Sony Interactive Entertainment (SIE) akan menamatkan pengeluaran cakera fizikal untuk semua game PlayStation baharu bermula Januari 2028. Selepas tarikh itu, semua game baharu yang dilancarkan hanya akan ditawarkan dalam format digital. Pemain boleh membeli secara terus dari PlayStation Store atau mendapatkan kotak fizikal berisi kod muat turun digital di kedai runcit.
Langkah ini menandakan satu perubahan besar dalam industri gaming, di mana Sony Playstation menjadi pengeluar konsol pertama yang menghentikan pengeluaran cakera fizikal secara berperingkat bagi perisian baharu.

Ini mencerminkan peralihan dalam cara pemain membeli permainan video. Menurut data daripada firma penyelidikan Ampere Analysis, ketika PlayStation 4 dilancarkan pada 2013, muat turun digital hanya menyumbang sebanyak 13% daripada keseluruhan jualan. Namun menjelang 2025, angka tersebut melonjak kepada hampir 80%. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sony dan Microsoft juga sudah mula mendorong pengguna ke arah digital dengan menawarkan versi konsol tanpa disc-drive pada harga yang lebih murah.

Polisi baharu ini hanya terpakai untuk game yang dilancarkan bermula Januari 2028 dan ke atas. Sony menjelaskan bahawa peralihan ini tidak akan menjejaskan game fizikal sedia ada di pasaran mahupun mana-mana judul yang dikeluarkan sebelum tahun tersebut.
Pada masa yang sama, Sony turut mengumumkan penamatan sokongan secara berperingkat untuk perkakasan lama. Syarikat itu akan menutup PlayStation Store digital bagi konsol PlayStation 3 dan PlayStation Vita. Penutupan ini akan bermula di pasaran terpilih pada akhir tahun ini, sebelum ditutup sepenuhnya di peringkat global pada tahun depan. Menurut Sony, platform lama berkenaan tidak lagi boleh dikemas kini untuk memenuhi piawaian keselamatan e-dagang serta sistem pemprosesan pembayaran moden masa kini.








Discussion about this post