Bagi sesiapa yang menunggu masa terbaik untuk memulakan kisah Atsu, Ghost of Yōtei Complete Edition adalah pakej yang paling lengkap. Edisi ini menggabungkan base game bersama expansion Echoes of Sekigahara, mod roguelike Most Wanted, serta kepulangan watak legenda Jin Sakai.
Tanpa mengulang ulasan tentang base game yang pernah kami buat sebelum ini, fokus ulasan kali ini adalah pada kandungan baharu dan sama ada ia berbaloi untuk anda kembali bermain di Ezo.
Kisah Silam Atsu di Sekigahara
Expansion Echoes of Sekigahara mengajak kita menyelami kisah silam Atsu, dengan memasukkan naratif antara perang lamanya di tanah besar Jepun dengan pengembaraannya sekarang di Ezo.
Fokus beralih kepada fasa kehidupannya sebelum api dendam membara dengan mendedahkan pengalaman serta insan-insan yang membentuk dirinya.

Watak utama di sini ialah Nagato, rakan seperjuangan Atsu ketika Battle of Sekigahara. Kemunculan watak ini di Ezo menimbulkan masalah baharu, yang memaksa Atsu berganding bahu dengannya demi mencari seorang rakan yang diculik oleh Vipers (sindiket pemburu haram yang taat kepada The Snake).
Mengambil kira sejarah lampau antara mereka berdua, pertemuan ini membawa beban emosi yang lebih berat melangkaui kerjasama biasa.

Misi pencarian tersebut membawa mereka ke Ashoro Foothills; sebuah wilayah di Ezo yang sekarang dikuasai kekejaman Vipers. Habitat yang dahulunya makmur dengan hidupan liar sekarang tandus akibat kerakusan mereka.
Tanpa dedahkan sebarang spoiler, premis cerita mencampurkan kisah silam Atsu dengan konflik semasa, di mana hubungannya bersama Nagato bertindak sebagai penggerak utama plot.

Kekuatan naratif terletak pada keberaniannya menonjolkan sisi rapuh dan manusiawi Atsu. Melihat masa lalunya memberikan perspektif yang lebih mendalam tentang siapa dirinya di luar kepompong dendam, dan detik-detik peribadi ini memang satu penambahan yang dialu-alukan.
Malah, mungkin ada sedikit bibit di sepanjang laluan, biarpun selebihnya elok diserahkan kepada anda untuk dinikmati sendiri.

Kalau pemain hanya fokus pada jalan cerita utama, kempen ini boleh diselesaikan dalam masa 4 hingga 5 jam (lebih kurang sama dengan tempoh expansion Iki Island dalam Ghost of Tsushima).
Masa ini cukup berpatutan jika anda cuma mahu ikuti bab seterusnya kisah Atsu, walaupun aktiviti merayau dan menyelesaikan kandungan sampingan pasti akan memakan masa yang lebih lama.
Syarat Membuka Expansion

Untuk sesiapa yang baru mula main Ghost of Yōtei dari awal, anda perlu luangkan sekurang-kurangnya 10 jam dalam base game sebelum dapat membuka Echoes of Sekigahara. Namun, cukupkan jam bermain sahaja belum tentu memadai; anda wajib melepasi beberapa bahagian penting dalam jalan cerita terlebih dahulu.
Berikut ialah perkara yang perlu diselesaikan:
- Tamatkan “The Old Inn”
- Tamatkan “The Way of Dual Katana”
- Tamatkan “The Tale of the Oni”
- Tamatkan “The Kitsune’s Fate”
- Bercakap dengan broker bounty, Kojiro, sekurang-kurangnya sekali
Setelah menyelesaikan kesemua syarat di atas, rujuk papan bounty untuk mencari sasaran bernama Nagato the Handsome. Menerima kontrak ini merupakan langkah rasmi untuk memulakan Echoes of Sekigahara.
Massive Weapons menjadi Pemusnah Perisai Lawan
Selain cerita baharu, Complete Edition turut menambah elemen baharu ke dalam gameplay. Antara yang paling menarik perhatian ialah Massive Weapons, iaitu kategori senjata berat seperti Hammer, Club, dan Giant Axe.

