Apabila sebuah francais permainan video sukan yang lama seperti MLB berpindah ke generasi konsol baru, mesti ramai peminat mengharapkan perubahan yang besar. Pembangun biasanya akan membalas permintaan komuniti dengan menawarkan visual yang lebih baik, corak gameplay yang lebih kreatif, dan ciri-ciri canggih yang tidak ada di perkakasan lama.
Malangnya, MLB The Show 21 tidak membuat apa-apa peningkatan yang ketara aspek ini dan saya pun terpaksa memberi perhatian 100% pada paparan untuk melihat perbezaan grafik, kerana selain itu, semuanya sama termasuk gameplay. Apa yang eksklusif untuk konsol gen baru hanya sebuah video istimewa selepas permainan dan ciri “Stadium Creator“. Harap maklum, ulasan ini lebih kepada satu perbandingan antara MLB The Show 21 dan MLB The Show 20. Jadi tanpa melengahkan masa lagi, jom kita mulakan!
Penampilan & grafik
Ramai mungkin fikir bahawa grafik permainan ini nampak semakin hebat di PS5, tetapi sayangnya, ia masih kelihatan seperti kita bermain di PS4. Penampilan model watak agak kuno, terutama di wajahnya. Secara khusus lagi, rupa wajah Heidi Watney (wartawan) nampak sangat pelik dan aneh, di mana saya yakin ramai akan tertanya “macam ini ke modeling watak di PS5?”.
Selain itu, persekitaran tidak mempunyai apa-apa perubahan yang besar. Kotoran dan rumput tidak mempunyai unsur realisme tetapi saya mendapati yang kesan pencahayaan dan bayangan mempunyai beberapa peningkatan ketara.
Selain persekitaran, rupa animasi permainan kelihatan lebih baik dan lebih lancar daripada generasi sebelumnya. Penjaga (fielder) bergerak dengan lebih banyak dan lebih konsisten dalam permainan ini berbanding permainan masa lalu di mana jarang saya merasakan bahawa watak kendalian AI membuat keputusan bodoh. Ini membawa kepada pengalaman permainan yang lebih lancar secara keseluruhan.
Satu lagi kelebihan lain yang ada pada konsol generasi seterusnya berbanding generasi sebelum adalah fitur podcast. Dalam Road To The Show (mod Story), konsol next-gen mempunyai pengulas sukan SEBENAR yang bercakap secara podcast manakala pemain PS4 dan Xbox One hanya dapat mendengar podcast ini melalui versi audio. Pengalaman saya bertambah lebih imersif semasa menonton rakaman pengulas ini bercakap tentang watak ciptaan kita.
Gameplay asas
Secara keseluruhan, gameplay telah bertambah baik di semua bahagian. Seperti yang saya sebutkan di atas, watak kendalian AI bergerak lebih intuitif dan tampil lebih baik. Dengan yakin saya boleh kata bahawa ini adalah AI besbol terbaik buat masa ini. Seperti permainan sebelum, ada banyak pilihan untuk mengubah cara kita bermain setiap perlawanan.
Walau bagaimanapun, pilihan terbaru untuk aspek pitching, iaitu Pinpoint Pitching, adalah mekanik permainan “sukar” yang akan mencabar pemain baru dan pemain veteran. Pada dasarnya, pemain perlu mencuba memadankan corak dan kelajuan yang dipaparkan di skrin dengan analog stick kanan.
Cara balingan yang berbeza seperti “changeup” atau “curveball” akan memerlukan pemain untuk melakukan corak berbeza, seperti gerakan menegak atau suku bulatan. Fitur “Pinpoint Pitching” memang sukar.. itu saya jamin, tetapi juga sangat memuaskan jika berjaya dibuat dengan betul.
Dari segi mod gameplay, MLB The Show mempunyai semua yang diinginkan oleh peminat besbol. Sama ada anda ingin menghidupkan kembali detik-detik besbol yang bersejarah, pimpin pemain ciptaan anda sendiri di Road To The Show atau pimpin pasukan ke arah kejayaan dalam mod Franchise, Diamond Dynasty dan March To October.
Tidak seperti permainan sebelum, MLB The Show 21 juga akhirnya memberi kebebasan kepada pemain untuk bermain apa-apa posisi yang mereka inginkan pada bila-bila masa. Sebagai contoh, kita tidak perlu lagi membuat watak baru untuk bermain posisi pelempar jika watak semasa adalah pemukul.
