Electronic Arts (EA) mengesahkan bahawa francais Need for Speed dan Burnout kini diletakkan dalam fasa “hiatus“, lantas menamatkan riwayat (buat sementara) dua nama terbesar dalam genre arcade racing. Menerusi satu temu bual baru-baru ini, eksekutif EA Rebecka Coutaz mendedahkan bahawa Criterion Games beralih sepenuhnya menjadi studio sokongan khusus yang memfokuskan seluruh tenaga terhadap francais Battlefield.

Hala tuju baharu ini amat jelas sewaktu acara sambutan ulang tahun ke-30 Criterion di Guildford, England, apabila dinding pejabat mereka memaparkan logo: “Criterion: A Battlefield Studio.”
Apabila ditanya oleh IGN jika ada kemungkinan Criterion akan mengusahakan projek selain game shooter utama EA (seperti projek game lumba sempena ulang tahun atau menghidupkan semula legasi lama) Rebecka Coutaz, selaku Naib Presiden dan Pengurus Besar Battlefield Studios Europe, menjawab berikut.
“Kami bukan di sini untuk bercakap tentang masa lalu,” katanya. “Kami hanya fokus sepenuhnya kepada Battlefield.”
Langkah ini menandakan perubahan buat studio yang pernah membentuk genre arcade racing. Criterion mula mencipta nama pada awal tahun 2000-an menerusi siri Burnout, yang terkenal dengan aksi lumba pantas serta simulasi kemalangan yang dramatik. Studio itu kemudian mengambil alih siri Need for Speed lalu menghasilkan beberapa judul ikonik yang menerima pujian, termasuk reboot Need for Speed: Hot Pursuit (2010) dan Most Wanted (2012).
Bagaimanapun, landskap genre lumba sudah berubah, dan usaha terbaharu EA untuk memberi nafas baharu kepada francais ini berdepan jalan buntu. Pertaruhan terakhir mereka, Need for Speed Unbound (2022), gagal mengulangi kejayaan komersial tajuk-tajuk dahulu semasa zaman kegemilangannya. Mengikut data daripada Steam, Unbound sekadar mencatatkan rekod tertinggi sekitar 14,000 pemain serentak ketika dilancarkan, dan kini menurun kepada sekitar seribu lebih pemain harian sahaja. Tanpa sebarang game baharu dalam perancangan, kedua-dua francais ini nampaknya terpaksa ‘disimpan’ buat masa ini.
Peralihan Criterion ke Battlefield sebenarnya adalah sebahagian daripada proses transisi yang telah berjalan hampir sedekad. Sebelum ini, mereka menyumbang tenaga sebagai studio sokongan untuk francais shooter tersebut dengan meminjamkan kepakaran teknikal serta sentuhan sinematik dalam pembangunan Battlefield 1, Battlefield V, dan Battlefield 2042.








Discussion about this post