Setelah banyak preview dikeluarkan, akhirnya Granblue Fantasy: Relink akan temui peminat tidak lama lagi. Kami juga sudah nantikan game ini bertahun-tahun. Akhirnya dapat juga memainkannya! Tanpa membuang masa, teruskan baca review penuh kami untuk Granblue Fantasy: Relink!
Cerita dan Persembahan
Granblue Fantasy Relink dipersembahkan lebih sebagai episod lanjutan dalam pengembaraan Gran/Djeeta bersama krew Grandcypher dalam alam semesta siri. Dari awal game, anda akan terus lalui saat di mana mereka sudah pun seperti sebuah keluarga yang besar, jadi anda mungkin terasa ada sesuatu yang hilang pada penceritaannya.
Jadi tidak pelik jika pemain baharu akan terasa ketinggalan apabila melalui ceritanya manakala pemain veteran akan lebih mudah untuk menghadamnya. Walaupun begitu jangan risau kerana terdapat galeri yang anda boleh akses melalui Lyria’s Journal yang meringkaskan maklumat lengkap cerita setakat ini, latar belakang setiap watak, butiran tentang raksasa, trofi, koleksi muzik dan juga pilihan untuk melihat model 3D dan artwork. Oleh itu, walaupun ia tidak memberikan pemain baharu maklumat yang mereka perlukan secara langsung, ia menyediakan ciri yang sangat kami rasa anda perlu selami.
Granblue Fantasy: Reload berlaku di skydom yang dipanggil Zegagrande. Pengembaraan Gran/ Djeeta dan krew mereka diteruskan dengan satu matlamat untuk mencapai Estalucia, pulau impian legenda yang diperintah oleh Astral dan masih diselubungi misteri. Semasa di tengah-tengah pengembaraan ini, mereka berhadapan dengan insiden yang dicetuskan oleh serangan Primal Beast Bahamut walaupun sentiasa berada di bawah kawalan Lyria, seorang gadis misteri yang nasibnya terikat kuat dengan protagonis sejak awal pengembaraan mereka.
Disebabkan oleh kerosakan teruk pada kapal Grandcypher, seluruh anak kapal terpaksa berlabuh di sebuah bandar bernama Folca di mana mereka disertai oleh Rolan, watak asal baharu untuk game ini yang memainkan peranan dominan dalam cerita utama. Perjuangan mereka untuk meneruskan pengembaraan dihalang oleh ancaman kumpulan yang dipanggil Church of Avia, yang bertujuan untuk mengambil kuasa Lyria untuk mengawal Primal Beast. Kumpulan antagonis baharu ini terbukti sangat kuat dan anda akan disajikan dengan pertarungan dramatik sehingga tamat.
Secara keseluruhan, cerita utama game ini agak pendek dengan bab yang pantas belaka. Walaupun begitu, ada banyak kandungan lain yang boleh anda cuba termasuklah bahagian cerita baharu. Selain mengikuti cerita utama, anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang setiap watak dengan mengakses Fate Episode mereka. Namun, berbanding kandungan serupa dalam game Granblue Fantasy yang asal, Relink hanya membawakan Fate Episode dalam bentuk teks penuh dengan lakonan suara tambahan. Sejujurnya ia format yang membosankan dan kalau ia dipersembahkan dalam bentuk dialog antara watak melalui cutscene ia mungkin lebih menarik.
Bercakap lebih lanjut mengenai watak-watak tersebut, ada antara mereka yang tidak termasuk dalam krew utama Grandcypher malangnya tidak ada kaitan langsung dalam cerita utama. Ia hanya hadir sebagai watak tambahan yang boleh dimainkan, dibuka menggunakan item khas, tetapi apabila dimainkan dalam misi cerita utama, ia tidak akan muncul dalam cutscene atau dialog utama cerita. Kehadiran mereka lebih dirasai semasa game kerana mereka boleh terlibat dalam perbualan semasa pertempuran dan membuat komen yang berkaitan secara langsung dengan situasi yang berlaku dalam cerita pada masa itu.
