Sony Interactive Entertainment dan pihak pembangun Naughty Dog mengesahkan bahawa mereka hanya akan mendedahkan game pengembaraan sains fiksyen Intergalactic: The Heretic Prophet pada tahun 2027.
Khabar terbaru ini dikongsikan sendiri oleh ketua studio, Neil Druckmann, menerusi satu blog sempena sambutan The Last of Us Day 2026. Walaupun Druckmann menyatakan bahawa pasukan pembangun sedang gigih bekerja dan berpuas hati dengan kemajuan projek tersebut, mereka memilih untuk ‘berdiam diri’ sepanjang baki tahun ini bagi memberi fokus sepenuhnya kepada proses produksi.

Menjawab pertanyaan para peminat yang tidak sabar melihat gameplay, Druckmann menjelaskan bahawa pasukan pembangun mahu memastikan semuanya benar-benar kemas dan sempurna sebelum game itu ditunjukkan kepada umum.
Beliau turut menegaskan agar para pemain mengawal jangkaan masing-masing semasa acara hujung tahun seperti The Game Awards, kerana mengesahkan studio tersebut tidak akan mengeluarkan sebarang maklumat baharu sepanjang baki tahun 2026.
Asalnya diumumkan untuk PlayStation 5 pada Disember 2024, Intergalactic: The Heretic Prophet merupakan intellectual property (IP) serba baharu pertama daripada Naughty Dog sejak The Last of Us dilancarkan pada tahun 2013. Studio itu dilaporkan telah mula membangunkan game ini di sebalik tabir sejak tahun 2020 lagi.
Pemain akan menggalas watak Jordan A. Mun, seorang bounty hunter yang dilakonkan oleh Tati Gabrielle (The Chilling Adventures of Sabrina, filem Uncharted), di samping Troy Baker dalam peranan yang masih belum didedahkan.
Jalan ceritanya bermula selepas Jordan terkandas di Sempiria… sebuah planet terpencil dan penuh bahaya yang terputus hubungan daripada tamadun luar sejak berabad-abad lamanya. Memandangkan tiada seorang pun yang pernah berjaya melarikan diri dari planet tersebut dalam tempoh lebih 600 tahun, Jordan perlu bergantung sepenuhnya kepada latihan ikhtiar hidup dan akalnya untuk mencari jalan keluar hidup-hidup.

Walaupun penantian ini agak lama, perkembangan di sebalik tabir dilihat berjalan lancar. Di Ottawa Comiccon awal bulan ini, Troy Baker mengesahkan bahawa sesi performance capture untuk game ini telah pun selesai. Beliau turut mengacah bahawa lakonan Gabrielle serta skala keseluruhan projek ini jauh melangkaui apa jua yang pernah dihasilkan oleh Naughty Dog sebelum ini.









Discussion about this post