vivo mempunyai banyak smartphone bermula dari segmen entry-level hingga ke barisan premium. Baru diumumkan hari ini oleh vivo Malaysia, mereka baru sahaja mengemas kini barisan V Series di pasaran negara. Memperkenalkan vivo V21 yang menawarkan faktor bentuk yang lebih menarik, perkakasan yang lebih canggih, dan tentunya kamera, tidak kira depan atau belakang, dengan kualiti terbaik di seluruh dunia untuk harga yang mampu milik.
Ini bukan upgrade sembarangan kerana nampaknya vivo telah membuat kajian dan melaksanakan beberapa penambahan baru yang pasti menarik perhatian para penggemar selfie! Saya telah mencuba telefon ini dan berikut adalah pendapat bernas saya tentang prestasi Vivo V21. Mari kita teruskan ulasan ini!
Reka bentuk berkilau umpama mutiara
Perkara pertama yang pasti ramai pengguna lihat ada bahagian belakang nya. Saya yakin ramai yang akan tertarik dengan reka bentuknya di mana bahagian belakang untuk varian Sunset Dazzle amat berwarna-warni dan berkilau. Warna ini dicapai menggunakan reka bentuk Dual-tone Step untuk mencapai efek seperti pelangi ketika cahaya menyentuh panel belakang pada sudut yang berbeza.
Harus diperhatikan bahawa rekaan in masih mudah meninggalkan cap jari, tetapi perkara ini dapat dibersihkan dengan mudah. Dengan ukuran nipis hanya 7.38 mm, ini mungkin antara smartphone paling nipis yang pernah saya perhatikan. Dengan kenipisan sebatang pensil, beratnya yang hanya 177 gram amat sepadan dengan reka bentuk keseluruhan yang bertema “feather-light“. Pada masa yang sama, V21 juga terdapat dalam warna Dusk Blue, untuk kawan-kawan yang yang masih ingin bergaya tanpa terlalu menarik perhatian.
Setelah menggunakan V21 selama beberapa hari, ia tidak pernah mengganggu atau meletihkan saya dari aspek berat serta mudah dipegang walaupun dengan satu tangan. “Camera bump” di bahagian belakang juga agak rata dan tidak menonjol dari permukaan kaca, yang bermaksud smartphone ini tidak akan goyang dan kekal selamat ketika diletakkan di permukaan rata.
Bagi pengguna yang mengharapkan peranti kelas pertengahan dengan reka bentuk yang bergaya, V21 adalah contoh yang bagus dan pasti sesuai dengan citarasa orang ramai. Malangnya, reka bentuk nipis ini juga bermaksud bahawa Vivo harus membuang beberapa ciri seperti bateri yang lebih besar, dan bicu fon kepala.
Paparan 90Hz dengan skrin AG matte glass
Paparan AMOLED FHD+ 6.44 inci pada V21 cukup terang dan memberikan warna yang cerah. Walaupun pada skema paparan warna standard, warnanya kadang-kala kelihatan terlalu tajam tetapi paparan berfungsi dengan baik di bawah sinar matahari dan tidak menunjukkan perubahan warna ketika dilihat dari sudut ganjil. Secara keseluruhan, panel AMOLED nya berkualiti.
Satu perkara yang mungkin ramai gamers pasti akan suka ialah smartphone ini menyokong refresh rate setinggi 90Hz untuk pengalaman menonton video atau bermain game kegemaran dengan lancar dan jelas. Bagi screen V21, ia diperbuat daripada AG matte glass yang bermaksud ia memberi daya ketahanan yang lebih tinggi dari segi “scratch resistant, dan anti-slip” serta tak mudah tinggalkan cap jari.
Raja segala selfie
Berbalik kepada topik asal. Mengapa V21 adalah smartphone yang didambakan untuk pencinta selfie? Ini kerana ia dilengkapi dengan kamera 44MP OIS (Optical Image Stabilization) dengan feature Superior Night-time selfie. Bagi sesiapa yang tak tahu, ini adalah satu-satunya kamera depan dengan teknologi Optical Image Stabilization di pasaran buat masa sekarang.
Ia bukan sahaja dapat merakam gambar tanpa gegaran, malah dapat menangkap selfie berkualiti tinggi dalam keadaan low-light! Bersama Dual Selfie Spotlight (dua soft light di bahagian depan peranti) dan Screen Spotlight, ia dapat membantu pengguna menangkap selfie dalam apa-apa keadaan cahaya supaya gambar & video korang lebih terang dan lebih jelas.
Satu perkara lagi yang mengejutkan saya adalah kamera selfie juga mampu rakam dalam resolusi 4K! YA 4K! Bukan 1080p! Dengan definisi 4K, serta teknologi OIS, ini adalah kamera depan paling canggih saya pernah lihat. Bagi bahagian belakang, ia menampilkan setup triple kamera utama 64 MP + kamera Multi-Function (wide-angle) 8 MP + kamera super macro 2 MP.
