Rasanya semua sudah tahu bahawa Gotham Knights akan dilancarkan tidak lama lagi. Kami telah berpeluang untuk mencubanya dahulu serta meronda di bandar Gotham bersama-sama keluarga kelawar ini. Nak tahu bagaimana prestasi game ini? Teruskan membaca review Gotham Knights daripada kami!
Penceritaan yang berbeza
Dengan tiadanya Batman untuk melindungi Gotham, kini keluarganya pula mengambil alih tugasnya itu. Nampaknya ada urusan yang Batman tidak sempat untuk selesaikan dan inilah masanya untuk tutup kes tersebut. Sepanjang game ini anda akan berjumpa dengan penjahat ikonik dalam Batman seperti Harley Quinn, The Penguin, Clayface, Mr. Freeze dan Court of Owls.
Tetapi ia bukanlah sesuatu yang sama anda lihat dalam komik original. Dalam dunia Gotham Knights tiada watak seperti Joker, Ra’s al Ghul dan Jim Gordon. Disebabkan tiadanya Joker, jadi Batgirl tidaklah mempunyai badan yang lumpuh dan tidak perlu menjadi identiti barunya sebagai Oracle. Senang cerita, Gotham Knights memiliki penceritaan originalnya tersendiri.

Hubungan yang menarik antara bat family
Perwatakan watak dalam Gotham Knights dibina dengan cukup baik dalam game, bat-family mempunyai hubungan yang sangat rumit antara satu sama lain dalam komik original. Ini semua disebabkan Batman yang tidak pandai ekspresikan perasaannya dengan baik serta perkara-perkara dahsyat yang berlaku keatas mereka. Walaupun kelihatan seperti mempunyai hubungan yang tidak baik tetapi mereka mengambil berat antara satu sama lain. Semua ini ditunjukkan melalui perbualan dan cutscene antara mereka.

Pertempuran
Kalau sudah meronda di bandar Gotham, mesti ada sahaja jenayah yang berlaku. Inilah masanya untuk anda bertindak. Menggunakan peta, ia akan menunjukkan kawasan di mana berlakunya jenayah dan anda boleh pilih untuk pergi ke sana atau tidak. Kesemua aktiviti jenayah yang berlaku adalah seperti game mini di mana setiap satu daripadanya mempunyai objektif tersendiri serta tugasan bonus untuk mendapatkan exp tambahan. Kalau anda mahu tumpu pada main story sahaja, tetapi kalau nak EXP lebih, bolehlah selesaikan jenayah yang berlaku.
Oh ya, anda tidak perlu untuk grind exp untuk setiap watak kerana kesemuanya akan naik pada waktu yang sama. Jadi tidaklah susah untuk anda menukar watak semata-mata ingin naikkan level mereka.

Pertempuran game ini menggunakan sistem berasaskan skill, di mana anda perlu naik level untuk mendapatkan AP (Action Point). Itulah yang digunakan untuk membuka kemahiran yang boleh mengembangkan gaya pertarungan watak. Memandangkan keempat-empat watak mempunyai gaya pertarungan yang sangat berbeza, kemahiran mereka akan tertumpu pada gaya tersendiri. Contohnya seperti Robin yang lebih kepada aksi stealth, jadi untuk manfaatkan sepenuhnya potensi Robin, lebih baik mainkannya dengan strategi dan tumpaskan musuh satu persatu dengan senyap. Anda juga boleh gabungkan serangan melee dan range untuk menjatuhkan musuh. Sebagai tambahan, terdapat slow motion jika anda tumpaskan musuh yang terakhir. Agak cool juga cutscene tersebut.

Skill yang diberi memanglah hebat tetapi untuk membukanya mengambil masa yang agak lama. Ia bukan sahaja disebabkan dengan progres level yang lambat tetapi ditambah pula dengan bilangan AP yang perlu dikumpul. Nasib baik kemahiran Knighthood dan Momentum Ability menggunakan proses lain untuk dibuka. Anda hanya perlu menyelesaikan tugas atau cabaran tertentu untuk mendapatkannya. Walaupun begitu, ia bukanlah tugasan yang anda boleh habiskan dalam jangka masa yang pendek. Sebagai tambahan, Skill merupakan kemahiran yang anda gunakan dalam pertempuran tanpa memerlukan point manakala Momentum ability pula merupakan kemahiran untuk anda menyerang musuh untuk penuhkan bar momentum untuk digunakan.

