Selepas melangkah keluar daripada demo dengan sensasi gameplay masih segar di ingatan, kami berpeluang menemubual tiga tokoh utama di sebalik Mega Man: Dual Override.
Dihadiri oleh Pengarah Shinya Ikuta, Produser Hiroyuki Minamitani, dan Produser Siri Shingo Izumi, perbincangan kami terarah kepada cabaran mengembalikan Blue Bomber dalam barisan game utama sejak Mega Man 11—termasuk usaha Capcom memelihara DNA francais ini di samping merombak formula tradisional.
Cabaran, Kejayaan, dan Autonomi Pemain
Sebagai game pertama sejak 2018, para pembangun memikul amanah berat dalam mempertahankan identiti francais. Bagi Pengarah Shinya Ikuta, tumpuan wajib tertumpu pada emosi gameplay.
“Bagi saya, salah satu pengalaman paling penting dalam Mega Man adalah apabila dicabar, mengatasi cabaran tersebut, dan kemudiannya merasa kepuasan atas kejayaan itu,” jelas Ikuta.
“Kitaran ‘cabaran → mengatasinya → kepuasan kejayaan’ merupakan sesuatu yang ingin kami kekalkan sebagai teras utama pengalaman permainan.”

Sama pentingnya ialah sensasi pemerkasaan (empowerment) selepas sesebuah stage berjaya dikalahkan.
“Satu lagi aspek penting dalam Mega Man ialah selepas menewaskan bos, pemain akan memperoleh Special Weapon yang memberi mereka cara baharu untuk menangani cabaran yang mendatang,” ujar Ikuta.
“Kami juga mahu mengekalkan perasaan memperoleh lebih banyak kebebasan secara beransur-ansur seiring kemajuan anda dalam game.”

Daripada asas itu, Custom Chips dan mekanik Override diperkenalkan. Langkah ini bukannya bertujuan menggantikan asas platforming, sebaliknya meluaskan pilihan taktikal pemain.
Ikuta menegaskan bahawa pengikut setia akan menikmati variasi strategi yang lebih mendalam, manakala golongan amatur pula dapat berharap pada Custom Chips untuk meredah laluan yang dahulunya nampak mustahil.
Objektifnya adalah memberikan autonomi semasa berdepan pelbagai rintangan, lantas menjadi pintu masuk yang ramah buat kelompok yang baru berjinak-jinak dengan dunia Blue Bomber.
Bukan ‘Mega Man 12,’ Gameplay Dual-Character

Daripada melabelkan projek ini sebagai Mega Man 12, Capcom memilih tajuk kecil Dual Override. Produser Hiroyuki Minamitani mendedahkan bahawa pemilihan nama berkenaan berkait dengan pilihan watak kawalan anda.
“‘Dual’ mewakili beberapa perkara, tetapi yang paling utama, ia merujuk kepada gameplay dua-karakter game ini,” dedah Minamitani.
“Dua watak tersebut ialah Mega Man dan Proto Man, dan setiap satunya menawarkan pengalaman gameplay yang berbeza. Melalui nama Dual Override, kami mahu menyampaikan bahawa pemain boleh menikmati game ini dalam cara yang berlainan bergantung pada watak yang digunakan.”

Kemunculan Proto Man sebagai watak yang boleh dikawal (asalnya diacah pada The Game Awards sebelum didedahkan dalam trailer kemudian) menunaikan impian yang sekian lama diidamkan komuniti. Walaupun studio masih berahsia tentang butiran penuh kebolehannya, Ikuta memberi jaminan bahawa dinamik menempuh stage selaku Proto Man membawakan kelainan drastik berbanding Mega Man. Malah, perbezaan itulah yang menjadi tunjang reka bentuk Capcom.
“Itu adalah salah satu matlamat kami semasa mereka bentuk game ini,” kata Ikuta.
“Kami mahu pemain memainkan semula semua stage dengan kedua-dua watak, Mega Man dan Proto Man, serta meneroka kepelbagaian keseronokan yang ditawarkan oleh setiap watak. Walaupun selepas menamatkan sesuatu stage dengan Mega Man, memainkannya semula sebagai Proto Man pasti memberikan pengalaman yang berbeza.”
Fungsi Custom Chip dan Mekanik Override
Fokus perbincangan beralih kepada keupayaan mekanik-mekanik baharu menyeimbangkan tempo combat. Ikuta menggariskan bahawa Custom Chips dan sistem Override memikul fungsi berasingan yang saling melengkapi, tanpa sesekali membayangi tembakan mahupun aksi platforming tradisional.

“Custom Chips lebih kepada persiapan sebelum memasuki sesebuah stage,” jelas Ikuta.
Pada sesi demo gamescom, pemain dihadkan kepada tiga konfigurasi awal, namun pengarah itu menjelaskan bahawa had ini khusus untuk fasa percubaan sahaja.
Menerusi versi penuh nanti, pemain bebas merangka loadout daripada koleksi cip yang dihimpunkan, sekali gus meluaskan lagi aspek persediaan mengikut kesesuaian playstyle peribadi serta pelbagai bahaya pada aras yang bakal diharungi.

