Dalam sesi pratonton, Pan Studio telah berkongsi maklumat terkini mengenai judul RPG aksi fantasi hibrid mereka, Duet Night Abyss. Khususnya, mereka memperkenalkan falsafah berpusatkan pemain dengan menghapuskan pelbagai kekangan dan sekatan yang biasa ditemui dalam game gacha berunsur free-to-play.
Sesi tersebut mendedahkan sistem pengewangan yang telah diperbaharui, yang bertujuan agar pemain dapat menumpukan perhatian penuh kepada pengalaman bermain. Melalui satu tindakan yang bertentangan dengan amalan semasa industri, Duet Night Abyss tidak akan mengandungi sebarang mekanik gacha untuk watak mahupun senjata.
Pihak pembangun turut memberi jaminan bahawa kesemua watak boleh didapati tanpa sebarang bayaran, manakala watak dan senjata tidak akan terikat dengan sistem penarafan berdasarkan bintang atau tahap rarity.
Di samping itu, setiap senjata boleh dihasilkan dan dipertingkatkan sepenuhnya melalui ciri forging yang tersedia di dalam game.

Fokus terhadap kebolehaksesan ini diperluaskan lagi kepada mekanik gameplay apabila pembangun mengesahkan penghapusan total sistem stamina.
Langkah ini membolehkan pemain menikmati kebebasan penuh untuk bertarung, menjelajah, dan mendalami jalan cerita sepuas-puasnya, tanpa perlu risau tentang had masa tiruan atau sebarang kekangan kewangan.

Kebebasan untuk mengekspresikan diri juga menjadi ciri utama game ini, yang direalisasikan menerusi sistem pewarnaan yang terperinci. Sistem ini memberi kuasa kepada pemain untuk mengubah suai warna pada setiap komponen pakaian, senjata, dan juga aksesori watak.
Ini membolehkan mereka menghasilkan penampilan yang tersendiri bagi mencerminkan identiti dan kreativiti masing-masing.

Duet Night Abyss akan dilancarkan secara free-to-play pada 28 Oktober ini dan boleh dimainkan di platform iOS, Android, dan juga PC melalui pelancar rasminya serta Epic Games Store.
Para pemain yang berminat disarankan untuk mendaftar minat terlebih dahulu di laman web rasminya bagi melayakkan diri menerima habuan eksklusif semasa pelancaran nanti.









Discussion about this post