Tidak boleh dinafikan bahawa Razer BlackWidow V3 Mini HyperSpeed adalah peranti PC gaming yang bersifat premium. Ia adalah gaming keyboard atau papan kekunci gaming dengan faktor bentuk 65% yang sangat padat serta dihasilkan oleh salah satu syarikat gaming yang paling popular di dunia. Tetapi adakah ia sesuai untuk anda? Sebab itu saya akan memberi pendapat dalam review Razer BlackWidow V3 Mini HyperSpeed ini. Dari luar, ia memberi gambaran sebagai salah satu papan kekunci gaming terbaik di pasaran, tetapi itu tidak bermaksud ia sesuai untuk setiap gamer PC. Saya telah menguji papan kekunci ini selama beberapa minggu dan inilah ulasan saya.
Reka bentuk
Ini adalah papan kekunci dengan faktor bentuk bernilai 65%, yang bermaksud ia tidak ada Function Key, tidak ada numpad, dan butang di atas kekunci anak panah hanyalah Del, Pg Up, Pg Dn dan Ins. Ia sangat padat dan sangat kecil. Walaupun sedikit berat dari apa yang saya sangka, ia tidak menjadi masalah untuk dibawa. Reka bentuk V3 Mini pun boleh tahan, dan tidak terlalu mencolok mata. Reka bentuk memang “clean”, saya suka. Satu-satunya logo adalah di bawah space bar. Seperti biasa, cahaya RGB boleh diubahsuai di Razer Synapse. Saya akan jelaskan tentang itu kemudian di bawah.
Saya suka padding getah di bahagian bawah keyboard kerana fungsinya sangat praktikal untuk menghentikan papan kekunci dari bergerak. Kadang-kala ada papan kekunci yang tiada ciri ini, jadi itu saya hargai dari Razer. Seperti kebanyakan papan kekunci, ia ada ‘stand’ untuk mengubah kelarasan dan kedudukan produk. Ia mempunyai dua tahap kelarasan, tetapi saya mendapati bahawa tahap kelarasan pertama tidak mempunyai banyak beza dengan posisi papan kekunci yang sepenuhnya baring di atas permukaan. Disebabkan produk ini merupakan papan kekunci wayarles, ‘receiver’ USB Type-A 2.4GHz disimpan di bahagian bawah papan kekunci.
Anda masih boleh menyambungkan papan kekunci menggunakan kabel USB Type-A ke Type-C atau menggunakan Bluetooth. Terdapat suis yang boleh menukar pilihan wayarles, dan ia boleh didapati di sebelah slot Type-C. Sekiranya ingin menggunakan mod Bluetooth, anda boleh menyambungkan hingga ke tiga peranti berbeza, dan menukar peranti mana yang ingin anda sambungkan dengan menekan kekunci Alt + Fn + 1, 2 atau 3.
Efek cahaya RGB boleh dilihat di butang dan logo. Seperti di atas, anda boleh mengubahsuai efek cahaya di Razer Synapse, dan terdapat beberapa profil yang boleh anda pilih. Satu perkara yang perlu saya mengadu ialah kita tidak tahu sama ada Caps Lock aktif atau tidak. Tidak ada notifikasi lampu atau bunyi, jadi anda hanya perlu menaip dan melihat jika yang kelua adalah huruf besar atau tidak.
Jangka Hayat Bateri
Di sini anda juga dapat menemui lampu LED yang memberikan sedikit petunjuk mengenai status bateri. Hijau bermaksud ‘Fully Charged’, kuning bermaksud ‘Low Battery’, dan merah berkelip bermaksud ‘Critical’ (di bawah 3%).
Jangka hayat bateri agak bagus, di mana sesi gaming dan produktiviti berterusan selama 2 jam hanya mengurangkan bateri ke 70-75%. Walaupun laman web rasmi mengatakan jangka hayat bateri boleh bertahan sehingga 200 jam, hasilnya tidaklah terlalu teruk untuk papan kekunci wayarles yang mempunyai pelbagai efek RGB. Ia mengambil masa kira-kira 2 jam untuk mengecas bateri hingga penuh tetapi itu pun tidaklah begitu mengagumkan.
Sesi menaip
Sesi menaip saya berjalan dengan cukup lancar, butang kekunci agak kasar tetapi setelah menggunakannya untuk tempoh masa yang agak lama, saya sudah terbiasa. Tersedia sekali dengan papan kekunci adalah Razer Yellow Switch dan Green Switch. Fungsi asasnya adalah sama, tetapi perbezaan utama adalah semasa kita menekan butang dan bunyi.
Razer Yellow Mechanical Switch
Ia sangat ‘smooth’ dan senyap. Anda tidak perlu tekan terlalu kuat kerana kadang-kala papan kekunci masih akan menerima input sedangkan saya hanya merehatkan tangan sahaja.
Razer Green Mechanical Switch
Bunyinya terlalu kuat semasa menaip. Anda perlu memberi menekan butang agak kuat supaya ia menerima input.
Sesi saya?
