Blue Archive telah berkembang daripada apa yang pernah digelar oleh pengarahnya sendiri sebagai sebuah “side project” kepada salah satu game bergaya anime yang paling popular dalam pasaran peranti mobile. Di Busan Indie Connect Festival (BIC) 2026, kami berpeluang menemu bual pengarah Yongha Kim (individu di sebalik Curare: Magic Library, Focus on You, Blue Archive, serta Project RX yang masih penuh misteri) untuk satu temu bual eksklusif selepas keynote beliau di festival tersebut.

Sepanjang perbualan, beliau menyentuh pelbagai topik; daripada cara beliau menentukan kandungan untuk sesebuah game live service, sebab Project RX beralih daripada suasana bilik darjah, hinggalah kepada judul-judul game indie di Steam yang tidak henti-henti dimainkannya.
Bagaimana Sebuah Game Menjadi Sebuah Dunia
Keynote oleh Kim di BIC bertajuk “How a Game Becomes a World”, di mana beliau menjelaskan bahawa topik tersebut lahir daripada perjalanan kerjayanya sendiri. Berbanding mengejar game hit mainstream, beliau menghabiskan sebahagian besar kerjayanya membangunkan game untuk kelompok audiens yang lebih kecil dan khusus. Beliau menyatakan bahawa game bergaya anime tidak mempunyai pengikut yang ramai di Korea sebelum era 2010-an, namun situasi tersebut telah berubah.
“Kita kini telah memasuki era di mana selagi anda dapat memenuhi keperluan pasaran niche tersebut dengan jelas, ia mampu membina fandom yang setia sebagai sebuah IP yang berdiri sendiri,” katanya.
Keynote tersebut, jelas beliau, merupakan usahanya untuk berkongsi bagaimana seorang developer boleh mengubah fandom yang setia menjadi sesuatu yang menyerupai sebuah dunia yang lengkap, serta cara berfikir yang diperlukan untuk membinanya.
Falsafah yang sama turut diterapkan dalam cara beliau melihat kerjayanya sendiri. Kim berkata beliau sentiasa lebih gemar menghasilkan game dengan identiti yang jelas, walaupun pihak syarikat jarang memberikan bajet besar untuk projek sebegini.
“Game yang saya bangunkan dalam syarikat sebelum ini lebih hampir kepada side project mengikut piawaian syarikat pada waktu itu,” katanya, sambil memberi contoh Qurare: Magic Library, judul VR Focus on You, dan Blue Archive. Tiada satu pun daripadanya bermula sebagai projek yang dijamin “hit”.
“Game-game tersebut bukanlah game jenis ‘cash cow’ tradisional, tetapi lebih kepada rasa ‘syarikat mampu menampung projek ini, jadi apa salahnya kita cuba’,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa walaupun secara teknikalnya beliau seorang pekerja syarikat, “di lubuk hati, saya bekerja sambil mengagumi semangat game indie.”
Meyeimbangkan Watak Kegemaran Lama Dengan Jalan Cerita Baharu
Mengekalkan operasi game live service selama bertahun-tahun bermakna pembangun perlu sentiasa menyeimbangkan jangkaan peminat lama dengan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Apabila ditanya bagaimana beliau menetapkan batasan tersebut, Kim berkata bahawa memenuhi jangkaan peminat adalah keutamaan, terutamanya pada peringkat awal.
“Pada dasarnya, sewaktu permulaan launching game, perkara paling penting adalah memenuhi jangkaan peminat,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa ini tidak bermakna mereka mengabaikan watak-watak dahulu yang telah membina asas peminat game tersebut sejak awal.
“Kita mesti menjaga watak-watak dahulu dan watak kegemaran lama peminat,” katanya.
Apabila diminta merumuskannya, jawapan beliau cukup ringkas: semuanya tentang keseimbangan—mengurus jangkaan terhadap watak-watak lama sambil terus memajukan jalan cerita dan barisan watak baharu.
Project RX Beralih Daripada Suasana Bilik Darjah
Project RX telah berada dalam fasa pembangunan selama tiga tahun, di mana peminat hanya mendapat sedikit maklumat menerusi teaser trailer yang dikeluarkan tujuh bulan lalu.
Kim mengesahkan bahawa keadaan ini akan berubah tidak lama lagi, sambil menyatakan bahawa game tersebut akan diperkenalkan dengan judul rasminya di acara Tokyo Game Show akan datang, di mana para pengunjung juga berpeluang memainkannya secara langsung.
Beliau turut berkongsi sedikit gambaran tentang hala tuju projek berkenaan. Jika Blue Archive dibina berasaskan hubungan antara pemain dan watak pelajar dalam suasana akademi, Kim menggambarkan Project RX sasarkan sesuatu yang berbeza, lebih menyerupai konsep isekai homestay berbanding kisah alam persekolahan.
“Beliau mahu membangunkan jenis game yang berbeza. Ini kerana Blue Archive banyak memaparkan hubungan antara gamer dan watak-watak pelajar,” kata penterjemah.
“Dalam projek baharunya ini, beliau mahu membina bentuk hubungan yang baharu dalam game tersebut.”
Matlamatnya adalah untuk beralih daripada barisan watak yang sepenuhnya terdiri daripada pelajar.
“Dari sudut pandang Project RX, mereka mahu memaparkan situasi dan hubungan yang berbeza, bukan sekadar menampilkan pelajar,” katanya.
Seperti yang dinyatakan Kim melalui penterjemahnya, rasional tersebut telah diterapkan terus ke dalam konsep asas game berkenaan.
Spin-off TCG Masih Sekadar Idea
Blue Archive sudah pun mempunyai minigame TCG yang menerima maklum balas positif daripada pemain, dan Kim menyatakan wujud minat untuk mengembangkannya dengan lebih jauh.
“Ada minigame TCG di dalamnya, dan mereka menerima banyak komen positif tentang minigame tersebut. Beliau juga ingin membangunkan aspek-aspek positif daripada minigame itu,” jelas penterjemah. “Oleh sebab itu, beliau berhasrat meluaskan genre TCG ini ke platform lain.”

