Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

[Eksklusif] World of Warcraft: Forever Mentafsir Semula Nostalgia Era Vanilla Tanpa Merosakkannya

Razin Syafiq by Razin Syafiq
September 15, 2026 - Updated on September 18, 2026
in Artikel, Battle.net, Berita, Eksklusif, MMORPG, PC, Temuramah
0 0
0
[Eksklusif] World of Warcraft: Forever Mentafsir Semula Nostalgia Era Vanilla Tanpa Merosakkannya
Share on FacebookShare on Twitter

Di BlizzCon 2026, Blizzard Entertainment telah mengumumkan World of Warcraft: Forever… sebuah projek berani yang menghidupkan semula detik terawal Azeroth menerusi acuan serba segar.

Kiri ke kanan: Ana Resendez (Lead Software Engineer), Clay Stone (Associate Production Director) | Kredit: Digital Braves

Demi menyelami falsafah reka bentuk, teknologi, serta cerita di sebalik fasa baharu ini, Associate Production Director Clay Stone bersama Lead Software Engineer Ana Resendez berkongsi tentang naratif, visual, sehinggalah integrasi fungsi komuniti yang dimasukkan ke dalam game tersebut.

Kedudukan Canon dan Garis Masa Baharu dalam WoW Forever

Menjawab persoalan komuniti tentang kedudukan WoW Forever dalam susur sejarah selamat dua dekad, pihak pembangun memilih pendekatan canon secara berhati-hati. Judul ini tidak mengambil jalan mudah dengan mencipta realiti alternatif rawak mahupun spin-off konsep “what-if” yang keterlaluan.

Sebaliknya, cerita berakar pada hari pembukaan World of Warcraft klasik; zaman ketika lahar Molten Core belum pun bergolak. Seluruh cerita terkurung kemas dalam sebuah “gelembung masa” yang menangkap tahun pertama kewujudan Azeroth.

Inti naratif berlandaskan idea ilham Chris Metzen yang dinamakan “Found Photographs”. Clay mengimbas analogi yang diutarakan Metzen tentang menjumpa kisah silam orang tersayang:

“Bayangkan anda mengenali ibu bapa dengan begitu mendalam—atau sekurang-kurangnya begitulah sangkaan anda. Namun, ketika menyelongkar kotak berhabuk di loteng suatu hari nanti, anda terjumpa sekeping gambar lama. Rupa-rupanya mereka pernah mengembara ke luar negara tanpa anda tahu. Peribadi mereka tetap tidak berubah sedikit pun; bezanya, kini ada sisi baharu tentang mereka yang baru anda fahami.”

Kaedah ini memberi ruang kepada pencipta membongkarkan hikayat pelbagai bangsa dan faction yang belum diceritakan, tanpa merombak asas sejarah era pasca-Vanilla.

Biarpun begitu, WoW Forever sengaja ditempatkan dalam garis masa tersendiri demi mengelakkan jalan cerita versi moden terbeban untuk menyesuaikan diri dengan setiap rombakan kecil. Peminat tidak perlu bimbang akan berlakunya penyelewengan sejarah.

“Kami tidak berniat melakukan plot merepek, misalnya menggambarkan Arthas tidak pernah menjadi Lich King atau menuduh Jaina sekadar samaran Dreadlord sepanjang masa,” tegas Clay.

Keutamaan mereka masih tertumpu pada menghasilkan kualiti permainan yang terbaik. Ana menyokong pendirian ini sambil menyimpulkan bahawa dalam dunia WoW Forever, “alam maya itu sendiri memegang peranan watak utama,” di mana tumpuan beralih kepada kehidupan harian di Azeroth serta penglibatan pemain di dalamnya.

Bangsa Baharu Elf Skyborne

Kehadiran elf Skyborne (keturunan high elf yang kembali ke Azeroth selepas lenyap selama sepuluh ribu tahun) menjadi salah satu sorotan terpenting.

