Minggu ini, Apple akan membuktikan bahawa iPhone dan iPad sebenarnya boleh jadi platform hebat untuk game indie berkualiti tinggi. Khususnya, App Store Indie Games Week kini bermula secara rasmi dengan membawakan tujuh game indie popular ke peranti Apple.
Sepanjang minggu ini, App Store akan mengetengahkan game-game ini melalui paparan harian dan koleksi pilihan, selain menyediakan panduan khas di iOS dan Mac untuk pemain yang mahu meneroka lebih banyak game indie.

Carson Oliver, ketua App Store Worldwide di Apple, menjelaskan bahawa studio indie memberi pengalaman unik kepada pemain kerana mereka berani mengambil risiko kreatif untuk memajukan dunia gaming.
Beliau berkata, tidak kira sama ada projek itu datang daripada solo developer atau studio yang sedang berkembang, App Store mahu memberi ruang kepada idea-idea berani ini di peringkat global.
Tujuannya adalah untuk mempamerkan visi luar biasa ini melalui seni visualnya yang hebat, reka bentuk yang pintar, dan jalan cerita yang menyentuh perasaan.

Pilihan game kali ini membawakan pelbagai dunia dan playstyle berbeza.
Pemain boleh meneroka bandar open-world sebagai kucing nakal dalam Little Kitty, Big City, mengumpul tentera kad untuk menewaskan musuh diraja dalam kingdom builder strategik 9 Kings, atau menggali ke bawah tanah sambil menangkis serangan makhluk asing dalam simulator melombong Dome Keeper.

Bagi yang gemarkan jalan cerita, anda boleh mencuba Yes, Your Grace 2: Snowfall, di mana setiap pilihan moral yang susah bakal menentukan nasib sesebuah empayar yang sedang runtuh.

Peminat game aksi pula mendapat satu game hebat iaitu Sifu. Game third-person brawler daripada Sloclap yang cukup bergaya dan menerima banyak pujian ini mengisahkan seorang pelajar kung fu muda yang mahu membalas dendam.
Pertarungannya memang mencabar dan tidak ada belas kasihan; musuh akan menyerang serentak dari pelbagai sudut, jadi pemain perlu pandai parry, menyambung combo, dan menggunakan perabot serta barang di sekeliling sebagai senjata.
Supaya game ini sedap dimainkan pada telefon dan tablet, pembangun telah membina semula sistem kamera dari awal, mengemas kini kawalan untuk skrin sentuh, serta menyediakan sokongan penuh untuk controller.

Selain aksi kung fu dan pengurusan empayar, dua game yang paling mencuri tumpuan minggu ini membawakan konsep yang sangat berbeza: game dungeon crawler berasaskan kad iaitu Vampire Crawlers: The Turbo Wildcard, dan game angkasa lepas gergasi daripada Hello Games, No Man’s Sky.
Vampire Crawlers Bawa Elemen Huru-Hara ke Genre Kad
Sebagai spin-off kepada game popular Vampire Survivors, Vampire Crawlers: The Turbo Wildcard menukar gameplay bullet-dodging kepada cara membina dek kad secara taktikal.
Pemain akan berlawan dengan rangka tengkorak, kelawar, dan raksasa lain sambil mencari kombo kad yang berkesan, relik rahsia, serta mengharapkan tuah kad dalam dungeon yang huru-hara.

Bercakap tentang bagaimana projek ini bermula, Produser Tommaso Verde menjelaskan bahawa pasukan mereka mahu membawa ciri mudah main dan strategi mekanikal daripada Vampire Survivors ke genre yang lain.

Daripada idea itulah lahirnya konsep “turboturn”. Menurut Verde, matlamat mereka adalah supaya orang boleh bermain mengikut rentak sendiri tanpa pening dengan peraturan deck-builder yang rumit.
Kalau pemain cuma mahu membaling kad sesuka hati, ada butang “play all” yang akan memainkan semua kad dalam tangan serentak supaya pemain boleh duduk santai melihat kekecohan yang berlaku. Secara asasnya, game ini adalah eksperimen pertama mereka untuk membawa formula Vampire Survivors ke genre berbeza.

Idea ini datang daripada Luca Galante, pencipta asal Vampire Survivors dan pengarah kreatif Crawlers, yang mahu mencuba genre baharu.
Konsep kad ini berjaya menarik minat mereka kerana adanya sistem combo, di mana pemain perlu memainkan kad mengikut susunan tertentu untuk meningkatkan kuasanya dan mendapatkan kesan paling maksimum.
Verde berkata, cabaran paling menarik bagi mereka adalah bagaimana mahu memasukkan rasa huru-hara dan peningkatan kuasa watak yang gila-gila itu ke dalam bentuk deck building dungeon crawler.

