Dengan hanya berbaki beberapa jam sebelum tengah malam, Rockstar Games sedang bersiap sedia untuk membuka pre-order bagi Grand Theft Auto VI (GTA VI/6) secara rasmi. Bermula tepat jam 12:00 tengah malam ini (25 Jun), pemain boleh mendapatkan salinan masing-masing menerusi platform digital serta kedai terpilih sebelum game ini dilancarkan sepenuhnya pada 19 November 2026 untuk konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X|S.
Selain edisi standard, Rockstar turut berkongsi maklumat tentang GTA VI: Ultimate Edition. Edisi ini membawakan pelbagai naik taraf story-mode eksklusif, kenderaan boleh ubah suai, kosmetik unik, serta bonus gameplay yang disatukan terus ke dalam jalan cerita Jason dan Lucia.
Berikut adalah maklumat lengkap tentang kandungan pre-order, keunikan Ultimate Edition, serta cara sistem pre-loading berfungsi pada bulan November nanti.
Sistem Pre-Loading dan Kotak Fizikal “Tanpa Disc”
Untuk memastikan pemain dapat terus bermain pada hari pelancaran, mereka yang membuat digital pre-order boleh mula memuat turun awal (pre-loading) GTA VI seawal 12 November.
Bagi versi fizikal pula, Rockstar mengambil pendekatan yang agak unik untuk pelancaran kali ini. Kotak fizikal game ini akan mula diedarkan di kedai-kedai seminggu lebih awal, iaitu pada 12 November. Bagaimanapun, kotak ini tidak akan mengandungi sebarang disc fizikal. Sebaliknya, ia disertakan dengan digital download code di dalam, membolehkan pembeli versi fizikal menebus dan melakukan pre-loading awal bersama pembeli versi digital agar semuanya sedia dimainkan pada 19 November nanti.
Bonus Pre-Order
Pemain yang membuat pre-order untuk mana-mana edisi (atau membelinya secara digital sebelum 20 November 2026) bakal menerima Vintage Vice City Pack secara percuma. Koleksi bertema retro ini menawarkan:
- ’55 Vapid Stanier & Shore Court Garage: Kereta klasik untuk bersiar-siar, lengkap dengan personal garage berhampiran Ocean Beach. Ia dilengkapi dengan weapon locker untuk mengubah suai loadout, serta stash box untuk menyimpan barangan sebelum dijual kepada local fence.
- Outfit & Hairstyle Mewah: Sut linen gaya retro berserta potongan rambut klasik untuk Jason, manakala Lucia pula bergaya dengan gaun mini merah sequin dan rambut keriting klasik.
- Exclusive Weapon Pattern: Corak senjata bertema tropika yang diinspirasikan daripada kemeja Tommy Vercetti, watak utama dari Vice City.



Bukan itu sahaja, mereka yang pre-order versi digital menerusi PlayStation Store atau Microsoft Store akan menerima langganan percuma GTA+ selama sebulan secara serta-merta. Langganan ini memberikan deposit bulanan sebanyak GTA$500,000 ke dalam akaun GTA Online, diskaun khas untuk kenderaan, serta akses percuma ke perpustakaan game klasik Rockstar.
Grand Theft Auto VI: Ultimate Edition

Bagi mereka yang mahukan pakej lengkap, Ultimate Edition menyatukan kandungan premium terus ke dalam mod single-player. Semua bonus ini akan dibuka secara berperingkat seiring dengan perkembangan jalan cerita Jason dan Lucia.
Antara ciri dan kandungan menarik dalam Ultimate Edition adalah:
- Kenderaan & Garaj Eksklusif: Dapatkan jentera off-road ’67 Vapid Dominator Buggy (disimpan di Paradise Garage, Watson Bay) dan kereta sukan ikonik pertengahan 90-an, ’95 Grotti Cheetah. Di safehouse Jason, pemain akan dibekalkan dengan motosikal Dinka Enduro, Crest Kayak, serta trak pikap Vapid Ganado yang dilengkapi modifikasi eksklusif. Di laut pula, bot Shitzu Squalo berwarna merah jambu dan biru menunggu di Washington Beach lengkap dengan weapon crate berisi bahan letupan.
- Custom Mod Shop: Akses eksklusif ke dua bengkel ternama; Rideout Customs di Vice City (pakar dalam donk styling, custom rim, dan hiasan dalaman mewah) serta One-Eyed Willie’s di Lake Leonida (menawarkan modifikasi lasak off-road serta reka bentuk lukisan tangan yang unik).
- Classic Car Restoration: Terima tugasan khas daripada Wyman, seorang fixer tempatan, untuk mencari dan memulihkan kereta-kereta projek yang terbiar. Usaha ini membolehkan anda memiliki empat kenderaan klasik eksklusif yang hanya ada dalam Ultimate Edition.
- Senjata Unik: Buka revolver berkuasa tinggi Hawk & Little Morgan versi ‘his and hers’ yang menampilkan pemegang bercorak pokok tropika. Selain itu, dapatkan juga variasi tersuai dengan ukiran khas pada pistol Girardi ES9 milik Jason dan pistol Klose K17 milik Lucia.
- Gameplay Mission: Rancang serbuan ke atas kedai barangan haram milik kumpulan geng PTT Youngin$ di Southside Vice City. Lepaskan diri dengan selamat untuk membawa pulang barangan penyeludupan unik dan ganjaran bernilai tinggi.
- Gaya & Dandanan: Tampil bergaya dengan akses eksklusif ke butik streetwear Stock 305 di daerah Stockyard, dapatkan gaya rambut, solekan, atau kuku hiasan di Sara’s Unisex Salon, serta hiasi watak dengan lebih 50 tatu eksklusif daripada artis kolektif FAILE di kedai tatu, Electric Fang Tattoo.




Bagi pemain yang membeli Standard Edition terlebih dahulu, anda masih berpeluang untuk mendapatkan Ultimate Edition Upgrade secara berasingan pada bila-bila masa.








Discussion about this post