Kerjaya Masaaki Hoshino melibatkan beberapa nama yang paling dikenali dalam dunia gaming kompetitif. Beliau bermula di Bandai Namco Studios sebagai ‘lead programmer’ untuk siri SOULCALIBUR sebelum menerbitkan Pokkén Tournament.
Selepas menyertai The Pokémon Company, beliau mengetuai pembangunan Pokémon UNITE, dan kini berkhidmat sebagai produser untuk Pokémon Champions.

Melalui temu bual e-mel eksklusif, kami berpeluang bertanya secara langsung kepadanya tentang hala tuju game ini, jumlah pemainnya yang semakin berkembang, serta pelbagai keputusan di sebalik pembangunannya.
Mengapa VGC Mendapat Platform Tersendiri

Selama bertahun-tahun, arena Pokémon kompetitif, terutamanya format Video Game Championship (VGC), sentiasa terikat dengan mana-mana game terkini daripada siri utama. Dari Sword and Shield hingga ke Scarlet and Violet, format ini sentiasa bergerak seiring dengan siri berkenaan. Pokémon Champions telah mengubah landskap tersebut, dan Hoshino menjelaskan mengapa pasukannya merasakan bahawa pengasingan ini perlu dilakukan.
“Judul-judul siri permainan video Pokémon sentiasa meneroka bentuk pertarungan yang baharu,” katanya.
“Dalam proses evolusi ini, kami merasakan bahawa dengan sengaja mengasingkan teras turn-based battle kepada sebuah platform yang bebas, kami dapat menyampaikan pengalaman baharu kepada peminat melalui idea-idea yang lebih kreatif dan fleksibel.”

Beliau menegaskan bahawa langkah ini bukanlah bertujuan untuk meninggalkan siri utama, sebaliknya ia memberi ruang kepada sistem turn-based battle ini untuk berkembang sendiri.
Mengenai sama ada game siri utama pada masa hadapan masih akan menyertakan Ranked Battle dalam talian, Hoshino mengakui bahawa judul seperti Pokémon Legends: Arceus dan Pokémon Legends: Z-A sentiasa mencari format pertarungan baharu.
Namun, beliau tidak memberikan jawapan ya atau tidak secara langsung sama ada Ranked Battle akan dikekalkan dalam game-game tersebut.
Tiba di Platform Mobile

Salah satu perubahan paling besar bagi Pokémon Champions ialah game ini tidak lagi terhad secara eksklusif untuk perkakasan Nintendo sahaja. Game ini telah dilancarkan secara percuma di Nintendo Switch dan juga telefon pintar.
Hoshino menyatakan bahawa pengalamannya ketika menguruskan Pokémon UNITE menjadi sebab utama keputusan tersebut diambil.
“Sebagai individu yang pernah berkhidmat sebagai produser untuk Pokémon UNITE, saya telah melihat sendiri bagaimana penyediaan versi mobile mampu meningkatkan kebolehcapaian secara drastik, selain membuka lebih banyak peluang untuk pemain berinteraksi dengan game tersebut,” ujarnya.
“Untuk memastikan seramai mungkin orang dapat merasai intipati sebenar pertarungan Pokémon yang luar biasa ini, kami membuat keputusan untuk melancarkan game ini sebagai judul free-to-start di kedua-dua peranti, iaitu Nintendo Switch dan telefon pintar.”
Sengaja Bermula Berskala Kecil

Semasa Pokémon Champions mula-mula dilancarkan, ia hadir dengan pilihan Pokémon serta barangan yang agak terhad. Ada sebilangan pemain yang mempersoalkan perkara ini, tetapi Hoshino berkata sekatan tersebut sememangnya dirancang dan disengajakan. Malah, maklum balas yang diterima juga menyokong rasional tersebut.
“Saya amat gembira melihat jumlah pemain baharu yang begitu ramai memulakan perjalanan pertarungan Pokémon mereka melalui Pokémon Champions,” katanya.
“Dari perspektif pemain baharu, sekiranya kami memberikan lebih 1,000 pilihan Pokémon beserta pelbagai jenis item sejak hari pertama lagi, ia bukan sahaja akan mengelirukan mereka ketika mahu team-building. Malah, ia akan menjadi bebanan besar yang menuntut terlalu banyak pengetahuan ketika mereka cuba memahami strategi pasukan lawan.”

Beliau juga menekankan bahawa bermain dalam ruang yang terhad adalah sesuatu yang menjadikan game ini lebih menarik.
“Kami percaya bahawa usaha mencari ‘penyelesaian paling optimum’ di dalam persekitaran yang terhad merupakan keseronokan asas sesebuah pertarungan. Itulah sebabnya kami melepaskan game ini dalam format yang sedia ada sekarang.”
Belum Ada ‘Unevolved Pokémon‘, Tetapi Peluang Terbuka
Pemain veteran VGC pasti tahu bahawa Pokémon seperti Dusclops dan Clefairy telah memberikan kesan yang besar dalam strategi meta kompetitif yang lalu. Perkara ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh item Eviolite, yang berfungsi meningkatkan pertahanan Pokémon yang masih belum mencapai tahap evolusi terakhir.
Buat masa ini, Pokémon Champions tidak memasukkan ‘Unevolved Pokémon’ (Pokémon yang tidak berevolusi). Hoshino mengesahkan bahawa tindakan ini diambil bagi memudahkan pemain baharu memahami permainan.

