Viz Media mengumumkan bahawa sebuah siri anime serba baharu untuk Naruto sedang dihasilkan.
Pengumuman penuh akan berlangsung di New York Comic Con 2026 melalui sesi panel “NARUTO: What’s Next?”. Acara ini akan diadakan pada 10 Oktober di Amerika Syarikat—tarikh yang juga merupakan hari lahir rasmi bagi Uzumaki Naruto.
Bagi Malaysia, anda boleh menonton siaran langsung pada 11 Oktober, jam 5:00 pagi menerusi YouTube rasmi NARUTO / BORUTO.
Studio Pierrot pada asalnya merancang untuk menayangkan siri khas empat episod sempena ulang tahun ke-20 pada September 2023. Namun, hanya beberapa hari sebelum episod pertama sempat bersiaran, pihak studio telah menunda tayangannya untuk tempoh yang tidak ditetapkan demi meningkatkan kualiti animasi.
Selama tiga tahun, projek tersebut langsung tiada khabar berita. Sementara itu, Studio Pierrot telah melancarkan Pierrot Films, sebuah label produksi khas yang menumpukan kepada kualiti animasi bertaraf tinggi.
Laporan industri dan teaser acara mengacah bahawa pengumuman anime ini akhirnya akan menjawab nasib episod yang telah lama tertangguh itu.
New York Comic Con akan menampilkan beberapa tokoh utama untuk francais ini. Junko Takeuchi (pelakon suara Uzumaki Naruto) dan Noriaki Sugiyama (pelakon suara Uchiha Sasuke akan membuat kemunculan. Turut bersama mereka di atas pentas ialah Yoshihiko Tominaga, Penerbit Eksekutif Pierrot Films.









Discussion about this post