Filem Black Panther 3 kini dalam pembikinan, dan dijadualkan tayang di pawagam Malaysia pada 14 Disember 2028, menurut Golden Screen Cinemas (GSC).
Pengarah Ryan Coogler menyampaikan berita itu sewaktu sesi panel Marvel di San Diego Comic-Con. Beliau turut ditemani di atas pentas oleh Letitia Wright (Shuri) dan Winston Duke (M’Baku).
Kejutan terbesar adalah penglibatan David Jonsson (bintang filem Alien: Romulus dan The Long Walk) yang memegang watak Toussaint versi dewasa, anak rahsia kepada T’Challa. Filem sekuel ini (mungkin) akan menceritakan kisah “coming-of-age” Toussaint apabila dia bersedia keluar daripada bayang-bayang ayahnya untuk mewarisi gelaran Black Panther dan menduduki takhta Wakanda.
Persoalannya… Bagaiaman Toussaint Membesar Dengan Begitu Cepat?
Semasa watak Toussaint mula diperkenalkan dalam babak post-credit filem Black Panther: Wakanda Forever (2022), dia hanyalah seorang budak lelaki yang dilakonkan oleh Divine Love Konadu-Sun. Namun, apabila Jonsson (yang berusia 32 tahun) dipilih memegang watak tersebut, timbul persoalan bagaimana watak itu boleh membesar dalam tempoh masa yang singkat.
Perubahan usia ini dipercayai berkait rapat dengan peristiwa dalam Avengers: Secret Wars. Ketua Marvel Studios, Kevin Feige, sebelum ini pernah mengacah bahawa Secret Wars bakal menjadi platform untuk menyelaraskan Marvel Cinematic Universe (MCU) dengan menyatukan pelbagai garis masa ke dalam satu realiti.
Ini membuka ruang untuk membawa watak Toussaint dari masa hadapan (atau dari alam semesta alternatif) masuk ke dalam garis masa utama. Dari situ, Toussaint perlu membina identiti sendiri.
Selain Jonsson, pelakon pemenang anugerah Oscar, Denzel Washington, turut akan membintangi filem ini. Coogler mendedahkan bahawa beliau memang menulis satu watak khas buat Washington, yang diakuinya sebagai antara sumber inspirasi terbesar dalam kerjaya beliau.








Discussion about this post