Computer Entertainment Supplier’s Association telah mengumumkan pelantikan Toshiya Miyata daripada kumpulan J-pop popular Kis-My-Ft2 sebagai Penyokong Rasmi Tokyo Game Show (TGS) 2026.
TGS 2026 menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan CESA serta penganjuran TGS. Bagi meraikan peristiwa penting ini, acara tahun ini akan berlangsung selama lima hari buat pertama kali (iaitu dari 17 hingga 21 September 2026) di Makuhari Messe, Chiba.
Selain karier seninya, Miyata dikenali ramai sebagai peminat tegar gaming dan anime. Beliau merupakan antara pengasas saluran gaming YouTube, Hokago GAMING LIFE, malah pernah menggalas tanggungjawab sebagai Support Leader bagi Pokémon UNITE Asia Champions League 2026.
Bersempena dengan pelantikan ini, video ucapan serta temu bual eksklusif bersama Toshiya Miyata telah dikeluarkan di YouTube rasmi TGS.
Petikan daripada Temu Bual Bersama Miyata
Perasaan beliau selepas dilantik sebagai Penyokong Rasmi TGS 2026:
“Bagi mana-mana peminat gaming, TGS ialah acara impian tempat pengumuman game terbaharu dibawakan tanpa henti dan para pencipta dari serata dunia berkumpul. Memandangkan saya sendiri memang sukakan permainan video sejak kecil, peluang memegang peranan sebagai Penyokong Rasmi masih terasa seperti mimpi. Sambil mengekalkan sudut pandang sebagai seorang peminat, saya mahu memberikan komitmen sepenuhnya untuk berkongsi keunikan TGS dengan seramai mungkin orang. Tambahan pula, dengan sambutan ulang tahun ke-30 yang istimewa ini, saya tidak sabar untuk bersama-sama peminat lain memeriahkan lagi TGS 2026!”
Tentang game kegemaran dan semangat bersaing:
“Sejak kecil lagi, saya memang minat game bergenre RPG—minat itu tidak pernah luntur. Saya juga gemar bermain game berasaskan elemen penjagaan dan melatih watak seperti siri Pokémon. Kebelakangan ini, saya sangat asyik bermain Pokémon UNITE. Di mana-mana sahaja saya selalu bergurau yang saya rasa sayalah pemain paling kuat dalam industri hiburan Jepun! Disebabkan saya sudah meluangkan masa yang begitu lama dalam game ini, saya sedia menyahut cabaran daripada sesiapa sahaja dalam dunia hiburan pada bila-bila masa.”
Detik awal mengenali dunia gaming:
“Semasa di sekolah rendah, saya pernah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari. Ketika itulah nenek saya membelikan sebuah Game Boy klasik berwarna kelabu bersama game Mario. Menghabiskan masa di wad hospital dengan bermain konsol mudah alih yang menggunakan empat biji bateri itulah yang memulakan pengembaraan saya dalam dunia gaming.”
Kenangan manis bermain game bersama keluarga:
“Sejak kecil, saya selalu bermain game seperti Puyo Puyo bersama keluarga. Ayah saya pula seorang yang sangat sibuk; dia biasanya sudah keluar bekerja sebelum saya bangun pagi, dan hanya pulang selepas saya masuk tidur. Setiap kali saya berjaya mencatatkan rekod baharu dalam Time Trials bagi game Mario Kart, ayah akan memecahkan rekod itu secara senyap-senyap waktu saya tidur! Keesokan hari, saya akan bermain lagi untuk merampas semula takhta, dan pada malamnya, dia akan pintas semula rekod saya. Begitulah rutin kami hari demi hari. Walaupun kami jarang berbual bersemuka, game tersebut menjadi medium untuk kami meluangkan masa bersama. Ia membolehkan kami membina hubungan yang sangat akrab tanpa memerlukan kata-kata. Kisah ini begitu bermakna buat saya, hinggakan saya berharap ada pembangun game indie yang sudi mengadaptasikannya menjadi sebuah permainan video suatu hari nanti (gelak).”
Bagaimana beliau meluangkan hari cuti dan bermain game bersama rakan sekumpulan:
“Rutin saya pada hari cuti selalunya bermula dengan bermain satu perlawanan Pokémon UNITE sebaik sahaja celik mata untuk menyegarkan minda, sebelum menikmati secawan kopi hangat. Selain itu, saya pernah ke Akihabara bersama Tamamori, rakan sekumpulan saya, untuk membeli sebuah PC gaming. Kami membeli PC berspesifikasi tinggi, dan saya menggunakannya untuk bermain game seperti Genshin Impact. Bagi saya, Genshin ialah sebuah game yang sangat menguji minda dan pemikiran logik. Banyak elemen pengiraan matematik yang terlibat, dan saya sangat menikmati masa yang dihabiskan untuk merangka strategi dalam game tersebut.”
Bagaimana gaming meluaskan persahabatannya:
“Ya, sememangnya begitu. Apatah lagi dengan kepelbagaian game yang boleh dimainkan secara online sekarang, saya benar-benar merasakan bulatan kawan saya semakin luas. Contohnya, saya kerap bermain Monster Hunter bersama Tamamori. Walaupun saya sebenarnya tidak begitu mahir bermain game bergenre FPS, dia masih bersemangat mengajak saya bermain Apex Legends. Memandangkan saya selalunya akan kalah awal (gelak), sebahagian besar masa saya dihabiskan dengan sekadar duduk menonton aksi Tama. Kadang-kadang saya terfikir, ‘Hebat betul Tama,’ hinggakan saya rasa tak ubah seperti seorang teman wanita yang setia menemani teman lelakinya bermain game di sebelah. Namun sejujurnya, sekadar menjadi penonton pun sudah cukup menghiburkan bagi saya.”








Discussion about this post