.”
Evolusi Berdasarkan Maklum Balas Pemain
“Maklum balas komuniti adalah segalanya bagi kami,” tegas Quinn, sambil menjelaskan bagaimana pendapat pemain secara langsung membentuk Diablo Immortal Patch 3.3 dan pelan hala tuju 2025.
Salah satu permintaan utama ialah lebih banyak kandungan berasaskan penceritaan, yang membawa kepada “empat bahagian utama misi utama” yang akan dilancarkan setiap suku tahun. Pemain juga mahukan pengalaman pertempuran yang lebih seimbang, mendorong penciptaan peta baru yang lebih simetri bagi mengimbangi serangan dan pertahanan.
“Kami benar-benar mengambil maklum balas ini dengan serius,” tambahnya, memastikan setiap kemas kini sejajar dengan kehendak komuniti.

Patch 3.3 turut memperkenalkan sistem crafting pertama dalam Diablo Immortal, membolehkan pemain memiliki lebih kawalan ke atas kelengkapan mereka.
“Sebelum ini, kami menyediakan cara untuk menaik taraf gear, tetapi kini pemain boleh menciptanya sendiri dengan lebih tersendiri,” jelas Quinn.
Pemain boleh mining ore node di dunia permainan, mengumpul sumber, dan refine-nya di blacksmith. “Ore yang lebih rare akan membolehkan lebih banyak customization,” memberikan lebih kawalan terhadap susunan peralatan. Diilhamkan oleh sistem crafting klasik dalam RPG, mekanik ini bertujuan untuk memberikan pemain “rasa kuasa yang lagi besar” terhadap persenjataan mereka.

Perubahan terbaru dalam GvG juga bertujuan mewujudkan medan pertempuran yang lebih seimbang.
“Kami sedang mereka bentuk medan yang lebih simetri, menghapuskan konsep pasukan menyerang dan bertahan,” di mana kedua-dua pasukan kini perlu mengiringi Zealous Idol dan bukannya satu pihak menolak balik yang lain.
Dua penambahan utama Diablo Immortal 3.3 termasuk raksasa neutral di tengah peta—pasukan yang menewaskannya akan menerima buff—dan portal perjalanan berdasarkan objektif, yang membolehkan serangan hendap mengejut.
“Bila ada laluan tersembunyi untuk menyelinap atau menyerang hendap pemain lain, ia menambah unsur kejutan,” menjadikan pertempuran lebih pantas dan tidak dapat diduga.
Ujian setakat ini menunjukkan maklum balas yang sangat positif, jadi jangkaan terhadap perubahan ini cukup tinggi.
Kelas Baharu?
Dalam mencipta kelas baharu, Blizzard mempertimbangkan beberapa faktor utama: “Adakah ini satu fantasi besar yang pemain mahukan? Adakah kami teruja dengannya?”
Mereka juga menganalisis jurang dalam permainan, memastikan keseimbangan antara pertempuran jarak dekat, serangan jarak jauh, dan gaya permainan yang pelbagai.
Selepas memperkenalkan enam kelas klasik Diablo, Immortal menambah dua kelas original: Blood Knight yang gelap dan menakutkan serta Tempest yang tangkas dan heroik.
“Kami sentiasa mahu mencari keseimbangan antara pilihan kelas,” mengambil kira siluet, senjata, dan variasi tema.
Kelas kesembilan yang bakal diperkenalkan sangat berkait rapat dengan Epoch of Madness. “Pada pandangan saya, ia adalah kelas yang sempurna untuk tahun ketiga Diablo Immortal,” direka khas untuk selari dengan evolusi cerita dan tema permainan.

Walaupun butiran masih dirahsiakan, Blizzard teruja untuk memperkenalkan satu lagi crossover tahun ini. “Kami benar-benar suka buat crossover,” terutama selepas kejayaan acara Warcraft pada November lalu.
Blizzard memilih kolaborasi dengan teliti supaya ia menyatu dengan dunia gelap Sanctuary.
“Kami cuba mencari alam semesta yang tidak bertembung, tetapi boleh bergabung dengan cara yang menarik.” Keaslian adalah keutamaan—”Bolehkah kita lakukan ini dengan adil? Bolehkah kita lakukan ini dengan jujur dan autentik?”
Watak crossover adalah idea yang menarik, tetapi pelaksanaannya harus tepat. “Setiap kali kami melakukan crossover, kami perlu menghormati nada kedua-dua francais,” memastikan elemen baharu ini sesuai secara semula jadi dalam dunia Diablo.
“Jika ada watak crossover yang masuk akal—jika kita boleh bayangkan mereka duduk di tavern, bertarung bersama hero Sanctuary—maka ia berfungsi,” sama seperti crossover yang melibatkan makhluk, sihir, atau persekitaran. Tiada apa yang mustahil, selagi ia menyatu dengan baik dalam dunia Diablo.
Diabo Immortal Patch 3.3 akan dilancarkan pada 20 Mac 2025. Anda boleh download game ini sekarang di iOS, Android, dan PC. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post