“Kami berharap dapat meluaskan pengalaman minigame TCG kami ke bentuk board game atau card game fizikal,” kata Kim, walaupun beliau berterus-terang bahawa perkara ini masih berada pada peringkat awal perbincangan dan bukannya sesuatu yang sudah muktamad.
Watak-watak Blue Archive sebelum ini pernah muncul dalam platform trading card sedia ada seperti Weiss Schwarz.

“Kami mempunyai watak Blue Archive di platform TCG lain, seperti Weiss Schwarz. Ia merupakan satu lagi platform TCG board game yang menampilkan banyak francais IP, seperti Blue Archive, NIKKE, dan lain-lain,” ujar Kim.
Beliau menambah bahawa bagi kes-kes tersebut, pihak studio hanya memberi lesen watak mereka dan bukannya menghasilkan card game atau board game tersendiri.
“Watak-watak itu ada dalam game berkenaan, tetapi beliau belum mempunyai board game sendiri. Jadi beliau hanya memberikan hak IP kepada mereka,” jelas penterjemah. “Beliau sedang memikirkan untuk menghasilkan game tersendiri, tetapi ia belum menjadi kenyataan buat masa ini. Namun, ideanya sudah ada.”
AI, MomoTalk, dan Masa Depan Siri Anime
Laporan perniagaan Nexon pada tahun 2023 pernah membangkitkan kemungkinan penggunaan ciri perbualan dikuasakan AI dalam MomoTalk (iaitu ciri in-game chat dalam Blue Archive), dan peminat sejak itu tertanya-tanya sama ada ia akan direalisasikan.
Kim menjelaskan bahawa laporan tersebut berasaskan teknologi lama dan bukan merujuk kepada jenis generative AI seperti hari ini.
“Kandungan laporan perniagaan pada masa itu sebenarnya berdasarkan spesifikasi lama, jadi kami tidak mempertimbangkan generative AI seperti yang wujud pada hari ini,” katanya.

