Studio HOUND13 dari Korea Selatan mengumumkan bahawa RPG aksi anime mereka, DragonSword: Awakening, telah melepasi 200,000 unit jualan sejak dilancarkan di PC Steam pada 23 Julai lalu. Susulan kejayaan ini, mereka turut mengesahkan bahawa versi konsol untuk PlayStation dan Nintendo sedang dalam pembangunan.
Menurut wakil HOUND13 kepada portal Gematsu; walaupun platform konsol sudah dimuktamadkan, tarikh pelancaran spesifik dan konsol yang disasarkan masih belum ditetapkan.
Mengapa DragonSword: Awakening Tiba-Tiba Meletup?
DragonSword: Awakening menjadi fenomena kejutan di Steam setelah menerima ulasan “Very Positive” (lebih 90% ulasan positif) serta mencatatkan rekod kemuncak melepasi 23,000 pemain serentak.
Faktor utama di sebalik popularitinya berpunca daripada satu keputusan berani oleh pembangun: mereka membuang terus sistem gacha.

Game ini sebenarnya direka sebagai game mobile free-to-play berasaskan gacha. Namun, HOUND13 membuat perubahan dan membina semula game ini sebagai RPG single-player tradisional berbayar (RM82.49). Langkah ini mendapat pujian ramai pemain yang sudah muak dengan mikrotransaksi, sistem stamina, dan kadar pull yang rendah dalam game seperti Genshin Impact atau Wuthering Waves. Apa yang menarik adalah kesemua 19 hero dalam DragonSword: Awakening boleh dibuka secara percuma hanya dengan bermain mod Story dan menyelesaikan misi dalam game.

Dibina menggunakan Unreal Engine 5, game ini menumpukan pada visual anime dengan sistem combat yang rancak. Gameplay memberi penekanan pada mekanik tag-team; di mana pemain boleh menyusun pasukan daripada 19 hero unik, mengenakan Status Ailment menggunakan skil, kemudian mengaktifkan Signal Skill untuk bertukar watak serta-merta bagi menyambung kombo serangan.
Kisah Di Sebalik Game Ini
Berlatarkan benua Orbis, ceritanya bermula 60 tahun selepas enam hero legenda menyelamatkan dunia daripada ancaman Naga. Kini, Naga tersebut bangkit semula dan membawa ancaman baharu yang menyelubungi benua berkenaan.
Pemain akan mengikuti kisah Lute, seorang pemuda yang tidak sengaja terjebak dalam dunia tentera upahan bersama rakannya Johnny, serta seorang Elf bernama Castella. Demi menyelamatkan Orbis, mereka perlu menjejaki laluan hero-hero dahulu, membongkar rahsia silam, dan menjalin hubungan dengan pelbagai watak sepanjang pengembaraan.

Antara ciri menarik lain termasuk:
- Open World yang Hidup: Teroka padang rumput yang luas, kawasan bawah tanah menara, dungeon tersembunyi, hingga ke dasar laut secara bebas.
- Pelbagai Aktiviti Sampingan: Kumpul bahan masakan, bantu penduduk tempatan menyelesaikan misi, dan rekrut rakan comel dipanggil Familiar untuk membantu dalam pertarungan.
- Jalan Cerita Watak: Kenali pelbagai hero unik yang mempunyai latar belakang tersendiri.
DragonSword: Awakening boleh dimainkan di PC menerusi Steam. Maklumat lanjut tentang pelancarannya di PlayStation dan Nintendo akan diumumkan tidak lama lagi.








Discussion about this post