Usaha memperincikan mereka memerlukan perbincangan intim bersama Metzen, khasnya bagi merangka alasan logik di sebalik ketiadaan mereka sepanjang sepuluh milenia serta motif kepulangan ini.

Semuanya bermula apabila sumber sihir di petempatan mereka semakin suram. Dihimpit tuntutan ikhtiar hidup, bangsa Skyborne berpecah kepada dua faction yang berselisih faham, didorong percanggahan doktrin tentang kaedah mengembalikan kuasa yang hilang.

Pecahan ideologi ini memerlukan pemain menetapkan ikrar taat setia seawal peringkat mencipta watak.

“Sebaik meneroka plot cerita, pemain akan sedar betapa tegangnya persengketaan antara kedua-dua faction ini,” ulas Clay.

“Sama ada menerusi versi demo mahupun fasa beta nanti, interaksi dengan NPC daripada kelompok bertentangan bakal menunjukkan layanan berbeza secara drastik. Mereka langsung bukan sekutu.”

Perbezaan prinsip ini turut meresap ke dalam gameplay. Ana menjelaskan bahawa percabangan haluan tersebut tidak sahaja menyentuh elemen kosmetik, malah ditunjukkan menerusi kebolehan kaum berbeza mengikut kaedah setiap kelompok memanipulasi sisa tenaga mistik mereka.

Mekanik terperinci tentang punca kuasa ini dihuraikan lebih lanjut dalam sesi panel khas “Found Photographs” di konvensyen tersebut.

Forsaken Paladin, Dwarf Shaman, dan Rasional di Sebalik Kombinasi Class Baharu

Every Paladin needs their trusty steed 🐎

The Forsaken’s rare crusaders are no exception 💀@AggrendWoW pic.twitter.com/nu8ZXGoWuP

— World of Warcraft (@Warcraft) September 13, 2026

Pembaharuan agihan faction dan class klasik turut diperkenalkan, paling menonjol dengan kehadiran Forsaken Paladin serta Dwarf Shaman.

Waktu era asal diperkenalkan, keseimbangan kuasa bergantung kepada monopoli Paladin oleh Alliance dan Shaman oleh Horde… perpecahan yang hanya diredakan dalam The Burning Crusade menerusi tambahan Blood Elf serta Draenei. Melihat evolusi dua dekad komuniti pemain, Ana berhujah:

“Secara realistik, kami tidak ingin melihat pemain tersepit antara kesetiaan faction dengan class idaman mereka. Sepanjang tempoh itu, ramai yang jatuh hati pada kelas seperti Paladin, tetapi andai rakan-rakan memilih panji Horde, wajarlah mereka diberi kebebasan untuk menyertainya tanpa halangan.”

Langkah ini bukan sahaja kerana mekanikal semata-mata, sebaliknya berakar pada asas penceritaan.

Clay mendedahkan bahawa rujukan naratif tentang kemunculan Forsaken Paladin pertama bersumberkan Warcraft III: Reforged – Forsaken Kingdom, yang mendedahkan konflik batin serta keperitan fizikal ketika menyeru anugerah Light dalam “undeath”.

Membina watak Forsaken Paladin menjanjikan pengembaraan leveling yang unik, berbeza daripada naratif biasa bangsa tersebut. Bagi Dwarf Shaman pula, biarpun tidak membocorkan spoiler, Clay memberi jaminan bahawa punca amalan shamanism oleh kaum kerdil ini akan dibongkarkan.

Biarpun ada kelonggaran, pihak studio enggan membuka gandingan class tanpa kawalan. Buktinya, Skyborne di kubu Horde berupaya memikul peranan Shaman, namun laluan Paladin masih tertutup buat mereka. Bagi Clay, pembatasan kelas merupakan tiang reka bentuk Classic.

Berbanding acuan eksperimental berkonsepkan sandbox dalam Season of Discovery, hala tuju WoW Forever lebih tertib:

“Andai timbul keraguan, kami berpegang teguh pada intipati Classic. Itulah kompas panduan kami.”