Secara keseluruhan, saya memang kagum dengan prestasi kamera vivo V21. Tak banyak yang boleh dirungutkan, jadi saya benar-benar terpaksa menguji peranti dalam banyak situasi ketika menilai prestasi kamera nya. Pertama sekali, ini adalah kamera yang sangat “user-friendly”. Sekiranya kita tekan pada potret, inilah prestasi kamera terbaik yang kita boleh dapat dari sebuah smartphone di segmen ini.
Gambar di siang hari dan di dalam rumah kelihatan tajam, tetapi mengalami sedikit saturasi. Fokus pun selalu hampir tepat, dan ini adalah kerana sistem “vivo eye-autofocus” yang memfokuskan pada mata subjek dan bukannya keseluruhan subjek, untuk memastikan wajah difokuskan dengan sempurna dalam kebanyakan senario penggambaran.
Landskap juga kelihatan cukup terperinci (jika anda suka gambar yang bersaturasi), kerana kamera cenderung untuk meningkatkan warna. Semuanya nampak hampir sempurna, tetapi kemudian kamera (mungkin kerana AI) akan mengurangkan bayang sedikit untuk memberikan gambar itu rupa yang lebih kontras dan dramatik.
Dalam senario malam, mod standard mempunyai kecenderungan untuk “overexpose“, terutama sekali ketika terdapat banyak lampu jalan yang terang, atau lampu kereta. Nasib baiklah, “Night mode” berfungsi dengan baik untuk memastikan semuanya terkawal dan memberikan beberapa gambar yang tajam tidak kira apa keadaan pencahayaan. Secara ringkas, kita akan dapat gambar yang siap untuk dimuat naik di media sosial, dengan penyuntingan minimum. Saya biasanya lebih suka gambar yang kelihatan semula jadi, tetapi prestasi kamera yang cukup hebat berjaya meyakinkan saya.
Mari kita lihat beberapa contoh gambar yang diambil:
Rakaman video pula tersedia pada resolusi 4K dan 1080p masing-masing pada 30 dan 60 fps. Tidak kira tetapan yang anda pilih, outputnya kelihatan stabil, disertai dengan “bitrate” yang stabil, manakala aspek fokus sentiasa cepat dan lancar walaupun kita beralih dari pemandangan yang gelap ke terang.
Prestasi cukup lancar semasa gaming
Walaupun spec kamera sangat canggih, adakah ia masih boleh perform dari segi gaming? Telefon pintar ini dilengkapi dengan pemproses 7nm octa-core MTK 800U yang berfungsi pada kelajuan hingga 2.4 GHz. Storage pula tidaklah terlalu besar, tapi cukup selesa pada 128GB. Sesuatu yang unik kali ini ialah Vivo memperkenal kan sejenis sistem pengurusan memori baru pada RAM di mana V21 ini menggunakan RAM internal 8GB dan “extended RAM” 3GB tambahan.
Mesti ramai tak faham kan apa maksud extended RAM kan? Cara ia berfungsi adalah sekiranya telefon memerlukannya lebih banyak RAM, ia dapat meminjam ruang dari storage dan memindahkannya ke RAM internal. Ini membantu peranti untuk memberi lebih banyak kuasa pada aplikasi penting seperti gaming atau kamera supaya kita dapat menikmati prestasi yang lancar dan bebas lag semasa mengakses pelbagai aplikasi dan gaming pada grafik yang tinggi.
Saya menguji tiga permainan di vivo V21 iaitu, League of Legends: Wild Rift, PUBG Mobile, dan Genshin Impact. League of Legends: Wild Rift boleh berjalan pada grafik dan kadar bingkai ‘Very High‘. Tetapi di PUBG Mobile, ia hanya mampu mencecah tetapan HD. Walaupun mempunyai refresh rate 90Hz, saya sendiri terkejut kenapa pilihan ini tidak dibuka. Adakah sebab peranti ini tidak disokong?
Akhir sekali, kita ada Genshin Impact, salah satu permainan dengan tuntutan grafik paling tinggi buat masa ini. Seperti yang dijangkakan, ia hanya mampu berjalan dengan lancar pada tetapan [lowest] tapi sejujurnya, saya masih kagum. Ini kerana vivo V21 bukanlah smartphone “all-rounder” dan dihasilkan secara khusus dengan fokus pada kamera. Jika ia masih mampu berfungsi pada tetapan-tetapan di atas, saya tidak rasa ia adalah suatu masalah sedangkan saya masih mampu ber-gaming dengan selesa.
Berikut adalah keputusan semasa saya membuat ujian benchmark di 3D Mark:
Satu lagi perkara yang saya nak tambah adalah ia menyokong UFS 2.2, yang menawarkan kelajuan membaca 110% lebih cepat dan kelajuan menulis 95% lebih pantas jika dibandingkan dengan teknologi V20. Menurut vivo, kepantasan “installation” bagi aplikasi berskala besar seperti permainan adalah 10% lebih pantas, manakala masa untuk menyalin fail dikurangkan sebanyak 20%, supaya pengguna dapat memanfaatkan masa berharga.
V21 juga menjanjikan audio ‘Resolusi Tinggi‘, di mana earphone dan headphone pihak ketiga dapat berfungsi dengan baik, serta memberikan bunyi yang jelas. Yang tidak memuaskan ialah pembesar suara di bahagian bawah peranti. Bunyinya memang kuat, tetapi saya mendapati ia kekurangan bass ketika mendengar muzik atau menonton video.
