Hujung minggu lepas, Studio Pierrot secara rasmi mengumumkan projek anime empat episod NARUTO × NINKŪ. Siri pendek ini adalah projek kolaborasi istimewa antara pencipta Naruto, Masashi Kishimoto, dan pencipta manga ninja klasik tahun 90-an NINKŪ, iaitu Koji Kiriyama.
Dipantau terus oleh kedua-dua mangaka, jalan cerita membawa kita semula ke zaman Team 7 masih Genin. Bila Kakashi tak dapat ikut mereka untuk satu misi penting, Naruto dilantik jadi ketua sementara. Naruto pun bersemangat nak buktikan yang dia boleh memimpin, lalu teruskan misi bersama Sasuke dan Sakura. Tapi dalam perjalanan, mereka tersesat dan tiba-tiba masuk ke dunia asing Ninku.
Di sanalah mereka bertembung dengan Fūsuke, watak utama Ninku yang berwajah seperti katak dan ada kuasa kawal angin.
Walaupun ramai penonton Malaysia mungkin kurang kenal Ninku, karya ini sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar dalam penghasilan Naruto. Diterbitkan dalam majalah Weekly Shonen Jump pada awal tahun 90-an, Ninku menggabungkan aksi ninja dengan seni bela diri. Dari situlah Kishimoto dapat inspirasi untuk gaya lukisan dan aksi berlawan dalam Naruto.
Bercakap tentang kolaborasi ini, Kishimoto berkongsi betapa bermaknanya projek ini untuk dirinya sendiri:
“Saya menghasilkan NARUTO kerana secara peribadi saya mahu melihat kesinambungan NINKŪ,” kata Kishimoto. “Tanpa NINKŪ, NARUTO tidak akan wujud. Senang cerita, Fūsuke adalah mentor rahsia Naruto. Lama-kelamaan, saya mula mengimpikan untuk membawa hubungan guru dan murid ini keluar daripada bayang-bayang dan menjadikannya jalan cerita sebenar. Kiriyama Sensei berbesar hati menerima permintaan saya yang pentingkan diri ini… dan membantu merealisasikan impian lama saya.”
Kiriyama pun rasa sangat teruja dan berterima kasih atas rasa hormat yang ditunjukkan Kishimoto terhadap karyanya:
“Dunia Naruto, Fūsuke, dan rakan-rakan mereka akhirnya bertemu dan bersatu, dan itu benar-benar membuatkan saya teruja! Keajaiban ini menjadi kenyataan berkat cadangan dan kemurahan hati Kishimoto Sensei. Nantikan tayangannya dengan penuh keterujaan, sama seperti kami para penciptanya!”

Studio Pierrot juga mengumpulkan orang-orang lama yang pernah menghasilkan kedua-dua anime ini:
- Pengarah: Noriyuki Abe (pengarah anime asal Ninku 1995 dan ketua pengarah Boruto)
- Reka Bentuk Watak & Ketua Pengarah Animasi: Tetsuya Nishio (tokoh penting di sebalik gaya animasi ikonik Naruto dan Ninku)

Pelakon suara asal juga kembali. Kedua-dua Junko Takeuchi (Naruto) dan Rika Matsumoto (Fūsuke) meluahkan rasa gembira mereka atas kolaborasi ini. Takeuchi turut berkongsi rasa terharu bila dapat melihat semula Team 7 pada zaman Genin:
“Bila fikir balik yang saya dapat jalankan misi sekali lagi dengan Sasuke dan Sakura… saya rasa sangat terharu! Dalam cerita ini, Sasuke masih di pihak kita. Cuba fikir betapa berharganya waktu itu!” kata Takeuchi. “Serangan terkenal dan muka kelakar yang sinonim itu pun akan keluar. Saya jamin sesiapa yang meminati NINKŪ pasti akan menyukainya!”
Barisan pelakon suara yang disahkan termasuk:
- Naruto Uzumaki: Junko Takeuchi
- Fūsuke: Rika Matsumoto
- Sasuke Uchiha: Noriaki Sugiyama
- Sakura Haruno: Chie Nakamura
- Kakashi Hatake: Kazuhiko Inoue
- Aicho: Mitsuaki Madono
- Toji: Jurota Kosugi
- Rihoko: Megumi Hayashibara
- Hiroyuki: Katsumi Suzuki
Setakat ini, tarikh tayangan rasmi masih belum diumumkan lagi.









Discussion about this post