Jika ingin membandingkan pengalaman saya bagi kedua-dua suis ini, sejujurnya saya lebih suka Yellow Switch. Mungkin kerana saya telah menggunakan papan kekunci Cherry Red Switch (ala-ala seperti Razer Yellow Switch) untuk masa yang agak lama, dan saya tidak beberapa suka bunyi ‘klik’ yang terlalu kuat. Mohon jangan kecam ya. Bunyi dari Green Switch terlalu kuat sehingga audio dalam PC saya pun kalah. Sudah tentu, isyarat bunyi dalam permainan amat penting, dan hasilnya, saya kurang fokus dalam permainan. Saya masih suka sesi menaip, tidak kira jika suis kuning atau hijau, dan itu saya boleh puji.
Razer Synapse
Di sini anda boleh mengubah banyak tetapan selain dari lampu RGB. Anda boleh mengubah suai fungsi setiap butang individu. Sekiranya ingin menyambung ke pilihan wayarles, anda juga dapat memilih tempoh masa untuk meredupkan cahaya RGB dan bila masa hendak mematikan papan kekunci setelah ia tidak aktif. Ciri ini direka untuk memanjangkan jangka hayat bateri bagi papan kekunci. Terdapat juga mod gaming yang boleh anda aktifkan. Mod ini akan mematikan butang Windows, Alt + Tab atau Alt-F4 bergantung pada tetapan anda.
Pengalaman semasa menggunakan produk
Pilihan wayarles memudahkan ramai pengguna, tetapi saya masih lebih suka menggunakan sambungan berwayar kerana takut papan kekunci akan kehabisan bateri semasa saya sedang membuat sesuatu. Semasa bermain secara wayarles, saya mendapati tidak ada isu ‘latency’ sama sekali. Saya menekan butang, permainan melakukan aksi tersebut. Mudah dan lancar.
Dari segi gaming, keyboard jenis ini sangat sesuai untuk gamer FPS yang kompetitif, kerana jenis permainan ini jarang menggunakan Function Key. Pemain FPS sering mempunyai ‘sensitivity’ berbeza pada tetikus, yang bermaksud mereka memerlukan lebih banyak ruang untuk menggerakkan tetikus. Oleh itu, papan kekunci tanpa numpad memang sangat membantu. Saya juga suka mereka meletakkan butang Esc di sebelah butang 1, untuk menjadikannya lebih mudah diakses tanpa terlalu menggerakan tangan.
Kalau saya ingin jujur, V3 Mini tidak begitu berguna untuk permainan MOBA atau beberapa permainan MMO. MOBA (tidak kira sama ada DOTA 2 atau LoL), memerlukan pemain sekurang-kurangnya menggunakan kunci F1 hingga F4. Walaupun kita dapat mengaksesnya dengan menekan kekunci Fn, butang ini diposisikan di sebelah kanan papan kekunci jadi ianya kurang berguna kerana bahagian itu adalah untuk tetikus.
Sebagai contoh untuk DOTA 2, kami menekan F1 untuk mengakses terus ke watak secara langsung, F2 untuk mengakses courier, dan F4 untuk membuka ‘shop’. Mungkin ada yang berpendapat bahawa kita dapat mengubah fungsi tersebut ke butang nombor, tetapi kita akan menggunakan butang nombor untuk menguruskan beberapa unit lain. Butang nombor yang berbeza, bermaksud unit yang berbeza, sama seperti Starcraft atau permainan RTS lain. Ia ‘mungkin’ boleh berfungsi untuk LoL, tetapi untuk LoL pun, kami memerlukan butang 1 hingga 7 untuk mengakses item, jadi itu pendapat saya.
Bagi MMO, teori umum adalah semakin banyak butang yang kita ada, lebih baik. Tiada numpad? Tidak mengapa, itu saya masih boleh terima. Tetapi kenapa buang Function Key? Kita boleh merakam fungsi Makro, dan ada 4 butang Makro yang boleh anda gunakan, tetapi anda masih perlu menggunakan butang Fn.
Pendapat akhir
Tidak banyak yang saya boleh kata lagi dalam review Razer Blackwidow V3 Mini HyperSpeed. Sekiranya anda gamer yang suka permainan shooter, tidak kira sama ada FPS atau TPS, papan kekunci ini sangat bagus untuk anda. Terdapat dua suis berbeza untuk menampung pelbagai jenis gamer terutamanya mereka yang suka bunyi senyap dan mereka yang mahukan kesan bunyi yang kuat. Ia juga sangat kecil supaya anda mempunyai lebih banyak ruang untuk menggerakkan tetikus, jadi ia direka secara ergonomik untuk permainan shooter.
Saya secara jujurnya ingin Function Key dipisahkan dari butang nombor, kerana ia memberi perbezaan yang ketara ketika bermain permainan MOBA. Tetapi jika anda tidak kisah dan sanggup berkompromi, maka ini benar-benar adalah salah satu papan kekunci wayarles kecil dengan prestasi terbaik.
Terdapat banyak cara untuk menggunakan papan kekunci ini. Jika anda benci kabel, anda hanya boleh mengecas papan kekunci di rumah, dan mengeluarkan papan kekunci jika perlu. Jangka hayat bateri boleh bertahan lama, dan anda mempunyai latency redah. Sambungan Bluetooth pula membolehkan kita menyambungkan produk hingga ke 3 peranti pada masa yang sama.
Itu sahaja rasanya untuk review Razer Blackwidow V3 Mini HyperSpeed ini! Jika anda berminat, anda boleh dapatkan produk ini pada nilai harga RM899.00 di laman web rasmi atau kedai Shopee/Lazada. Bagi semua liputan kami tentang Razer, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post