Bagi pemain yang kerap bertukar peranti, Verde mengesahkan game ini menyokong ciri cloud save sepenuhnya. Jadi, anda boleh menyambung save file yang sama dengan mudah antara dua iPhone, iPad, atau mana-mana peranti iOS lain.

Apabila ditanya bagaimana sesebuah game indie boleh menonjol di App Store yang penuh persaingan, Verde menyatakan pandangan peribadinya; kuncinya adalah menghargai masa dan wang pemain serta menjaga kualiti game. Beliau menegaskan bahawa tanpa pemain, pihak pembangun langsung tidak boleh menghasilkan game.
Sebab itulah mereka mahu memberikan pakej lengkap yang memuaskan dan berbaloi untuk pemain. Paling penting, kualitinya mestilah tinggi dan game itu sendiri perlulah betul-betul seronok serta menarik untuk dimainkan.
Menyesuaikan Dunia No Man’s Sky untuk Pemain Mobile
Jika Vampire Crawlers memberi fokus kepada dungeon run yang pantas, Hello Games pula membawakan galaksi tanpa sempadan. Selepas sedekad dibangunkan secara berterusan, No Man’s Sky akhirnya tiba di iPhone dan iPad pada 28 Oktober 2026.
Alam semesta ‘procedurally generated’ ini dibina secara runtime, membolehkan pemain meneroka, berdagang, bertarung, dan ‘survive’ dalam galaksi yang luas terus dari tapak tangan.
Versi ini lengkap dengan semua kemas kini besar sebelum ini, termasuk update terbaharu Cosmos yang membolehkan pemain mengawal stesen angkasa mereka sendiri.

Sean Murray, pengasas bersama dan pengarah urusan Hello Games, mengaku game ini memang membawa pengalaman yang berbeza berbanding kebanyakan game di iPhone atau iPad.
Beliau sedar game ringkas 30 saat memang sudah banyak di App Store, tetapi tidak banyak game yang membolehkan pemain duduk dan bermain sehingga berjam-jam lamanya.
Mereka telah menguji proses onboarding supaya pemain baharu tidak rasa kekok, dan mereka memilih model free-to-try supaya orang ramai boleh mencuba sendiri dunia yang luas ini sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Bagi membawa game sebesar ini ke telefon pintar, ada sedikit perubahan dibuat sama seperti pelancaran mereka di Nintendo Switch dahulu; pada hari pertama pelancaran di iOS, mod multiplayer dan ciri ‘settlements’ yang keluar empat lima tahun lepas tidak disertakan.
Selain dua perkara itu, selebihnya adalah game penuh yang sama seperti di konsol. Murray menjelaskan bahawa di Switch dahulu, ciri-ciri itu dimasukkan semula di Switch 2 bersama fungsi cross-play, jadi untuk versi iOS, mereka akan melihat sambutan komuniti terlebih dahulu sebelum membawa update seterusnya.
Beliau sendiri terkejut melihat hampir keseluruhan game asal berjaya dimuatkan ke dalam peranti iOS.

Menariknya, langkah membawa game ini ke skrin sentuh rupa-rupanya menambah baik pengalaman permainan di platform lain juga.
Murray mendedahkan bahawa kerja keras mereka dalam memudahkan kawalan, sistem membina, dan paparan menu UI turut dibawa masuk ke versi PC dan konsol sedia ada supaya semua pemain dapat menikmati kelebihannya.

Pengalaman menyesuaikan game ini ke skrin sentuh turut memberi pengajaran besar kepada pasukan mereka.
Murray sedar bahawa dalam game sandbox dan survival, banyak gameplay sebenarnya berlaku dalam menu dan user interface… seperti menguruskan inventory, menghasilkan barangan secara crafting, membina objek, dan mengambil gambar.
Beliau terkejut melihat kawalan skrin sentuh terasa sangat semula jadi; kebolehan ‘drag and drop’ barang serta menyentuh skrin untuk membaca maklumat terasa jauh lebih mudah dan lancar berbanding menggunakan controller konsol atau tetikus di PC.
Sebagai seorang yang memang suka menyusun barang dalam inventory, Murray mengaku dia sendiri lebih seronok melakukan perkara itu di iPhone dan iPad berbanding bermain di komputer.








Discussion about this post