Sayangnya, senjata ini bukan jenis yang boleh kita simpan secara kekal dalam loadout. Anda hanya berpeluang merampasnya daripada musuh atau mencapainya dari rak senjata berhampiran. Walaupun sedikit mengecewakan, ini logik memandangkan tidak logik untuk Atsu mengusung senjata sebesar itu ke mana-mana sepanjang masa.

Massive Weapons memberi kelebihan besar untuk membelasah musuh dengan pantas, baik musuh berperisai, mahupun lawan berbadan sasa yang kebal. Anda tidak perlu lagi pening ikut padanan senjata gaya “batu-gunting-kertas” seperti biasa.
Gerakan ‘Finisher’ pula dipaparkan dengan cukup sadis, membolehkan kita menghentak kepala lawan sehingga lumat berlumuran darah.
Taktik Seruan Serigala, Armor Baharu & Grinding Viper Rations

Pembaharuan mekanik tidak tertakluk pada senjata semata-mata, tetapi juga diluaskan ke aspek Armor, Charm, dan Ability. Satu penambahan yang menonjol ialah Atsu sekarang dapat menggunakan serigala temannya secara lebih taktikal.
Melalui abiliti Call of the Wolf, kita boleh menyeru serigala untuk menerkam musuh sehingga mereka ‘stagger’. Situasi ini membuka ruang keemasan untuk mendaratkan serangan percuma semasa musuh sedang bergelut.

Perkara ini patut dipuji memandangkan watak serigala sebelum ini terasa dipinggirkan dalam base game. Mengangkat hubungan tersebut menjadi sebuah abiliti combat yang berfungsi memberikan nilai tambah bermakna.
Sayangnya, pengalaman kami dicemari satu bug. Ada masa Atsu akan terkaku sehinggalah serigala selesai melakukan animasi serangan, sedangkan secara teori pemain sepatutnya boleh masuk menyerang serentak. Masalah ini berulang dua kali daripada lima percubaan, jadi diharapkan patch akan datang boleh memperbaikinya.

Bercakap tentang aspek pertahanan, kami sempat memperoleh dua set armor baharu dengan rekaan visual memikat. Salah satu sut mengaktifkan abiliti Call of the Wolf, manakala satu lagi merupakan pakaian bersejarah yang pernah disarung Atsu sewaktu bersama Nagato.

Bagi ‘Upgrade’, mata wang yang banyak terkumpul dalam base game tidak boleh digunakan sesuka hati. Game memperkenalkan sumber bahan eksklusif bernama Viper Rations—bekalan daging yang diperoleh selepas membunuh musuh Vipers dan menyelesaikan side quest, termasuklah operasi membersihkan kem musuh di wilayah baharu.
Ini bermaksud anda kena buat sedikit grinding, yang secara tidak langsung memanjangkan masa bermain.
Berdepan Pemburu Haram Vipers
Seiring kelengkapan dan keupayaan baharu, cabaran di medan perang juga bertambah dengan adanya musuh berbeza. Kumpulan Vipers, iaitu pemburu haram yang setia kepada The Snake, membawa corak combat yang memerlukan strategi lain dalam Echoes of Sekigahara.

Contohnya unit pemanah. Panah mereka bukan sahaja sakit, malah menghalang kita menggunakan Spirit untuk ‘heal’ atau aktifkan abiliti. Kita wajib menekan butang bawah pada D-pad demi mencabut anak panah itu, dan ini pun adalah satu proses yang memakan masa penting.
Kalau tersilap masa, musuh lain pasti mengambil kesempatan untuk menyerang. Oleh itu, kecekapan mengelak menjadi lebih kritikal.

Kawasan sekitar kem musuh juga penuh dengan perangkap samar. Perangkap tersembunyi ini akan membocorkan posisi kita ketika cuba melancarkan ‘assassination’ secara senyap, ataupunatau buat anda tidak boleh bergerak langsung. Pendek kata, setiap langkah sekarang memerlukan anda berwaspada berlipat kali ganda.
Meneroka Ashoro Foothills

Pemain diperkenalkan dengan wilayah Ashoro Foothills, sebuah lokasi yang dahulunya makmur dengan hidupan liar tetapi sekarang porak-peranda akibat cengkaman Vipers.
Pelbagai aktiviti menanti di sepanjang peta, daripada mencari lokasi Hot Springs tambahan demi meningkatkan tahap nyawa maksimum, sehinggalah serbuan ke atas kem musuh yang ada mempunyai haiwan buas seperti serigala dan beruang.

