Tanpa ragu, Grand Theft Auto VI (GTA 6/VI) adalah game paling dinanti-nantikan tahun ini. Namun, pertindihan jadual mungkin menghalang GTA VI daripada layak dicalonkan dalam The Game Awards, apatah lagi untuk memenangi anugerah Game of the Year pada tahun ini.
Isu ini dibangkitkan oleh Alanah Pearce, seorang pelakon, penulis skrip video game, dan bekas wartawan yang pernah menjadi juri pengundi bagi The Game Awards. Di satu sesi livestream baru-baru ini, Pearce mengingatkan para peminat agar tidak terlalu meletakkan harapan tinggi untuk melihat game ini ‘menyapu’ anugerah pada 2026.
Beliau menjelaskan bahawa tarikh pelancaran game tersebut menimbulkan isu dan etika yang cukup rumit buat jawatankuasa anugerah.
GTA VI akan keluar secara rasmi di seluruh dunia pada 19 November 2026. Sementara itu, majlis The Game Awards tahun ini pula akan berlangsung pada 11 Disember.
Sekilas pandang, tempoh masa itu nampak mencukupi. Mengikut rekod, tarikh tutup rasmi untuk kelayakan game biasanya jatuh sekitar 20 atau 21 November. Dari segi teknikal, ini sepatutnya membolehkan GTA VI menyelit masuk pada saat akhir.

Namun masalah sebenar, menurut Pearce, adalah proses pencalonan sebenarnya bermula lebih awal. Agensi media yang mengundi biasanya perlu menghantar senarai pilihan awal mereka pada awal November, sebelum senarai akhir calon diumumkan kepada umum kira-kira dua minggu sebelum acara berlangsung.
Jika pengacaranya, Geoff Keighley, kekal dengan jadual tersebut, senarai undian sudah pun ditutup sebelum pemain mahupun pengkritik sempat main GTA VI.

Memasukkan GTA 6 ke dalam senarai undian secara tergesa-gesa akan menimbilkan isu kredibiliti. Dengan laporan bahawa jalan cerita utama game ini mencecah lebih 80 jam (belum termasuk misi sampingan dan open-world), adalah mustahil untuk para juri menamatkannya dalam beberapa hari.
Kata Pearce, mengundi tanpa sempat menghabiskan game hanya akan menjadikan anugerah ini pertandingan populariti berdasarkan kualiti.
Peluang untuk game ini dicalonkan tahun ini bergantung kepada dua perkara: sama ada Geoff Keighley bersedia menunda tarikh tutup undian ke awal Disember (walaupun berisiko mengganggu persiapan produksi majlis), atau Rockstar sanggup mengedarkan salinan ulasan awal lebih awal, meskipun berdepan risiko kebocoran plot.
Jika kedua-duanya tidak berlaku, peminat tidak perlu risau. Mana-mana game yang terlepas tarikh tutup tahunan akan secara automatik dibawa ke tahun berikutnya—menjadikan GTA 6 sebagai tumpuan utama bagi The Game Awards 2027 nanti.









Discussion about this post