Selain EXP, anda perlu mengumpul sumber untuk kraf suit atau senjata untuk digunakan semasa meronda tetapi anda tidak boleh memakainya terus selepas dikraf dan perlu ke base untuk memakainya. Item yang dikraf juga boleh mempunyai efek elemental. Anda boleh melihat elemen musuh melalui database sebelum membawa peralatan yang sesuai untuk menentangnya. Contohnya Mr. Freeze yang menggunakan elemen ais, jadi lebih elok anda menggunakan item yang mempunyai elemen api.

Mekanik pengimbasan AR yang memudahkan kerja
Sebagai keluarga detektif dalam dunia DC, bat family mempunyai beberapa kemahiran detektif masing-masing. Terdapat mekanik imbasan AR yang boleh digunakan untuk mencari perkara penting dalam warna yang berbeza. Ia juga mempunyai beberapa bahagian lain seperti game mini untuk mencari klu dan melakukan analisis untuk mendapatkan jawapan yang betul menggunakan klu yang dijumpai. Sebagai peringatan, ia bukanlah seperti pengimbas x-ray yang anda jumpai dalam siri Batman Arkham. Berikut adalah panduan warna imbasan AR tersebut:
- Merah: Musuh
- Ungu: Item yang boleh dikesan untuk membaca maklumat atau berinteraksi
- Kuning: Item utama di tempat kejadian

Bagi musuh, ia hanya mempunyai garisan merah luar untuk menunjuk kedudukan musuh, tetapi agak sukar untuk menentukan arah musuh tersebut memandang. Jadi agak susah untuk menyerang hendap musuh tersebut secara senyap. Oh ya, imbasan AR itu hanya aktif sekejap sahaja, jadi kalau anda ingin ia kekal, perlulah tekan butang tersebut secara berterusan. Kalau ada tetapan untuk kekalkan imbasan ini, rasanya lebih bagus.

Menentang jenayah bersama rakan melalui multiplayer
Kalau anda mempunyai kawan yang membeli Gotham Knights, bolehlah ajaknya untuk meronda bandar Gotham bersama-sama. Inilah masanya untuk mencegah jenayah dengan kombo hebat yang tersedia. Tetapi buat masa ini satu-satunya cara untuk mengaktifkan kombo multiplayer ialah seorang pemain perlu memegang musuh dan rakan perlu berada cukup dekat dengan anda untuk melakukan serangan kombo.
Agak sukar untuk melaksanakannya kerana anda perlu sentiasa dekat dan tekan butang serentak dengan kawan. Tetapi kadang-kadang ia tidak menjadi mungkin kerana sistemnya yang kurang stabil. Musuh akan melepaskan diri jika anda memegangnya terlalu lama tanpa melakukan apa-apa, dipukul oleh orang lain juga akan mengganggu “grab action”. Sebab itu sukar untuk melakukan kombo tersebut. Perkara yang baik ialah jika anda menggunakan watak yang berbeza untuk melakukan serangan kombo, ia akan mempunyai gaya take down yang berbeza bergantung pada watak yang anda dan rakan anda gunakan.

Peta dan persekitaran Gotham yang terperinci
Gotham City dalam Gotham Knights sememangnya besar. Walaupun begitu, ia tidak memakan masa yang lama untuk load melainkan anda memasuki bangunan. Jadi, anda boleh menaiki bat-cycle untuk berbasikal mengelilingi bandar Gotham mengikut cara yang anda suka tanpa sebarang gangguan. Kadang-kadang susah juga untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain kecuali jika ada jambatan antaranya. Selain daripada bat-cycle, terdapat juga cara mengembara lain seperti fast travel dan teleport.