Turut diperkenalkan ialah pewarna hijau (green dye) bagi memperibadikan kosmetik armor melalui NPC sedia ada, dengan syarat anda perlu farming sejumlah Viper Rations.
Keluasan peta pun patut dipuji kerana dipadatkan dengan pelbagai kandungan… watak baharu, sudut tersembunyi, serta panorama visual yang sentiasa cantik. Pengalaman merantau di sini tidak pernah terasa hambar, sama ada semasa menghayati keindahan landskap, membersihkan kem musuh, mahupun melengkapkan objektif.

Ashoro Foothills juga menyediakan sekurang-kurangnya empat kontrak bounty baharu. Sekali imbas ia nampak sama seperti ‘side mission’ biasa, tetapi menyelesaikan semua buruan di wilayah ini merupakan syarat untuk tamatkan kisah expansion sepenuhnya.
Kekurangan ketara hanyalah struktur aktiviti sampingan yang masih mengitar semula formula lama.
Walaupun meneroka Ashoro Foothills amat menghiburkan, kalau ada jenis aktiviti yang benar-benar baharu dan segar tentu dapat memberi keseronokan yang lebih tinggi berbanding mengulang rutin melawat kolam air panas dan membersihkan kem musuh.
Eksperimen Tanpa Henti dalam Mod Roguelike Most Wanted

Ke aspek lain, mod roguelike Most Wanted adalah pembaharuan paling berani dalam Complete Edition. Kita diberi tanggungjawab memilih sasaran bounty daripada ahli kumpulan Yōtei Six, lawan gelombang musuh serta mini boss, sebelum berdepan dengan boss utama.
Tahap kesukaran makin meningkat bila kita menuju ke arah bos terulung, Lord Saito. Di setiap run, pemilihan ‘perk’ akan membentuk watak/build anda, manakala mata wang Mon yang terkumpul boleh dilaburkan di luar perlawanan untuk membuka abiliti, weapon upgrade, charm, dan watak baharu.

Dari segi cabaran, mod ini memberi pilihan kesukaran Casual, Easy, Medium, dan Hard. Pun begitu, tahap kesukarannya lebih terasa pada peringkat awal sahaja , lalu makin mudah apabila anda sudah kerap bermain.
Sebabnya mudah… setiap pusingan bounty run menganugerahkan EXP tanpa mengira sama ada anda berjaya atau gagal, dan bila naik level, anda akan membuka akses kepada abiliti serta perks yang lebih kuat. Anda juga dapat syiling untuk beli abiliti, jadi watak anda tetap akan jadi makin kuat walaupun sesuatu run itu gagal.

Gameplay campuran roguelike ini terbukti sangat seronok. Sebagai contoh, anda boleh dapatkan buff senjata api automatik bagi setiap tujuh kill, di samping pelbagai kesan pasif lain yang membantu mengekalkan momentum serangan.
Most Wanted menyediakan empat ‘playable character’ yang masing-masing memiliki katana, kelengkapan unik, Ultimate, serta Kill Streak tersendiri:
- Atsu: Dilengkapi dual katana dan alat pembuta. Gerakan Ultimate miliknya menyeru dua ekor serigala untuk membunuh musuh berhampiran.
- Oyuki: Guna kusarigama, kunai, dan rifle, ada kemahiran assassination serta bantuan sekutu Nine Tails.
- Nagato: Bersenjatakan yari, pistol, dan busur panah, lengkap dengan kelebihan jaminan headshot serta anak panah letupan.
- Jin Sakai: Mengubat rindu peminat dengan keempat-empat stance ikonik dari Tsushima, bersama Sticky Bombs, Dance of Wrath, dan Ghost Stance.
Bagi mereka yang rindu nak main sebagai Jin, dia hanya boleh dimainkan secara khusus dalam mod Most Wanted ini sahaja.