Ana mengiyakan perkara tersebut sambil menyatakan bahawa setiap gandingan dipantau agar bersesuaian dengan plot induk, di samping memelihara nilai eksklusif bangsa-bangsa legasi terdahulu.

Menaik Taraf Visual Tanpa Menukar Model Asal

Dari sudut visual, WoW Forever mencampurkan rasa hormat terhadap estetika asal bersama kemajuan teknik grafik moden. Tidak ingin terperangkap dalam tugasan mustahil mengubah suai puluhan ribu model watak, perkakasan persekitaran, serta item satu demi satu, tumpuan dialihkan kepada pembaharuan cahaya ambien.

Ana mengaku fasa mencari titik keseimbangan ini memerlukan proses berterusan agar tambahan baharu tidak nampak janggal:

“Kita tidak lagi hidup pada era 2004. Game ini tidak wajar dibiarkan kaku di masa silam, sebaliknya perlu matang mengikut peredaran zaman. Peningkatan teknologi amat mustahak, asalkan tidak melangkaui batas sehingga mencacatkan jiwa asalnya.”

Keberkesanan kaedah ini terbukti memikat warga kerja sendiri sewaktu sesi ujian.

“Kerap kali semasa ujian dalaman yang langsung tiada kaitan dengan grafik dijalankan, rakan sepasukan leka menangkap gambar suasana fajar. Rupanya mempesona, diselitkan keindahan pepohon serta rupa bumi sekeliling.”

Clay mengimbas kata-kata pengarah seni mereka yang menggariskan visi visual ini:

“Ia bukan Classic, mengikut rupa fizikal asal dalam ingatan anda. Pada 2019, kami melancarkan World of Warcraft Classic sebagai replika visual tepat masa lalu. Namun judul baharu ini menampilkan Azeroth sebagaimana yang dibayangkan oleh memori nostalgia anda.”

Contoh terbaik ditunjukkan melalui volumetric fog serta rekahan sinar matahari yang menembusi rimbunan Ashenvale, untuk menyerlahkan bagaimana teknologi persekitaran mampu memperkaya nostalgia tanpa melenyapkan keasliannya.

Reka Bentuk Dungeon Peringkat Leveling dan Misteri Vanilla yang Belum Terjawab

Struktur reka bentuk “instance” dalam projek ini menyimpang daripada kebiasaan kitaran expansion moden. Pasukan produksi tidak memusatkan kandungan dungeon dan raid baharu pada fasa endgame sahaja, sebaliknya memberi kepelbagaian sepanjang fasa leveling, seawal level 10.

Ana merujuk kepada ketidakseimbangan rentak era Vanilla; puak Horde menikmati akses pantas ke Ragefire Chasm di Orgrimmar seawal level 11 atau 12, sedangkan kubu Alliance tiada padanan setara pada tahap awal. Mengisi kekosongan ini melalui instance baharu membuatkan ekosistem pengembaraan lebih adil dan menyeluruh.

Langkah tersebut turut membuka ruang untuk mengimbau semula lokasi ikonik pada fasa pembangunan yang berbeza. Ana memetik contoh Kota Dalaran, di mana pemain berpeluang menjejakinya sebagai kota di atas daratan sewaktu fasa awal pembinaan.

Di samping itu, tapak terkenal lain turut menerima sentuhan baharu, termasuk sebuah dungeon misteri di bawah Ruins of Lordaeron.

Menurut Clay, kesemua instance ini menjadi asas melunaskan rasa ingin tahu komuniti terhadap misteri Vanilla yang pernah terbiar:

“Kami memerhatikan angan-angan yang lama bersarang dalam fikiran pemain tentang elemen yang belum tuntas. Contohnya, apa yang tersembunyi di balik gerbang Azshara? Dalam WoW Forever, rahsia itu mungkin terungkai… Ia menyatukan nostalgia komuniti serta para pembangun terhadap apa jua gagasan yang pernah terbiar tanpa sempat direalisasikan oleh pasukan asal Blizzard dahulu.”

