Kos membina atau menaik taraf PC gaming di Malaysia bakal menjadi lebih mahal tidak lama lagi. NVIDIA sekali lagi menaikkan harga kad grafik bagi pasaran pengguna sebanyak 20% hingga 30%—menjadikan ini kes kenaikan kali ketiga oleh syarikat tersebut pada tahun ini.

Kenaikan harga terbaharu telah mencetuskan panik di kalangan pengedar hingga ramai yang mengosongkan rak jualan di pasaran besar seperti China. Pengguna di Malaysia dijangka menerima nasib yang sama sebaik sahaja pengedar tempatan menghabiskan stok lama dan memasukkan bekalan baharu pada kadar harga yang dinaikkan.
Berbeza dengan kenaikan sebelum ini, gelombang kali ini menjejaskan hampir keseluruhan model kad grafik di pasaran.
Berikut adalah gambaran bagaimana harga GPU melonjak sepanjang tahun 2026:
- Januari 2026: NVIDIA memulakan tahun dengan kenaikan harga sebanyak 10% hingga 15%.
- Mei 2026: Kenaikan harga dikenakan ke atas kad flagship, terutamanya siri GeForce RTX 5090.
- Julai 2026: Kenaikan terkini melibatkan pakej lengkap “GPU kit” NVIDIA (yang merangkumi cip GPU dan memori VRAM). Ini memberi kesan kepada model GDDR7 baharu (seperti siri RTX 50) mahupun kad GDDR6 generasi dahulu (termasuk siri RTX 40 dan RTX 3060).

Menurut laporan daripada BenchLife dan Economic Daily Taiwan, notis harga baharu yang dikeluarkan NVIDIA kepada rakan kongsi pengilang (seperti ASUS, MSI, dan Gigabyte) telah menimbulkan gangguan besar dalam rantai bekalan.
Beberapa platform e-dagang popular di China baru-baru ini telah menurunkan senarai jualan kad grafik flagship NVIDIA. Pada masa sama, pengeluar kad custom turut menaikkan harga jualan sehingga 59% melebihi harga pasaran yang disyorkan demi menampung peningkatan kos pengeluaran.

Walaupun pusat barangan teknologi seperti Lowyat Plaza dan Digital Mall (serta kedai rasmi di Shopee dan Lazada) mungkin masih menawarkan stok lama pada harga sedia ada, bekalan tersebut dijangka habis dalam masa singkat.
Sebaik sahaja stok baharu tiba daripada pengedar, harga pasaran tempatan bagi siri RTX 50 dan siri RTX 40 dijangka melambung naik. Sekiranya anda memang berhasrat untuk menaik taraf GPU, ambil peluang sekarang untuk membeli stok sedia ada sebelum harga baharu berkuat kuasa.








Discussion about this post