Most Wanted berfungsi sebagai tempat terbaik untuk menikmati sistem combat, terutamanya apabila gandingan pelbagai perk mula membuahkan hasil dan menghasilkan killing streak panjang. Malah, kegagalan dalam sesuatu run tetap menyumbang ganjaran ke pusingan berikutnya, jadi usaha pemain tidak rasa sia-sia.
Walaupun begitu, kepuasan cabaran ini semakin hilang sebaik sahaja sebahagian besar abiliti dan upgrade berjaya dibuka, menyebabkan debaran yang wujud pada peringkat awal tidak bertahan lama.
Tarikan utama beralih kepada kebebasan mencuba pelbagai variasi build dan watak berlainan, dengan nostalgia mengawal Jin Sakai sebagai sebab terbesar untuk kita kembali beraksi.
Beauty of Yōtei

Pada mulanya, kami membayangkan Beauty of Yōtei akan menawarkan mod eksplorasi bebas tanpa combat untuk menikmati pemandangan Ezo ikut rentak sendiri sambil cari sudut gambar menarik. Hakikatnya, mod ini sekadar tayangan video visual yang menunjukkan tempat-tempat terpilih sambil memainkan lagu tema.
Pemandangannya memang cantik dan lagunya sedap, tetapi tahap interaksinya sangat pasif berbanding apa yang kami jangkakan.

Walaupun terpaksa menurunkan jangkaan, ciri ini masih ada fungsinya. Ia lebih sesuai dibiarkan pasang di skrin untuk berehat sebelum tidur—cantik dipandang, tenang didengar, dan sejujurnya, agak berkesan untuk buat kami rasa mengantuk.
Pendapat
Memulang ke dunia Ghost of Yōtei Complete Edition meninggalkan rasa puas yang tinggi. Pengembaraan ini terasa bermakna apabila naratifnya berjaya memanusiakan watak Atsu, di samping keseronokan meneroka dunianya yang tidak pernah gagal mengalihkan perhatian kami daripada misi utama.
Variasi mekanik combat yang diperkenalkan juga beri ruang untuk mencuba pelbagai gaya, memastikan setiap pertembungan musuh tetap menghiburkan.

Namun begitu, edisi ini bukan tanpa cela. Isu bug pada abiliti serigala agak menjengkelkan ketika kami cuba gunakannya sepenuhnya, manakala rasa tegang dalam mod Most Wanted terlalu cepat hilang. Jangkaan terhadap Beauty of Yōtei juga sedikit tersasar, walaupun unsur ketenangannya masih boleh dihargai.
Selain itu, kawasan baharu hanya mengitar semula aktiviti sedia ada tanpa ada jenis aktiviti sampingan yang betul-betul baharu.

Meskipun dengan kekurangan tersebut, pakej ini tetap solid. Most Wanted menawarkan nilai main semula yang tinggi untuk peminat combat, manakala kisah Atsu memberi konteks yang lebih bermakna terhadap perjalanannya ke Ezo.
Sekiranya anda suka base game dan sedang mencari sebab untuk main balik, edisi ini memang berbaloi dengan masa anda. Begitu juga bagi pemain baharu, inilah tempat terbaik untuk memulakan pengembaraan bersama Atsu.
Game ini akan tiba pada 1 Oktober 2026 untuk PlayStation 5. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Ghost of Yōtei Complete Edition
Dengan expansion kisah silam Atsu, mod roguelike bersama Jin Sakai, serta mekanik combat baru, Ghost of Yōtei Complete Edition adalah sebuah pakej padat yang amat berbaloi. Biarpun ada isu bug kecil dan aktiviti sampingan yang berulang, pembaharuan yang dibawakan memberi alasan kukuh untuk pemain kembali ke Ezo.
PROS
- Naratif lebih intim yang memanusiakan watak Atsu
- Wilayah baharu dengan rekaan landskap yang memukau dan seronok diterokai
- Kehadiran Massive Weapons serta kelengkapan abiliti combat baharu yang praktikal
- Mekanik musuh baharu yang memerlukan ketangkasan serta strategi pemain
- Mod Most Wanted menawarkan kebebasan membina variasi build dan watak, diikuti nostalgia Jin Sakai
CONS
- Isu bug kecil dan animasi yang kadangkala nampak kaku
- Pelbagai aktiviti sampingan tanpa variasi baharu
- Tahap cabaran Most Wanted cepat menurun seiring pertambahan upgrade
- Interaksi dalam Beauty of Yōtei terlalu pasif dan terhad









Discussion about this post