Sokongan Controller dan Keserasian Handheld PC

Aspek sistem menambahkan “controller support” pilihan yang disepadukan. Ciri ini menandakan mercu tanda penting dari sudut kebolehcapaian, khasnya bagi meringankan kekangan golongan pemain yang bergantung pada perkakasan adaptif.

“Mengetahui ada individu terpaksa menggunakan peranti khas kerana batasan fizikal, dan menyedari ciri ini mampu membuka jalan kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman bermain, mencetuskan rasa rendah diri dan keterujaan yang susah diungkapkan,” luah Ana.

Integrasi ini melibatkan reka bentuk ke atas navigasi UI, VFX, serta petunjuk panduan bagi memastikan kelancaran aksi tanpa bergantung kepada tetapan papan kekunci. Ana sendiri mengaku bahawa skema kawalan ini menjadi mod kegemarannya ketika menguji versi dalaman:

“Ia menimbulkan keintiman terhadap judul yang sangat saya akrab, namun pada masa sama memberikan kelegaan apabila kita boleh bersandar tenang sambil menggenggam controller.”

Ana mengesahkan bahawa skema kawalan natif berfungsi pada peranti PC handheld, membolehkan pemain meneroka dunia Azeroth secara mudah alih.

Sungguhpun begitu, menjawab persoalan sama ada inisiatif ini membuka laluan ke platform konsol rumah, beliau menjelaskan bahawa Blizzard belum mempunyai sebarang pelan pelancaran konsol untuk diumumkan setakat ini.

Maklum Balas Komuniti, Hala Tuju Kandungan

Sesi temu bual diakhiri dengan pandangan kedua-dua pembangun terhadap sambutan komuniti di tapak konvensyen.

Ana menyifatkan perjumpaan dengan pelbagai latar pemain (daripada pemain baharu yang tertarik dengan realm Hardcore hinggalah kelompok veteran yang setia selama dua puluh tahun dalam satu guild) sebagai pengalaman luar biasa.

“Detik sebegini membuat kami sedar betapa usaha ini mampu memberi impak mendalam kepada kehidupan seseorang. Ia satu penghormatan yang merendahkan hati, di samping amanah yang amat berat.”

Clay menggariskan bahawa segala pendedahan di BlizzCon hanyalah pengenalan kepada dialog berterusan bersama pemain, meneruskan tradisi penambahbaikan pantas berasaskan maklum balas seperti yang dijayakan dalam Season of Discovery.

“Visi masa depan kami, hala tuju pengembangan dunia Azeroth, serta usaha membawa pemain ke destinasi idaman tanpa meninggalkan bumi Azeroth—semuanya membakar semangat kami,” ujar beliau, sambil membayangkan lebih banyak maklumat tentang zone, raid, serta class bakal disajikan nanti.

World of Warcraft: Forever akan membuka pintunya pada 4 November bagi PC dan Mac. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

Tags: EksklusifWorld of Warcraft: Forever
ShareTweetSend
Previous Post

Netflix & SEGA Bekerjasama Hasilkan Filem Live-Action Crazy Taxi, Animasi Baru Sonic & Filem Spin-Off Yakuza

Next Post

[Eksklusif] Heroes of the Storm Bangkit Dari Kubur Bersama Xal’atath, Misi James Yen Untuk Selamatkan Nexus

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 
iOS

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 

October 12, 2026
Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun
Review

Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
Next Post
[Eksklusif] Heroes of the Storm Bangkit Dari Kubur Bersama Xal’atath, Misi James Yen Untuk Selamatkan Nexus

[Eksklusif] Heroes of the Storm Bangkit Dari Kubur Bersama Xal'atath, Misi James Yen Untuk Selamatkan Nexus

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto
Anime

NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto

October 12, 2026
Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’
Manga

Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’

October 12, 2026
Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global
Mobile

Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global

October 12, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd