Mungkin berita paling mengejutkan hari ini adalah Xbox Game Studios kini akan menerbitkan Physint, iaitu game stealth-espionage akan datang oleh Hideo Kojima. Pengumuman ini dibuat tidak lama selepas Sony Interactive Entertainment mengesahkan mereka telah menarik diri daripada projek tersebut.
Ini merupakan satu perubahan tidak dijangka bagi sebuah game yang asalnya diperkenalkan di pentas PlayStation. Walaupun Sony pada awalnya menyifatkan perpisahan tersebut sebagai satu “keputusan yang susah” atas persetujuan bersama, Kojima menjelaskan perkara sebenar di media sosial.
Menurut Kojima, PlayStation Studios telah memberi notis kepadanya pada pertengahan bulan Jun bahawa mereka akan membatalkan projek Physint sepenuhnya.
“Physint ialah projek yang amat penting, baik untuk diri saya secara peribadi mahupun bagi Kojima Productions,” tulis Kojima. “Dengan tekad untuk memastikan projek ini terus hidup, kami telah menghabiskan masa selama tiga bulan lalu berusaha tanpa henti mencari rakan kongsi baharu. Sepanjang proses mendapatkan nasihat dan berunding dengan pelbagai pihak daripada pelbagai bidang, kami menemui Xbox sebagai rakan kongsi yang berkongsi visi masa depan yang sama, dan kami memutuskan untuk bekerjasama dengan mereka sekali lagi.”
Beliau turut memberi jaminan bahawa proses pembangunan game ini masih berjalan dan akan terus diteruskan.
Sony mendedahkan projek Physint pada Januari 2024 di siaran State of Play. Pada masa itu, ia diuar-uarkan sebagai kepulangan Kojima ke genre “action-espionage” yang pernah menaikkan namanya melalui siri Metal Gear Solid. Kojima pernah memberi gambaran bahawa Physint akan mengaburkan batas antara filem dan video game, dengan menampilkan grafik berkualiti tinggi serta barisan pelakon Hollywood yang realistik.
Game ini asalnya dirancang untuk memulakan fasa pembangunan penuh sejurus selepas pelancaran Death Stranding 2: On the Beach.
Perjanjian ini meluaskan lagi hubungan kerjasama sedia ada antara Microsoft dan Kojima Productions. Studio tersebut sedang membangunkan OD, sebuah projek game seram eksperimental yang disokong oleh Xbox, yang akan dilancarkan sebelum Physint.
Bukan itu sahaja, kedua-dua pihak turut mengumumkan bahawa kerjasama mereka tidak terhad kepada gaming sahaja, malah merangkumi perancangan untuk mengadaptasi karya asal ke dalam projek filem dan televisyen.
Setakat hari ini, Microsoft dan Kojima Productions masih belum mengumumkan sebarang tarikh pelancaran rasmi mahupun mengesahkan platform khusus untuk Physint.









Discussion about this post