Blue Atrium di Sunway Pyramid kini menjadi tumpuan para peminat dan Trainer Pokémon minggu ini sempena pelancaran rasmi permainan video yang sangat ditunggu-tunggu, Pokémon Legends: Z-A.
Acara yang berlangsung selama empat hari ini memberikan kesempatan eksklusif kepada para pengunjung untuk menjadi antara yang terawal mencuba game tersebut, selain turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik bertemakan Pokémon.

Tumpuan utama acara ini sudah pastinya adalah sesi percubaan Pokémon Legends: Z-A, yang memberi peluang kepada pemain untuk merasai sendiri kehebatan game baharu tersebut. Sesi demo ini menampilkan dua zon yang berlainan, dengan setiap satu menawarkan pengalaman bermain selama 10 minit.
Di “Wilds Zone”, pemain boleh meneroka persekitaran pada waktu siang dan merasai keseronokan menangkap Pokémon di dunia baharu. Manakala di zon “Rogue Mega-Evolved Pokémon Battle Trial”, pemain diberi peluang untuk menggunakan Pokémon Mega-Evolved bagi menentang Pokémon Mega Evolution “Rampage” yang lebih kuat.
Sebagai ganjaran, setiap peserta yang menamatkan sesi percubaan akan menerima pelekat istimewa edisi terhad.



Untuk memeriahkan lagi acara dan menggalakkan penyertaan aktif, sebuah aktiviti “Stamp Rally” turut dianjurkan.
Para pengunjung hanya perlu mendapatkan sekeping kad setem dan melengkapkan tiga aktiviti yang disediakan, iaitu mencuba demo Pokémon Legends: Z-A, menyertai tutorial Pokémon Trading Card Game (TCG), serta memuat naik gambar atau video acara ke media sosial menggunakan #PokemonZAMY.
Kad yang telah lengkap dengan ketiga-tiga setem melayakkan mereka untuk menebus satu Pokémon TCG fun pack.

Acara ini bukan sahaja tertumpu pada sesi percubaan permainan video, malah turut diserikan dengan pelbagai aktiviti lain yang sesuai untuk seisi keluarga. Sebuah Kedai Pop-Up Pokémon telah dibuka yang menjual pelbagai barangan eksklusif dan permainan video, termasuklah stok terhad Pokémon Legends: Z-A.
Bagi yang berminat dengan permainan kad, sesi tutorial TCG untuk pemain baharu turut diadakan. Selain itu, pengunjung yang artistik berpeluang untuk mereka dan mewarnakan kad Pokémon TCG versi mereka sendiri, sementara peminat permainan arked boleh mencuba Pokémon Mezastar dengan bayaran RM5 bagi setiap cubaan.





Aktiviti-aktiviti utama berjalan sepanjang empat hari acara dari 16 hingga 19 Oktober, namun suasana pada hujung minggu (18 dan 19 Oktober) dijangka lebih gamat. Ini kerana penganjur telah menyediakan acara pentas khas tambahan, termasuk permainan Pokémon Bingo, Kuiz Pokémon Legends: Z-A, serta sesi Ramah Mesra bersama Pikachu.

Bagi peminat yang tidak berkesempatan untuk mengunjungi acara di Sunway Pyramid, jangan bimbang kerana masih ada peluang lain untuk mencuba game ini. Sesi percubaan Pokémon Legends: Z-A akan singgah di lokasi seterusnya, iaitu di Pusat Beli-belah 1 Utama, bermula dari 23 hingga 26 Oktober nanti.
Untuk maklumat lanjut, ikuti Pokémon Malaysia.




![[Interviu] Bukan Sekadar Simulator, Sega Football Club Champions Siap Ada Unsur RPG Dalam Gameplay](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/SEGA-FOOTBALL-CLUB-CHAMPIONS_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post