Selain daripada cerita utama yang agak standard, apa yang membuatkan saya sangat menikmatinya ialah game yang tidak pernah membosankan dan persembahan yang sangat menakjubkan. Jika dibandingkan dengan pengumuman awalnya, Granblue Fantasy: Relink telah menerima peningkatan grafik yang luar biasa. Game ini berjaya merealisasikan gaya istimewa Hideo Minaba dalam 3D, tidak kiralah model watak mahupun persekitaran yang masih kelihatan mengekalkan gaya seperti lukisan Granblue. Bermain dalam Quality Mode dengan resolusi 4K dan kedalaman warna yang kaya benar-benar menunjukkan tahap sepenuhnya untuk kualiti grafiknya.
Struktur game
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Granblue Fantasy: Relink mempunyai struktur yang agak berbeza daripada game RPG aksi yang serupa. Lebih khusus lagi, game ini mempunyai struktur misi yang linear dengan sebahagian daripada penerokaan bebas yang hanya dikhaskan untuk kawasan Hub di beberapa bandar utama seperti Folca dan Seedhollow. Inilah sebab mengapa ramai yang memanggil game ini seperti Monster Hunter, tetapi kami suka dengan pendekatan ini.
Misi cerita utama akan membawa anda ke beberapa kawasan khas yang kadang-kadang mempunyai zon besar untuk diterokai dengan beberapa aktiviti sampingan juga, seperti memburu Shrouded Treasure yang memberi anda beberapa cabaran platforming untuk membuka harta karun atau berinteraksi dengan Omen Stone yang akan anda hadapi kumpulan musuh yang kuat dengan bos yang sukar untuk dikalahkan untuk banyak ganjaran.
Walaupun misi cerita utama adalah linear, ia membantu game untuk menyampaikan detik terbaik dari awal hingga akhir, termasuk kekurangan backtracking atau cara anda perlu menyelesaikan tugas yang menyusahkan sebelum anda boleh meneruskan kemajuan. Mungkin inilah sebab mengapa cerita dalam Granblue Fantasy Relink bergerak begitu pantas, kerana game ini tidak mempunyai padding yang berlebihan dan benar-benar memfokuskan untuk membolehkan anda menikmati kandungan yang paling menarik.
Semasa berada di kawasan hab/bandar utama, anda boleh mengakses fasiliti penting. Sebahagian daripada mereka terdiri daripada Blacksmith untuk menguatkan senjata anda, Sierokarte’s Knickknack Shack yang menyediakan pelbagai bahan untuk ditukar dan perkhidmatan lain seperti merekrut watak baharu yang boleh dimainkan dengan Crewmate Cards, dan Quest Counter serupa dengan siri Monster Hunter di mana anda boleh menjalani pelbagai misi khas dengan tumpuan untuk memerangi raksasa dan bos, termasuk akses dalam talian untuk bermain dengan pemain lain di seluruh rantau ini.
Selebihnya anda boleh mencari barang rampasan tersembunyi atau menerima misi sampingan daripada NPC, jadi walaupun penerokaan di kawasan hab masih boleh berasa bermanfaat. Game ini tidak menyediakan peta mini, yang terasa agak ganjil pada mulanya, tetapi cepat sahaja untuk biasakan diri dengannya kerana reka bentuk linear level utama dengan arah yang jelas dan cara kawasan hab juga mempunyai ikon navigasi yang betul. UI dalam game sudah kelihatan sibuk, jadi saya rasa mengalih keluar peta mini adalah keputusan yang munasabah.
Combat
Beralih kepada benda yang kami suka pada game ini iaitu combat di mana PlatinumGames terlibat dalam penghasilannya. Untuk anda yang tidak pernah mengenali PlatinumGames, merekalah yang telah membangunkan game aksi seperti siri Bayonetta, NieR: Automata dan Astral Chain. Jadi memang kualiti combat game ini mantap habis, daripada kawalannya yang responsif sehingga sistem combo yang fleksibel. Apabila dalam combat, watak anda akan dilengkapi dengan pelbagai aksi daripada serangan normal, serangan khas dan akses untuk 4 skill utama yang boleh diselaraskan dengan bebas.
