Game WUCHANG: Fallen Feathers bakal menerima sekuel rasmi. Penerbit 505 Games telah mengumumkan kerjasama dengan Indolphinity (sebuah studio baharu dari China yang ditubuhkan oleh pencipta dan pengarah asal game tersebut, Xia Siyuan) untuk membangunkan babak baharu dalam francais fantasi gelap ini.
Pengumuman ini pasti membawa berita gembira buat peminat setia, terutamanya selepas timbul laporan bahawa pembangun asal Leenzee telah dibubarkan. Sejak dilancarkan pada Julai 2025, WUCHANG: Fallen Feathers menjadi fenomena dalam kalangan peminat genre Soulslike hingga berjaya mencecah lebih 5 juta pemain di seluruh dunia melalui PC, PlayStation 5, dan Xbox.
Melihat potensi besar francais ini untuk jangka panjang, syarikat induk 505 Games iaitu Digital Bros Group mengambil alih hak IP penuh WUCHANG pada April 2026. Sebaik sahaja hak tersebut diperoleh, kedua-dua pihak bergerak pantas merancang masa depan siri ini.
Menerusi perjanjian baharu, Indolphinity akan mengendalikan sepenuhnya aspek pembangunan kreatif dari pangkalan mereka di Chengdu, China. Manakala 505 Games pula bertanggungjawab menyediakan dana serta menguruskan proses penerbitan dan pengedaran secara global.
Bagi memastikan projek ini mendapat sokongan, Digital Bros turut menubuhkan sebuah anak syarikat di Chengdu untuk bekerjasama dengan Indolphinity. Langkah ini membolehkan pasukan pembangun mengekalkan kawalan kreatif penuh, sambil memanfaatkan rangkaian publishing global milik 505 Games.
Buat masa sekarang, sekuel ini masih berada di peringkat awal pembangunan dan butiran seperti platform atau tarikh pelancaran masih belum diumumkan.








Discussion about this post