Musim keempat dan finale bagi siri anime Bleach: Thousand-Year Blood War – The Calamity akan ditayangkan bermula 25 Julai 2026. Bersama pengumuman tarikh tayangan, pihak produksi turut berkongsi visual baharu serta maklumat mengenai lagu tema yang bakal mengiringi episod-episod klimaks ini.
Musim finale Bleach: Thousand-Year Blood War diusahakan oleh studio animasi PIERROT FILMS.
Musim terbaharu akan membawakan lagu tema pembuka bertajuk “I-BULL” nyanyian jo0ji, manakala lagu tema penutupnya pula ialah “Rasen” oleh 9Lana. Pencipta asal manga Tite Kubo terlibat secara langsung dalam menyaring dan memilih barisan pemuzik kali ini sejak peringkat demo lagi.

The Calamity menyambung konflik antara para Shinigami dan tentera Quincy yang diketuai oleh Yhwach. Dalam musim sebelum, Yhwach bersama Royal Guard miliknya berjaya melepasi halangan Squad Zero untuk menceroboh masuk ke Reio Greater Palace. Lebih malang lagi, helah licik Yhwach telah memperdayakan Kurosaki Ichigo sehingga memaksanya membunuh Soul King, lalu mencetuskan masalah dimensi yang mengancam keseimbangan ‘Three Worlds’.

Ketika semua alam berada di ambang kemusnahan, baki ahli Gotei 13 terpaksa bekerjasama dengan kumpulan Quincy yang terselamat. Mereka bersatu untuk menyusup masuk ke Royal Palace… yang kini ditawan dan diubah suai menjadi Wahr Welt. Di tengah-tengah pertempuran sengit yang meletus di serata kubu musuh, Ichigo perlu bersemuka dengan sahabat baiknya, Uryu Ishida, demi membongkarkan niat sebenar pemuda itu. Segala-galanya kini bergantung pada usaha Ichigo dan rakan-rakannya untuk menumpaskan Yhwach, yang telah membangkitkan kuasa mutlak “The Almighty.”

Disebabkan jalan cerita dalam manga asal bergerak agak tergesa-gesa sewaktu siri ini diterbitkan dahulu, Tite Kubo mengambil langkah proaktif dalam adaptasi anime dengan menambah kandungan cerita baharu, memperincikan babak pertarungan, serta meluaskan latar belakang siri ini. Penglibatan rapat beliau memberi jaminan bahawa cour terakhir ini akan memaparkan beberapa babak penting serta kebolehan watak yang langsung tiada dalam manga asal.









Discussion about this post