Blizzard Entertainment telah mengumumkan kolaborasi crossover besar seterusnya untuk Diablo Immortal. Kali ini, salah satu watak antihero paling ikonik dalam sejarah buku komik bakal dibawa masuk ke dunia Sanctuary. Khususnya, Diablo Immortal bekerjasama dengan pencipta komik legenda Todd McFarlane untuk membawakan Spawn ke dalam game bermula 30 September 2026.
Pengumuman ini dikongsikan bersama pandang pertama untuk Patch 5.1 Diablo Immortal, lengkap dengan pesanan pendek daripada McFarlane sendiri.
Untuk permulaan, McFarlane akan menyertai pasukan pembangunan Diablo Immortal di atas pentas BlizzCon 2026 yang berlangsung hujung minggu ini pada 12 dan 13 September di Anaheim Convention Center, California.
Peminat yang mengikuti acara boleh menantikan beberapa info menarik termasuk perkongsian bagaimana kolaborasi ini tercetus dan apa yang boleh dijangkakan oleh para pemain daripada acara dalam game.

Bagi mereka yang kurang mengenali watak ini, Spawn asalnya diperkenalkan pada tahun 1992. Kisahnya tentang Al Simmons, seorang ejen khas yang dibunuh lalu membuat perjanjian dengan iblis untuk kembali ke Bumi, sebelum dihidupkan semula sebagai “Hellspawn”.
Walaupun Blizzard masih belum mendedahkan ganjaran in-game, barangan kosmetik, mahupun aktiviti kolaborasi, maklumat lanjut akan dikongsikan semasa sesi panel BlizzCon nanti.
Pemain boleh memuat turun Diablo Immortal secara percuma di Android, iOS, dan PC (melalui Battle.net).









Discussion about this post