Pengecasan pantas 33W FlashCharge
Dengan bateri bersaiz 4,000 mAh, V21, secara mengejutkan, berjaya tahan agak lama dengan screen-on time sekitar 6-7 jam. Smartphone nipis mempunyai bateri yang tidak tahan lama tetapi jurutera vivo berjaya memasukkan bateri yang bagus dalam peranti ini.
Bersama dengan pengoptimuman perisian Vivo Funtouch OS, ini bermaksud saya dapat menikmati sesi gaming yang intensif grafik pada tetapan maksimum dan tidak perlu terlalu bimbang tentang bateri. Apabila bateri habis, kita ada pengecas pantas 33W FlashCharge, yang boleh mengisi semula bateri yang kosong hingga 63% dalam masa 30 minit! Jadi anda boleh buat apa yang anda ingin tanpa risau tentang bateri yang cepat habis.
Pendapat
Itu sahaja untuk ulasan saya kali ini. Adakah anda patut membeli vivo V21 ini? Saya akan jawab ya. Sekiranya anda mencari smartphone yang bergaya dengan kamera selfie yang canggih, paparan AMOLED 90 Hz, pengecasan 33W yang sangat pantas, dan dapat menampung prestasi gaming yang lancar, vivo V21 merupakan satu pilihan yang bagus. Dengan nilai harga mampu milik pada RM1599, ini adalah satu peranti yang tidak patut kamu lepaskan, lagi-lagi jika anda adalah seorang yang suka mengambil gambar dan ber-gaming.
vivo V21 akan tersedia pada 5 Mei, tetapi pengguna yang berminat boleh membuat pra-pesan bermula sekarang di:
vivo Wireless Sport Lite
Untuk digandingkan bersama V21, vivo dengan baik hati juga mengirimkan aksesori terbaru mereka, vivo Wireless Sport Lite! Ia adalah sepasang earphone wireless berbentuk neckband dan sebenarnya adalah versi spec rendah dari vivo Wireless Sport yang sudah tersedia di pasaran.
Reka bentuknya simple. Tiada apa-apa yang terlalu menyerlah dan lebih berbentuk ergonomik untuk memaksimumkan keselesaan. Berat adalah kira-kira 23.9 gram, dan sangat sesuai untuk mereka yang ingin bersenam dengan berat tambahan minimum tanpa gangguan.
Kelebihan reka bentuk ini adalah wayarnya yang fleksibel dan lembut. Sekiranya anda tidak mendengar muzik, kedua-dua belah earphone ini boleh dicantumkan (secara magnet) supaya wayarnya tidak mengganggu ketika kita berjalan sambil memakai gajet di leher.
Untuk ciri-ciri, ia menggunakan driver 11.2mm dan teknologi GoldenEar. Pengguna boleh menyambungkan peranti melalui Bluetooth 5.0 di mana ia menyokong latensi rendah hingga 80ms. Satu ciri ekstra ialah ia kalis air dengan pada nilai IPX4. Jadi jika kita terperangkap bawah hujan atau terlalu berpeluh semasa bersenam, jangan risau. Earphone ini takkan rosak dengan mudah.
Mari kita bercakap tentang prestasi bunyi. Sejujurnya, gajet ini mempunyai audio yang kuat, dan boleh mencecah frekuensi yang tinggi. Selain itu, semua perkara lain hanya sederhana saja. Sekiranya anda memerlukan muzik yang mendalam dan imersif, ia bukan vivo Wireless Sport Lite.
Ini bukan kritikan, dan sebaliknya, menjelaskan bahawa tujuan gajet bukan untuk menikmati keindahan audio 100% tetapi untuk mereka yang gemar bersenam tetapi ingin peranti yang boleh diharapkan tanpa risau ia rosak dengan cepat memandangkan ciri-ciri keselamatan Wireless Sport Lite sangat canggih. Harap maklum bahawa gajet juga mempunyai audio yang agak kuat, jadi janganlah kita memasang bunyi terlalu kuat supaya pendengaran tidak rosak.
Disebabkan ia wayarles, sudah tentu lah kita perlu mengecaskan aksesori, betul tak? Earphone ini boleh dicas melalui port USB Type-C, di mana satu cas penuh menyediakan jangka hayat sehingga 18 jam. Apabila bateri hampir habis, cas sahaja sekali lagi selama 10 minit untuk menikmati tambahan masa selama 5 jam. Nak pakai earphone ini, sangat mudah kerana ia direka khusus untuk telefon vivo. Cuma dekatkan earphone dengan smartphone dan secara automatik, ia akan bersambung.
Jika anda berminat, vivo Wireless Sport Lite kini tersedia di kedai dalam talian dan pengedar sah vivo pada harga RM159.
Itu sahaja untuk ulasan saya kali ini! Jangan lupa untuk ikut halaman media sosial vivo untuk info terkini! Jika anda ingin membaca segala liputan kami tentang vivo, sila tekan sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post