Dengan pelancaran Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen yang semakin hampir pada 9 Oktober 2026, pasukan pembangunan dan produksi kini sedang giat menyiapkan fasa akhir expansion tersebut.
Pengarah Kento Kinoshita (yang memimpin Dragon’s Dogma: Dark Arisen), kembali mengetuai expansion ini untuk menghidupkan semula atmosfera mencabar yang membentuk identiti unik IP ini. Beliau dibantu oleh Produser Naoto Oyama.

Dalam temu bual eksklusif ini, mereka menjelaskan fokus terhadap aspek teknikal, struktur, serta elemen gameplay untuk Dark Arisen.
Mengapa Nama “Dark Arisen” Dipilih Semula

Bagi pemain veteran, subtajuk “Dark Arisen” membawa nilai sejarah yang sangat besar. Pasukan pembangun pada mulanya tidak berniat untuk menggunakan semula nama ikonik ini. Pengarah Kento Kinoshita menjelaskan:
“Projek ini tidak dibangunkan dengan nama ‘Dark Arisen’ dalam fikiran kami sejak awal lagi.”
Sebaliknya, tajuk tersebut muncul secara semula jadi semasa proses reka bentuk. Kinoshita menambah:
“Sebaliknya, semasa meneroka jenis expansion yang paling sesuai untuk Dragon’s Dogma 2, kami dapati nama ‘Dark Arisen’ adalah yang paling sepadan, dan akhirnya ia dipilih sebagai tajuk rasmi.”

Produser Naoto Oyama pula berkongsi bahawa nama tersebut sangat serasi dengan naratif serta mekanik khas expansion ini.
Menurut Oyama, “kami merasakan nama tersebut sejajar dengan naratif permainan, serta elemen gameplay hack-and-slash” di samping “elemen gameplay loot-based Relic Expedition Cycle yang mengingatkan pemain kepada Dark Arisen asal.”
Dengan mengekalkan nama ikonik ini, pasukan pembangun dapat memperkenalkan kandungan baharu kepada para pemain dengan cara yang jelas dan mudah dikenali.
60 FPS pada Konsol dan Status Versi PC

Prestasi teknikal dan pengoptimuman enjin sentiasa menjadi topik perbincangan sejak sekuel ini dilancarkan. Melalui pembangunan expanson ini, pasukan R&D teknikal dan produksi sasarkan beberapa “milestone” penting bagi memastikan pengalaman gameplay yang lebih lancar.
Untuk platform konsol, Kinoshita mengesahkan bahawa pada PlayStation 5 dan Xbox Series X, “game ini telah dioptimumkan” serta “sedang dioptimumkan untuk berjalan pada kadar 60 FPS dalam Performance Mode.”

Bagi pemain PC pula, proses ini mencabar kerana perlu disesuaikan dengan variasi spesifikasi perkakasan yang sangat luas. Oyama mengulas perkara ini dengan menyatakan:
“Memandangkan spesifikasi perkakasan PC sangat berbeza, kami akan berkongsi butiran lanjut tentang versi PC, termasuk sebarang kemas kini untuk ‘system requirements’, pada tarikh yang lain.”
Pembahagian Ciri Percuma dan Struktur Gameplay “Dark Arisen”

Dalam menguruskan maklum balas pemain dan mengedarkan kemas kini, pasukan pembangun berpegang kepada falsafah struktur yang sangat jelas.
Walaupun game asas telah menerima pelbagai penambahan percuma dan besar bagi ciri quality-of-life (seperti pilihan untuk melengkapi enam Weapon Skill) garis pemisah antara kandungan percuma dan berbayar masih kekal jelas.

Oyama memperincikan prinsip ini:
“Pendekatan kami adalah berdasarkan prinsip mudah: penambahbaikan dan pelarasan kepada kandungan yang sedia ada harus diberikan secara percuma, manakala kandungan baharu yang belum pernah dialami pemain akan ditawarkan sebagai kandungan berbayar.”
Expansion berbayar ini memperkenalkan gameplay loop unik yang digambarkan oleh Kinoshita sebagai usaha “membawa gameplay loop hack-and-slash” serta “gameplay loop loot-based Relic Expedition Cycle ke dalam persekitaran open-world.”
Di samping elemen gameplay utama ini, pemain juga boleh menantikan “jalan cerita baharu sepenuhnya yang berkembang dalam keseluruhan permainan” serta “di Norgan, kawasan baharu tersebut.”
Landskap Norgan, Mekanik Traversal, dan 12 Dungeons “Lost Rites”