Selanjutnya, pemain juga dapat mengeksport watak Road To The Show mereka ke mod lain, yang merupakan satu penambahan hebat yang sepatutnya dikenalkan lebih awal lagi dalam permainan sebelum. Malangnya bagi peminat yang suka bermain mod Franchise, mod ini masih tersedia secara dalam talian.
Ciri Stadium Creator
Akhirnya, ciri yang paling diminta oleh pemain akhirnya tampil di MLB The Show. Saya memperkenalkan Stadium Creator! Seperti namanya, kita akan mencipta sebuah stadium dan setiap kawalan terasa benar-benar mendalam di mana pemain mempunyai banyak pilihan customization. Jika terlalu fokus, saya kadang-kadang lupa ini MLB The Show kerana ia terasa seperti kita bermain game yang berbeza.
Walaupun di luar stadium, pemain dapat membentuk persekitaran mengikut apa yang mereka mahukan. Ingin meletakkan dinosaur? Tiada masalah. Ingin meletakkan pencakar langit tinggi di tengah-tengah padang pasir? Tiada masalah.
Memang sangat mudah untuk kita menghabiskan masa berjam-jam semasa membuat stadium dalam mod ini. Namun, perlu diingat bahawa stadium yang dibuat oleh pemain tetap perlu mematuhi sekatan tertentu untuk bermain secara dalam talian (contoh: menetapkan pagar terlalu tinggi untuk menghalang lari habis).
Walaupun Stadium Creator terasa menakjubkan, ia masih ada beberapa masalah besar. Pertama sekali, stadium yang dibuat oleh pemain hanya boleh dimainkan pada waktu siang. Mengapa kita tidak boleh bermain di stadium ini pada waktu malam? Ia tidak dijelaskan. Sebab kedua ialah Stadium Creator hanya boleh didapati di konsol generasi seterusnya. Itu berita malang untuk pemilik Xbox One dan PS4.
Prestasi next-gen
Di PS5, game ini berjalan lancar dengan tempoh “load time“ yang agak singkat. Namun, saya perhatikan bahawa tidak ada pilihan untuk menetapkan kadar bingkai ke 120 FPS seperti permainan lain. Seterusnya, ia menggunakan alat kawalan Dualsense tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Maklum balas haptik boleh terasa setiap kali pemain meluncur, cuba menangkap bola dan memukul bola pada masa yang tepat. Walaupun sudah dianggap biasa untuk permainan generasi baru, ia masih akan meningkatkan tahap “immersive” untuk pemain.
Dari aspek dalam talian, permainan menampilkan fitur cross-platform multiplayer. Semasa mencuba beberapa perlawanan dalam talian, pengalaman saya amat lancar tanpa sebarang isu “lag“. Namun, beberapa pemain telah melaporkan masalah server dan matchmaking. Mudah-mudahan, ini dapat diselesaikan segera oleh pihak pemaju supaya peminat MLB Malaysia tidak mengalami masalah ini.
Pendapat
Adakah MLB The Show 21 merupakan permainan video besbol terbaik di pasaran buat masa ini? Jawapannya ya. Tambahan pula, untuk pemilik Xbox, MLB The Show 21 adalah permulaan yang bagus untuk francais di mana ia mempunyai begitu banyak mod permainan dan kandungan sehingga anda pun tidak tahu mana satu untuk pilih.
Namun, bagi pemilik PS4, permainan ini tidaklah jauh berbeza dengan MLB The Show 20. Sudah tentu, ia ada ciri dan penambahbaikan baru, tetapi jika anda tidak memiliki PS5 dan masih memiliki MLB The Show 20, maka saya rasa ia tidak berbaloi untuk dapatkan permainan ini. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai PS5 dan mahukan pengalaman besbol dalam talian yang kompetitif, maka MLB The Show 21 adalah pilihan terbaik!
Itu sahaja untuk review MLB The Show 21 ini! Permainan ini boleh didapati sekarang di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, dan Xbox Series X|S. Jika anda berminat untuk membaca ulasan lain oleh kami di GS, sila tekan pautan ini.
Video gameplay

@gamersantaimy
The Review
MLB The Show 21
Adakah MLB The Show 21 merupakan permainan video besbol terbaik di pasaran buat masa ini? Jawapannya ya. Tambahan pula, untuk pemilik Xbox, MLB The Show 21 adalah permulaan yang bagus untuk francais di mana ia mempunyai begitu banyak mod permainan dan kandungan sehingga anda pun tidak tahu mana satu untuk pilih.
Discussion about this post