“Override pula bersifat lebih serta-merta,” sambung Ikuta.
“Sebaik sahaja meter dicas penuh, pemain boleh mengaktifkannya semasa gameplay. Apabila mereka berada dalam situasi genting atau berdepan situasi yang amat mencabar, Override boleh meningkatkan kebolehan buat sementara waktu bagi membantu melepasi halangan tersebut.”
Gabungan sinergi ini membolehkan pemain merancang strategi sebelum bertindak, di samping memiliki sandaran ‘burst power’ kecemasan semasa diasak hebat. Ini menjadi jaring penyelamat bagi pemain baharu tanpa melenyapkan tuntutan ujian kemahiran asas platforming.
Mengadaptasi Rekaan Robot Master Pilihan Peminat
Mega Man: Dual Override turut mengembalikan tradisi ikonik iaitu pertandingan rasmi rekaan bos oleh komuniti, di mana lakaran imaginasi pemain direalisasikan terus menjadi Robot Master sebenar.
Usaha mengadaptasi lukisan peminat ke dalam produksi 3D profesional memerlukan usaha rapi, tetapi Minamitani bertegas bahawa aspirasi pereka asal tetap diangkat sebagai keutamaan.
“Sudah tentu reka bentuk tersebut perlu disesuaikan agar serasi dengan dunia dan kandungan keseluruhan permainan, tetapi matlamat utama kami adalah untuk mengekalkan sebanyak mungkin konsep asal yang dihantar oleh pemain,” tegas Minamitani.
Beliau menegaskan bahawa warga produksi mengendalikan setiap kiriman dengan penghormatan tinggi:
“Kami mahu menghormati idea para pencipta dan membawa sebanyak mungkin visi asal mereka ke dalam game ini.”
Grafik 3D dengan Gameplay 2D
Peralihan aksi 2D ke dalam estetika grafik 3D moden selalunya berisiko menjejaskan kejelasan visual bagi hitbox, geometri platform, serta ancaman musuh. Namun bagi Ikuta, cabaran itu berjaya diatasi kerana asas yang dipupuk sewaktu penghasilan game dahulu.

“Game ini menggunakan watak 3D sepenuhnya sambil mengekalkan gameplay side-scrolling,” kata Ikuta.
“Namun, kami sudah pun mengumpul pengalaman menerusi pendekatan ini sewaktu membangunkan Mega Man 11, jadi kami tidak menghadapi sebarang kesukaran besar kali ini. Pengalaman lalu mengajar kami cara menggunakan model 3D sambil mempersembahkan pengalaman side-scrolling khas Mega Man, dan pengetahuan tersebut banyak membantu kami sepanjang pembangunan projek ini.”
Sasar Generasi Baharu dan Mesej Buat Peminat Asia Tenggara
Pembangunan Dual Override berkait rapat dengan sambutan ulang tahun ke-40 siri ini. Produser Siri Shingo Izumi mengesahkan bahawa jadual ini dirangka sejak awal.
“Ya. Kami sememangnya merancang tarikh pelancarannya dengan sengaja demi meraikan ulang tahun ke-40 Mega Man,” kongsi Izumi.
“Kami berharap game ini dapat menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 dan memuaskan hati semua orang yang menyayangi siri Mega Man.”

Izumi menambah bahawa peristiwa bersejarah ini turut membantu falsafah rekaan mereka agar produk akhir menyatukan generasi-generasi peminat.
“Sepanjang fasa pembangunan, kami telah mencurahkan banyak usaha untuk memastikan game ini dapat dinikmati bukan sahaja oleh peminat lama, malah oleh mereka yang tidak pernah bermain Mega Man sebelum ini. Sekiranya judul ini dapat menjadi pengenalan pertama seseorang kepada Mega Man dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi peminat siri ini, kami akan berasa sangat gembira.”

Sementara menantikan hari pelancaran, Minamitani mengusulkan:
“Jika anda belum pernah bermain judul-judul terdahulu, bermula daripada Mega Man 1 sehinggalah Mega Man 11, ini merupakan peluang terbaik untuk menyelami sejarah siri ini sambil mengasah kemahiran aksi 2D anda.”
Sambil meluahkan penghargaan atas kesetiaan peminat serantau, Minamitani turut menzahirkan hasrat pasukan pembangunan untuk turun padang dan beramah mesra dengan komuniti Asia Tenggara secara bersemuka pada masa hadapan.
Game ini akan dilancarkan pada tahun 2027 di PC (Steam, Epic Games Store), PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X/S, Nintendo Switch, dan Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[Eksklusif] Menolak Label ‘Mega Man 12,’ Mega Man: Dual Override Pilih Jalan Berbeza Dengan Gameplay Klasik Campur Moden](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/MEGA-MAN-DUAL-OVERRIDE_EKSKLUSIF_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post