“Kami memang berminat dengan kemajuan teknologi terkini, tetapi tidak berhasrat untuk melaksanakannya secara terus ke dalam game seadanya,” tambah beliau, sambil menyatakan bahawa beliau merasakan masih terlalu awal untuk integrasi sedemikian.
“Saya percaya ia masih belum matang.”
Tentang adaptasi animasi pula, sudah dua tahun berlalu sejak Blue Archive The Animation disiarkan, dan Kim mengesahkan bahawa perbincangan tentang musim kedua sedang giat dijalankan, walaupun perkembangannya agak perlahan.
“Kami sedang berbincang secara berterusan mengenainya,” kata beliau, “tetapi ada beberapa isu rumit yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” sambil menambah bahawa beliau secara peribadi sangat berharap kisah tersebut dapat diteruskan dalam format animasi.
Beliau turut ditanya bagaimana siri anime tersebut menggambarkan Sensei; watak utama yang tidak pernah divisualisasikan rupanya secara rasmi sebelum siri anime berkenaan diterbitkan. Kim berkata rekaan tersebut bertujuan sebagai titik rujukan awal dan bukannya gambaran muktamad.
“Setiap orang mungkin mempunyai imaginasi tersendiri tentang rupa Sensei,” katanya, memandangkan Sensei sudah pun digambarkan dengan pelbagai rupa bergantung kepada adaptasi manga yang dibaca oleh peminat.
Versi anime tersebut, kata beliau, direka “dengan harapan ia boleh dijadikan satu contoh rujukan yang boleh diterima dan dipersetujui oleh sebahagian besar komuniti peminat.”

Menjangkau Lebih Ramai Pemain, Termasuk di Indonesia
Blue Archive berjaya membina pangkalan peminat yang sangat besar di Indonesia, dan Kim ditanya sama ada perancangan localization tambahan akan diperkenalkan untuk rantau tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa urusan penerbitan adalah di bawah tanggungjawab Nexon, yang menguruskan pengedaran global melalui cawangan serantau seperti Nexon America, Nexon Korea, dan Nexon Thailand, di mana Nexon Thailand menguruskan localization mengikut bahasanya.
Khusus untuk Indonesia, Kim menyatakan liputan bahasa semasa masih belum mencapai tahap yang beliau harapkan.
“Saya berharap kami dapat menyediakan lebih banyak pilihan bahasa, tetapi liputannya ketika ini masih belum mencukupi,” katanya, sambil mengakui bahawa keputusan muktamad tentang peluasan localization bergantung kepada pihak Nexon selaku publisher, bukannya pihak developer.

Pangkalan peminat di Indonesia turut disebut dalam konteks berbeza, berkait rapat dengan kisah tular mengenai seorang guru sekolah rendah yang menerima anugerah termasuk Guru Teladan dan Most Weeb Teacher kerana bermain Blue Archive secara terbuka serta menjadi contoh teladan kepada murid dan rakan sejawat.
Kim memberikan reaksi yang sangat mesra dan positif terhadap berita itu.
“Cikgu yang sangat hebat!” katanya.
“Dapat tahu bahawa ada guru di dunia sebenar yang bermain dan menikmati Blue Archive turut memberikan inspirasi besar kepada pasukan developer kami. Saya benar-benar menyokong beliau untuk terus menjadi seorang pendidik hebat yang menjadi contoh teladan kepada anak-anak muridnya!”
Pencinta Game Indie Sejati
Mengambil kira suasana festival tempat temu bual itu berlangsung, kami turut bertanyakan Kim tentang hubungannya dengan industri game indie secara umum. Ternyata, minat beliau melangkaui sekadar kagum dari kejauhan.
Beliau berkongsi bahawa beliau aktif bermain banyak judul indie di Steam, dan mengaku memiliki library peribadi yang mencecah ribuan judul game.
Apabila ditanya tentang game kegemarannya ketika ini, beliau menamakan Peak dan Mecha Chameleon sebagai antara judul yang paling menyerlah tahun ini, menyifatkannya sebagai “sangat mengagumkan.”

Beliau turut meluahkan harapan agar studionya dapat terus menjalinkan hubungan rapat dengan komuniti indie pada masa akan datang, sama ada bagi mendapatkan inspirasi mahupun sebagai platform mencari bakat baharu.
“Saya berharap kami dapat merekrut bakat-bakat hebat dari komuniti tersebut,” katanya mengakhiri perbualan.
![[BIC2026] Eksklusif Bersama Pengarah Blue Archive, Yongha Kim – Membina Dunia, Menjaga Hati Peminat & Minat Terhadap Game Indie](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Yongha-Kim_BIC-INTERVIU_FI-750x375.jpg)
![[BIC2026] Eksklusif Bersama Shuhei Yoshida – Pandangan Tentang Ekosistem Indie, Impak AI & Peralihan ke Format Sepenuhnya Digital](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/SHUHEI-YOSHIDA_BIC-INTERVIU_FI-350x250.jpg)






Discussion about this post