Selain itu, terdapat pelbagai gerakan yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan serangan atau mendapatkan momentum yang boleh menyokong combo. Game ini memberi kelebihan untuk mereka yang menguasai gameplay melalui sistem Perfect Guard dan Perfect Dodge. Kedua-duanya mempunyai kesan yang berbeza, seperti Perfect Guard akan menghalang anda daripada terkena kesan knockback daripada serangan berkuasa sambil meningkatkan stun gauge musuh. Perfect Dodge pula memberikan watak anda imuniti seketika yang membuatkan mereka imun daripada segala jenis serangan, jadi anda boleh mendapatkan masa terbaik untuk membalas serangan.
Perkara yang membuatkan combat game ini sangat istimewa adalah playstyle untuk setiap watak. Ia bukanlah perkara seperti jenis senjata atau elemen. Ia lebih kepada gaya combat unik yang anda perlu belajar betul-betul. Sebagai contoh, kami bermain sebagai Rosetta dan dia mempunyai gaya combat unik yang bergantung kepada kuasa bunga yang ditanam di seluruh kawasan combat.
Bunga-bunga ini secara automatik menyerang musuh seperti turet dan menawarkan kesan sokongan kepada ahli parti. Memandangkan musuh yang anda lawan sentiasa bergerak, anda perlu menyesuaikan diri dengan pergerakan mereka dan sentiasa menanam bunga di posisi yang ideal. Gaya combat ini hanya khusus untuk Rosetta seorang sahaja. Dengan setiap watak lain juga mempunyai gimik dan gaya unik mereka sendiri di mana anda boleh memaksimumkan potensi mereka dengan berlatih.
Bercakap dengan perbezaan elemental, setiap watak dalam game mempunyai kuasa yang berkait dengan elemen berbeza, jadi beberapa raksasa boleh dilawan dengan mudah menggunakan watak-watak yang mampu memberikan damage tambahan. Sebahagian lain game turut membawa beberapa ciri gameplay tipikal daripada Granblue Fantasy dan menggabungkan mereka dengan elemen baharu yang fokus pada sinergi kuat antara ahli kumpulan.
Antaranya adalah Link Attack yang merupakan merupakan serangan khas yang dilakukan apabila stun gauge musuh penuh. Link time pula memberi kesan memperlahankan masa, jadi anda mempunyai peluang untuk menyerang musuh secara bebas sambil menggunakan pelbagai kesan buff. Seterusnya kita ada Link Level yang boleh buff semua watak dalam parti apabila mereka melancarkan Link Attack pada 100%.
Sinergi antara setiap watak menjadi sangat jelas apabila mereka mengaktifkan Skybound Art (Ultimate) untuk mencetuskan Full Burst yang memberikan damage maksimum pada serangan ultimate.
Memang ada banyak benda yang perlu anda hadam untuk sistem combat Granblue Fantasy: Relink, tetapi semuanya bergantung kepada penguasaan playstyle watak kegemaran anda dan membina sinergi antara ahli kumpulan. Potensi ini amat ketara apabila anda bermain dengan pemain lain berbanding bermain dengan CPU. Walaupun begitu, kami mengakui bahawa kualiti AI untuk ahli parti adalah sangat bagus kerana mereka sangat responsif dalam memberikan sokongan kepada watak anda.
Secara keseluruhannya, kami memang enjoy sistem combat game ini kerana ianya sangat menyeronokkan dan mempunyai kedalaman tersendiri. Cuma satu sahaja yang mengganggu kami semasa bermain iaitu sistem lock-on game. Ia terasa agak pelik dan tidak membantu sangat ketika bermain. Walaupun anda tidak menggunakan langsung lock-on, watak anda akan mendekati musuh terdekat secara automatik. Jadi untuk mengekalkan fokus pada serangan anda agak menyusahkan kerana ia boleh hilang kawalan dengan senang. Harap-harap pembangun boleh menambah baik sistem ini dalam update akan datang.
Satu lagi perkara yang kami ingin ketengahkan adalah anda tidka boleh menukar watak anda di pertengahan combat atau misi. Ia bukanlah satu kelemahan besar bagi kami, tetapi pasti ada pemain lain yang mungkin tidak puas hati mengenainya. Kami rasa sistem ini tiada kerana ia berkait dengan dengan struktur side mission, di mana ia mempunyai sistem skor dan MVP pada penghujung misi yang akan menentukan watak yang telah menyumbang atau melakukan yang terbaik. Walaupun begitu, kami rasa pilihan untuk tukar watak mungkin boleh diletakkan untuk misi cerita utama, di mana ia lebih linear tanpa pengaruh sistem skor.
