Selepas sekian lama hanya eksklusif di China, game popular Naruto Mobile akhirnya akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran global di iOS dan Android.
Game ini dibangunkan oleh MoreFun Studios milik Tencent dan mula dilancarkan di Tanah Besar China pada 19 Mei 2016. Sepanjang 10 tahun lepas, Naruto Mobile berjaya kumpul komuniti yang besar dan arena kompetitif yang aktif, tetapi hanya boleh dimuat turun melalui platform aplikasi di China.
Sebelum ini, peminat di Malaysia terpaksa muat turun fail APK pihak ketiga, buat pengesahan akaun WeChat atau QQ, dan hadapi masalah ping tinggi semata-mata nak main game ini. Dengan pelancaran global, pemain Malaysia tidak lama lagi boleh muat turun terus dari Google Play Store dan Apple App Store.

Untuk konteks, Naruto Mobile ialah game aksi pertarungan jenis 2.5D side-scrolling action brawler. Pemain boleh kawal shinobi kegemaran masing-masing dalam pertarungan real-time, gabungkan serangan biasa dengan combo, lancarkan signature ninjutsu, dan buat serangan penamat Ultimate Jutsu secara sinematik.
Game ini ada mod story campaign untuk pemain ikuti semula jalan cerita utama dari siri asal dan Shippuden, selain misi harian secara co-op dan boss fight berpasukan. Tarikan paling besar ialah arena kompetitif PvP. Sistem combat sangat bergantung pada ketepatan timing, teknik dodge, dan pelaksanaan combo, jadi memang sesuai untuk pemain yang suka mekanik game fighting teknikal.

Game ini adalah sebahagian daripada “Project Rasengan”, iaitu pelan tiga tahun dari 2027 hingga 2029 sempena sambutan ulang tahun ke-25 siri anime Naruto.
Pelan ini turut merangkumi:
- Naruto: Shadow Rising — Manga baharu yang ditulis dan dilukis sendiri oleh pencipta asal, Masashi Kishimoto.
- Naruto x Ninku — Siri mini anime crossover empat episod yang satukan Team 7 dengan watak-watak dari siri klasik 90-an yang pernah beri inspirasi kepada Kishimoto.
- Naruto Card Game — Permainan trading card baharu yang akan mula dijual pada tahun 2027.

Setakat ini, Bandai Namco belum umumkan tarikh rasmi bila Naruto Mobile versi global akan dikeluarkan. Namun, pihak penerbit sahkan bahawa maklumat lanjut akan dikongsikan di acara Jump Festa ’27 di Jepun pada 19 hingga 20 Disember nanti.









Discussion about this post