“Untuk musim pertama, kami mengutamakan keringkasan bagi pemain baharu. Kami rasakan mereka akan lebih mudah memahami keadaan permainan semasa jika gameplay pertarungan tertumpu terutamanya kepada Pokémon pada tahap evolusi terakhir,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa Unevolved Pokémon mungkin akan disertakan pada masa hadapan, tetapi pasukannya ingin melaksanakan langkah ini secara berhati-hati.
“Kami merancang untuk bertindak cermat bagi memastikan persekitaran game ini tidak menjadi terlalu padat atau terlalu rumit untuk difahami.”
Memastikan Gameplay Sentiasa Segar

Kini, pertarungan dalam Pokémon Champions berlangsung di ruang yang dipanggil oleh Hoshino sebagai arena jenis ‘Sphere’. Secara peribadi, beliau sangat menyukai reka bentuk tersebut, tetapi mengesahkan bahawa akan ada lebih banyak jenis arena baharu yang bakal tiba.
“Kami sememangnya merancang untuk memperkenalkan arena pertarungan yang lebih pelbagai pada masa hadapan. Kami akan menyediakan persekitaran yang lebih memukau secara visual, jadi sila nantikan kemunculannya.”

Dengan kehadiran gelombang besar pemain baharu, Hoshino berkata pasukan pembangun kini memfokuskan usaha untuk memastikan keseronokan ini berterusan. Keutamaan terdekat mereka pada waktu ini adalah pelancaran pada platform telefon pintar.
Namun selepas itu, mereka merancang untuk terus menambah Pokémon serta item baharu secara berterusan.
“Kami telah menerima banyak maklum balas positif daripada pemain baharu, dan ini memberi kami keyakinan yang tinggi,” katanya. “Matlamat utama kami adalah untuk mengekalkan tenaga ini dan terus mengembangkan komuniti yang ada.”
Ciri-Ciri Yang Masih Dalam Pembangunan
Ada beberapa ciri yang kerap diminta oleh peminat yang dibincangkan dalam temu bual ini. Mengenai topik ‘custom player-run tournament’, Hoshino berkata idea itu sememangnya sesuatu yang ingin dicapai oleh pasukannya.
“Kami percaya adalah sangat ideal untuk memasukkan satu sistem yang membenarkan pemain menganjurkan pertandingan mereka sendiri,” jelasnya.
Sungguhpun begitu, pasukannya perlu memperkemaskan lagi game asas terlebih dahulu.
“Kami sedang bergerak perlahan-lahan ke arah merealisasikannya, jadi kami amat menghargai kesabaran anda untuk menunggu sedikit masa lagi.”

Bagi fungsi ‘replay’, Hoshino menerangkan bahawa aspek teknikal membuatkan ia agar sukar dicapai. Oleh kerana sistem logik dan struktur data pertarungan sentiasa dikemas kini, memastikan data replay lama serasi dengan versi game yang baharu adalah satu cabaran yang besar.
“Oleh sebab itu, kami tidak mempunyai perancangan untuk mengimplementasikan fungsi replay buat masa ini.”

Apabila diajukan soalan jika skin kosmetik Pokémon boleh diperkenalkan, seperti sistem Holowear dalam Pokémon UNITE, Hoshino menolak idea tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa ciri Holowear wujud hasil daripada tenaga fiksyen unik di Aeos Island dalam jalan cerita UNITE, dan konsep tersebut langsung tidak dibawa masuk ke dalam Champions.
“Kami tiada rancangan untuk melaksanakan mana-mana ciri sedemikian dalam Pokémon Champions pada masa ini.”
Usaha Ke Arah Perlawanan Yang Lebih Singkat

Salah satu perkara paling menarik yang dikongsikan oleh Hoshino adalah betapa besarnya peranan tempoh masa perlawanan terhadap corak reka bentuk game ini. Beliau menggariskan persamaan antara Pokémon UNITE dan Pokémon Champions tentang bagaimana pasukannya amat menitikberatkan aspek masa pemain.
“Dalam Pokémon UNITE, kami telah memendekkan tempoh masa gane MOBA yang kelazimannya memakan masa sekitar 20 hingga 30 minit kepada had maksimum 10 minit,” katanya.
“Walaupun begitu, kami mendapati masih ramai individu dalam gaya hidup serba moden merasakan bermain selama 10 minit juga merupakan komitmen yang agak berat.”
Untuk Champions, mereka meletakkan sasaran di bawah paras 5 minit bagi setiap perlawanan. Pasukan pembangun bertindak menambah pilihan menyerah kalah serta mempercepatkan pergerakan animasi dan teks untuk menepati sasaran tempoh tersebut.
“Hasilnya, kami telah berjaya menurunkan purata masa perlawanan kepada tempoh sekitar 3 hingga 4 minit sahaja. Ini mencipta pengalaman pertarungan yang sangat mudah dan pantas untuk diakses oleh semua.”

Pencapaian Pertama Untuk Asia
Malaysia Master Ball League (MBL) mencatat sejarah sebagai acara besar pertama di dunia yang menggunakan Pokémon Champions sebagai platform rasmi VGC mereka. Hoshino menyatakan bahawa beliau sangat berbesar hati dengan detik bersejarah itu dan menzahirkan rasa kesal kerana tidak dapat hadir untuk menyaksikannya sendiri.

“Semangat yang ditunjukkan oleh para peminat Pokémon di Asia sampai kepada saya meskipun saya berada di Jepun, dan sejujurnya saya sangat teringin untuk merasai sendiri tenaga tersebut di MBL,” luahnya.
“Agak mengecewakan apabila saya tidak dapat berkunjung ke Malaysia kali ini bagi mengalami sendiri kemeriahan tersebut di hadapan mata. Dari Jepun, saya menyokong penuh semua pemain yang bertanding dengan penuh ikhlas. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua.”
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
![[EKSKLUSIF] Hala Tuju Pokémon Champions – Produser Masaaki Hoshino Bincang Evolusi Daripada Siri Utama, Langkah Ke Mobile, & Rancangan Akan Datang](https://cdn.gamersantai.com/2026/05/Masaaki-Hoshino_INTERVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post