Sistem Progression
Dengan begitu banyak watak yang boleh dimainkan, anda perlu bersedia dengan dilema semasa bermain. Selain daripada melabur pada senjata, yang boleh meningkatkan HP watak, terdapat juga slot untuk menggunakan Sigils yang boleh memberikan boost kepada beberapa stat. Anda tidak perlu fikir tentang mana satu yang sesuai untuk setiap watak gunakan kerana Sigil juga berguna untuk sesiapa sahaja.
Keutamaan untuk meningkatkan keupayaan setiap watak baharu lebih jelas melalui Masteries , yang memberikan akses kepada Skill Tree yang dibahagikan antara kategori Offense, Defense dan Collection.
Anda boleh membuka setiap perk dengan MSP yang diperoleh semasa anda maju, tetapi memandangkan MSP mempunyai pengumpulan yang dikongsi oleh semua watak, anda mungkin ingin membahaginakannya secara sama rata. Kami boleh syorkan untuk anda menggunakan MSP untuk watak yang anda lebih selesa mainkan, tetapi pastikan ianya disimpan sama rata untuk parti penuh.
Lebih lanjut tentang Co-Op
Kami memang teringin sangat untuk mencuba mode co-op game ini, malangnya sehingga kini kami tidak dapat mengakses matchmaking game. Tetapi nasib baik mode tersebut kami telah cuba dalam versi demo. Reka bentuknya terasa seperti siri Monster Hunter di mana anda akan mengambil quest memburu dengan masa terhad sebelum menyertai tiga pemain lain untuk melengkapkannya.
Daripada segi gameplay, tiada perbezaan selain daripada kelajuan anda menyelesaikan misi dengan pemain sebenar berbanding CPU. Apa yang menjadikan mode co-op begitu istimewa ialah cirinya yang boleh menjadi sangat berguna, seperti memberikan sekatan untuk menghalang pemain daripada spoiler apabila ia berkaitan dengan kandungan cerita. Selebihnya ialah pelbagai ciri penting lain seperti sistem chat, emote dan sebagainya.
Ruginya mode ini tiada akses cross-play dengan pemain PC. Harap-harap pembangun boleh pertimbangkan untuk bawa ciri ini pada masa akan datang.
Kesimpulan
Penantian selama ini berasa begitu berbaloi dan kami boleh katakan bahawa ia merupakan sebuah game RPG yang kukuh. Anda boleh melihat kelebihannya pada sistem combat, barisan watak, kandungan yang pelbagai serta keboleh main yang tinggi dengan hadirnya mode co-op. Kami pasti akan ada banyak lagi kandungan hebat yang akan dibawa pembangun selepas ini.
Sudah tentu ada sahaja kelemahan pada game ini. Granblue Fantasy: Relink masih mempunyai kekurangan seperti peranan watak di luar krew Grandcypher termasuklah persembahan Fate Episode yang hanya hadir dalam bentuk teks. Dalam combat pula, sistem lock-on sangat tidak membantu malah watak mudah hilang kawalan walaupun kami tidak menggunakannya. Walaupun begitu ia masih lagi sebuah game RPG yang kami sangat syorkan untuk anda cuba.
Granblue Fantasy: Relink akan tersedia di PS5, PS4 dan PC melalui Steam pada 1 Februari ini! Untuk mendapatkan segala liputan mengenai game ini, sila klik di sini.
@gamersantaimy
The Review
Granblue Fantasy: Relink
PROS
- Struktur misi linear yang secara konsisten menyampaikan detik paling menarik
- Roster watak yang besar dengan gaya combat unik tersendiri
- Sistem combat yang kukuh secara keseluruhannya
- Banyak kandungan yang menarik
- Galeri penuh dengan banyak kandungan digital bonus
- Grafik yang kelihatan sangat cantik
CONS
- Fate Episode yang mengecewakan
- Sistem lock-on yang menjengkelkan dan watak senang hilang kawalan
Discussion about this post