Pemilihan Norgan, sebuah wilayah bersalji di utara, menjadi latar belakang paling ideal untuk menyajikan naratif dan pengalaman gameplay yang segar ini. Kinoshita mendedahkan bahawa idea tersebut sebenarnya tercetus daripada apa yang boleh dilihat pada game asas:
“Jika melihat ke arah utara dari Vernworth dalam game asas, anda boleh melihat gunung-gunung dilitupi salji di kejauhan.”
Pemandangan tersebut menimbulkan soalan yang menarik:
“Tidakkah ia menyeronokkan jika pemain benar-benar boleh mengembara melepasi gunung-gunung tersebut?”

Dari situlah Norgan dilahirkan.
Matlamat utama memilih kawasan ini adalah untuk membawakan pengalaman gameplay yang berbeza berbanding landskap permainan utama, sekali gus memenuhi kehendak pemain yang “mahu meluangkan lebih banyak masa meneroka dan bertarung dalam dunia Dragon’s Dogma 2” serta berhasrat “untuk merasakan kawasan baharu dalam dunia yang sama.”

Bagi merealisasikan visi ini, pasukan pembangun telah merangka sistem “environmental hazard” dan mekanik traversal khusus yang sesuai dengan iklim utara ekstrem. Kinoshita menjelaskan bagaimana “Norgan direka untuk memberikan pengalaman lapangan yang hanya boleh wujud di kawasan utara jauh.”
Ini termasuklah “gimmick persekitaran seperti ais tirus dan ribut salji, di mana ribut salji tersebut boleh mengehadkan jarak penglihatan di kawasan itu,” di samping kaedah traversal seperti “memanjat tebing menggunakan tali untuk sampai ke kawasan yang lebih tinggi.”

Sebagai sebuah wilayah sunyi yang lama terbiar, Norgan didiami oleh makhluk-makhluk yang sangat agresif. Pemain boleh menghadapi “musuh yang jauh lebih liar dan ganas berbanding musuh yang ditemui dalam game utama.” Kehidupan liar ini juga berinteraksi secara aktif dengan persekitaran mereka.
Kinoshita memberikan contoh Norgan Giant, seekor raksasa gergasi yang “boleh mencetuskan runtuhan salji melalui serangannya, lantas mewujudkan persekitaran berbahaya yang lahir secara langsung daripada tingkah laku musuh.”

Penerokaan wilayah baharu ini direka dengan fleksibel agar pemain dapat mengintegrasikan expansion ini ke dalam perjalanan mereka tanpa gangguan.
Walaupun naratif utama merujuk kepada kempen asas Dragon’s Dogma 2, expansion ini turut menawarkan cabaran endgame berasingan berupa 12 buah dungeon yang dikenali sebagai “Lost Rites.”
Pemain boleh membuka akses ke kandungan Dark Arisen ini melalui quest khas yang bakal ditemui secara semula jadi pada fasa tertentu dalam jalan cerita utama Dragon’s Dogma 2.

Kedua-dua quest kemasukan ke Norgan dan barisan quest di dungeon “Lost Rites” datang dengan syor level yang dicadangkan. Namun, para pemain tidak akan terikat kepada sistem perkembangan yang ketat.
Kinoshita menegaskan bahawa “pemain bebas untuk menghadapi cabaran Dark Arisen pada bila-bila masa sahaja yang mereka pilih semasa mereka meneruskan jalan cerita utama.” Bagi yang berjiwa berani, “jika pemain mahu meneroka Norgan pada tahap yang jauh lebih rendah, mereka juga bebas berbuat demikian.”
Kebebasan sebegini membolehkan para pengembara menghadapai kempen utama dan cabaran expansion ini mengikut playstyle masing-masing.
Expansion in iakan datang pada 9 Oktober 2026 bagi PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC (melalui Steam), dan Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[Eksklusif] Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen – Asal-Usul Nama, Eksplorasi Di Norgan & Dungeon “Lost Rites”](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/Dragons-Dogma-2-Dark-Arisen_INTERVIU_FI-750x375.jpg)


![[Eksklusif] Adaptasi Game Ke Media Lain & Mengapa Pembangun Indie Sentiasa Mendahului AAA, Menurut Jon Carnage](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/JON-CARNAGE_INTERVIU_FI-350x250.jpg)




Discussion about this post