Kami suka persekitaran bandarnya. Gotham bukan sekadar “bandar New York malam yang penuh dengan orang jahat”, ia adalah bandar yang menyebarkan jenayah seperti wabak dan terasa seperti kewujudan bandar itu sendiri adalah jenayah. Kami fikir pasukan pembangun melakukan kerja yang hebat dalam membinanya, bangunan bandar yang mempunyai gaya gothic untuk memberikan rasa kegelapan, jalan raya sentiasa basah dan berkabus dengan asap atau awan menutupi bandar dengan lampu neon yang mewarnainya. Ini sedikit sebanyak membuatkan bandar Gotham sedikit misteri.

Penduduknya juga mempunyai reaksi yang berbeza apabila berjumpa dengan ahli bat-family yang berbeza. Contohnya Robin, di mana kebanyakan daripada mereka akan menyambutnya dengan baik dan kelihatan sangat suka padanya. Apabila menggunakan Red Hood pula, mereka seperti takut pula.
Apa pun, aktiviti jenayah yang berlaku selalunya perkara yang sama seperti penculikan, rompakan, stronghold dan lain-lain. Kadang-kadang ia berlaku di tempat yang sama berulang kali.

Prestasi game
Kami telah bermainnya menggunakan PC dengan spesifikasi berikut:
- 10th gen intel core i7(8 core)
- 32GB DDR4 Ram+ 1TB SSD
- GeForce RTX 3080 8GB GDDR6 VRAM
Kadang-kadang ia crash semasa loading di PC. Kami juga telah menggunakan tetapan “high” dan menghidupkan segala tetapan yang ada kecuali ray-tracing dengan resolusi 1920 x 1080. Benda lain yang kami perasan ialah fizik yang pelik pada model terutamanya hero yang memakai cape.

Kadar FPS untuk game ini apabila dimainkan pada PC kami ialah 70-80 FPS. Apabila mulanya pertempuran, tidak banyak FPS yang jatuh tetapi apabila anda grapple, mungkin ia akan jatuh sehingga 30-40 FPS. Cutscene juga kadang-kadang menjadi kabur malah membuatkan tekstur rambut watak kelihatan pelik.
Kami sempat juga mencubanya di konsol PS5 di mana FPS-nya kekal pada 30. Pertempurannya sangat lancar dengan visual yang lebih cerah dan elok berbanding PC. Harap-harap segala bug yang terdapat pada versi PC akan di kemas kini untuk pengalaman bermain yang lebih baik.

Kesimpulan
Kami dapat melihat segala usaha yang diletakkan oleh pasukan pembangun untuk Gotham Knights untuk menjadikan game ini hebat tidak kiralah kepada pemain baru atau peminat Batman. Sistem pertempurannya juga agak menarik dengan gaya berbeza diberikan kepada setiap watak. Bandar Gotham yang luas juga dipenuhi dengan butiran yang terperinci malah menyeronokkan untuk diterokai sambil menghentikan jenayah.

Imbasan AR juga satu mekanik menarik untuk menunjukkan kemahiran detektif bat-family. Perkara lain seperti watak, interaksi, multiplayer dan lain-lain juga dikendalikan dengan baik. Cuma grafik pada PC sahaja yang kami tidak puas hati. Harap-harap kemas kini baru akan dilancarkan secepat mungkin.
Game Gotham Knights akan dilancarkan pada 21 Oktober ini di pelbagai platform. Anda boleh lawati laman web rasmi game untuk menempahnya di platform masing-masing. Untuk mendapatkan segala liputan mengenainya daripada kami, sila klik pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Gotham Knights
PROS
- Watak-watak dibangunkan dengan baik
- Sistem combat sangat terperinci untuk setiap watak berbeza
- Suasana Persekitaran dibina dengan baik dan terperinci
CONS
- Terdapat beberapa bug dan crash
- Ciri imbasan AR dan pengalaman pengguna boleh dipertingkatkan
- Grafik agak kabur dalam PC, terutamanya pada tekstur rambut
Discussion about this post